Kita bakal laksana PKP semula kerana Omicron? Kami rungkaikan khabar angin ini

pkp2022

Dua tiga hari ni, sayup-sayup suara di sini sana yang mendakwa bakal berlakunya PKP sekali lagi pada tahun ni. Bila kami tanya, kenapa pulak nak PKP semula… kata diorang, disebabkan Omicron ni lah. Sebelum ni kami dah terangkan beberapa benda yang korang perlu tahu tentang Omicron. Namun satu persoalan masih lagi berlegar dalam minda adalah, sejauh mana bahayanya Omicron? Benarkah Omicron ni terlalu bahaya sehingga kita kena jalani PKP semula?

Kami cuba rungkaikan persoalan ni dengan perkembangan dan kajian semasa tentang Omicron. Logik pertama kami adalah, Omicron mestilah sangat bahaya, sehingga masuk ke kategori Variant of High Consequence (VHC). Setakat ni, takde lagi (termasuklah Omicron) yang masuk ke dalam kategori VHC yang diletakkan oleh WHO. Jadi benarkah bakal PKP semula akibat Omicron?

omicron
Via Kosmo

Simptom yang tercetus dari jangkitan Omicron tak membawa maut untuk penerima vaksin, namun lebih cepat tersebar

Sebelum kita pergi lebih jauh dalam perbincangan ni, ada baiknya kita tinjau dahulu tiga kategori varian yang telah ditetapkan oleh WHO. Kita ada tiga kategori dalam menentukan bahaya sesuatu varian iaitu Variant of Interest (VOI), Variant of Concern (VOC) dan Variant of High Consequence (VHC). Setiap varian ni ada panduannya tersendiri, tetapi harus kita faham; Omicron hanya pada takat VOC je. Tak sampai VHC.

Ni bermakna, Omicron tak banyak beza bahayanya pun dengan varian lain. Bahkan, ada pendapat perubatan yang menyatakan Delta masih lagi lebih bahaya berbanding Omicron. Untuk pengetahuan, Delta ni merupakan varian yang lebih dahulu dikenalpasti di India selepas perayaan agama di sana. National Geography juga cuba mengupas sama ada Omicron atau Delta yang lebih bahaya.

varian omicron
Via BBC

Jawapannya, Delta lebih bahaya dalam sudut simptom yang tercetus dalam kalangan pesakit. Di Afrika Selatan, lokasi awal ia dikesan pada November 2021, sebuah syarikat insuran kesihatan melaporkan pada pertengahan Disember bahawa orang dewasa yang dijangkiti Omicron didapati risiko masuk ke hospital hanya 29% berbanding pesakit dewasa beberapa tempoh awal tu. Di United Kingdom, kadar kemasukan ke hospital hanya satu pertiga berbanding kes untuk Delta.

Pada awal Januari pula, orang dewasa di Amerika Syarikat yang dijangkiti Omicron tak sampai separuh yang datang ke bilik kecemasan, masuk hospital atau diintubasikan. Ini menurut kajian awal dari kumpulan pengkaji Sekolah Perubatan Case Western Reserve. Biasanya pula, simptom untuk Omicron biasanya tak macam pneumonia (keradangan paru-paru), malah lebih serupa dengan selesema teruk je.

omicron africa
Via Independent UK

Sebuah laporan dari UK jugak menyatakan bahawa mana-mana penerima dos penggalak 88% takkan masuk ke hospital akibat jangkitan varian Omicron. Lazimnya, pesakit yang tak divaksin menjadi majoriti pesakit yang kini berada di unit kecemasan.

Yang menjadikan Omicron ni suatu varian yang berbahaya adalah ia cepat tersebar. Ia jugak dikatakan boleh mengelak antibodi yang dicetuskan oleh vaksin, jadi sebab tu lah ada jugak penerima vaksin yang masih lagi boleh terjangkit. Namun berbeza dengan orang yang tak ambil vaksin, diorang takdelah sampai nak masuk hospital.

omicron symptoms
Simptom variann biasa dengan varian Omicron jugak berbeza.. -Via SCMP

Oleh sebab ia tak dapat menjangkiti sel paru-paru lebih baik berbanding varian terdahulu, ia menjadikan simptom khususnya untuk paru-paru tu lebih ringan.

Fasa pemulihan dah bermula sejak penularan Delta, arah Malaysia kini bermula ke fasa endemik

Sejak suku akhir tahun lalu, kita dah perlahan bergerak ke fasa pemulihan dengan pengenalan konsep fasa. Kalau dulu, kita guna konsep PKP dengan tambahan beberapa huruf lain seperti PKPB, PKPD dan PKPP. Mula-mula dulu, memang agak membingungkan jugak untuk menukar minda kita daripada PKP kepada bentuk Fasa. Yang pasti, perlahan-lahan rakyat Malaysia dah terima konsep Fasa tu.

fasa 1 indikator ppn
Dah takde PKP, sekarang guna PPN.. -Via Buletin TV3

Pengenalan Fasa ni memperlihatkan usaha persediaan kita untuk kembali seperti sediakala dengan amalan norma baharu. Bermula dengan pengenalan fasa setiap negeri, yang sekarang ni dah semua Fasa 4, rakyat Malaysia dah boleh rentas daerah dan negeri tanpa ada sekatan macam dulu. Inilah keadaan yang harus kita semua biasakan diir, iaitu hidup norma baharu tanpa perlu sekatan pergerakan.

Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan kata kita sekarang nak menuju ke fasa endemik dah. Pada 1 September lalu, KJ kata peralihan fasa tersebut dijangka berlaku selepas 80 peratus populasi dewasa lengkap terima dua dos vaksin. Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang pulak kata, kerajaan letak 7 indikator utama perlu dicapai.

indicators for endemic phase min
Via Codeblue

Sekarang dah Januari 2022. Benarkah kita masih menuju fasa endemik? 2 faktor ni menjadi kebimbangan pakar epidemiologi UPM, Prof Madya Dr. Malina Osman. Dia tak tolak kemungkinan peralihan ke fasa endemik mampu dicapai pada awal tahun ni. Bagaimanapun, usaha keluar dari fasa pandemik perlukan kerjasama semua pihak. Dua faktor tu adalah pelaksanaan PRN Melaka dan Sarawak serta banjir besar berikutan monsun timur laut.

Kebimbangan ni ternyata benar, apabila terdapat wujudnya kluster-kluster pasca-perisitiwa ni. Kluster PRN Melaka dan Sarawak memang wujud. Manakala kluster banjir pun ada jugak. Walaupun begitu, keadaannya tak seteruk PRN Sabah. Dr. Muhamad Akmal Saleh, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Melaka kata:

“Bagi PRN yang berlalu dua minggu sudah, kita ada beberapa kes yang berjaya dikawal melalui SOP dan kadar vaksinasi tinggi di Melaka. Kita berjaya kawal kadar jangkitan Covid-19 ketika PRN Melaka. Jika dibandingkan dengan PRN Sabah, 70 peratus kenaikan kes direkodkan dalam masa dua minggu di negeri itu berbanding hanya 4.6 peratus di Melaka,”- seperti yang dilaporkan Harian Metro

Sementara tu Kluster PRN Sarawak pulak merekodkan hanya 24 kes positif, mengikut laporan Jawtaankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak. Bagi kluster banjir pulak, setakat ni dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Bentong, Pahang. Takde kluster baharu setakat 31 Disember. Kadar yang kami sebutkan ni menunjukkan norma baharu, digandingkan bersama kadar vaksinasi yang tinggi mampu membawa kita keluar dari ketakutan bakal PKP semula.

Ketakutan ni ‘disebarkan’ menerusi tafsiran orang ramai tentang laporan yang memetik kenyataan Hishamuddin Huseein selaku Menteri Kanan Pertahanan pada 30 November lalu.

“Kita juga memahami bahawa Omicron sememangnya berisiko kerana ia boleh merebak dengan lebih mudah dan pantas namun ia masih boleh dikesan melalui ujian makmal sedia ada. Penting untuk saya maklumkan, buat masa ini juga, Mesyuarat Kuartet telah memutuskan untuk menangguhkan seketika (pause) usaha kita untuk beralih ke Fasa “Peralihan ke Endemik’ sehingga kita mengetahui lebih lanjut tentang VOC Omicron,”- seperti yang dilaporkan Astro Awani
Susulan dengan keputusan tersebut, kerajaan dah ketatkan semula kawalan negara supaya risiko kemasukan Omicron dapat dikurangkan. Ini hampir sama jugak dengan keadaan semasa penularan Delta, yang mana sedang berlangsung ketika kita mula melonggarkan sekatan berbanding ambil keputusan untuk PKP semula.
Maka dengan tu, kami rumuskan bahawa pelaksanaan PKP bukanlah sebahagian daripada agenda pemulihan kerajaan untuk tahun ni. Rumusan kami turut disahkan dengan pengumuman terbaharu dari Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
malaysia takkan lockdown pkp
Tangkap layar dari laporan Sinar Harian, 11 Januari 2022
Kita akan sentiasa menghadapi ancaman Covid-19 khususnya varian baharu yang lazimnya ditemui dalam badan pesakit yang takde vaksin. Sekiranya respon rasmi kerajaan pada setiap varian baharu adalah PKP, bila kita nak memacu semula ekonomi kita selepas dah PKP setahun setengah dulu.. betul tak? Seluruh dunia dah mulai bergerak ke fasa endemik, jadi kita jugak taknak terlepas dalam pergerakan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.