Melihat situasi politik yang ada hari ini, kami baru sedar yang sebenarnya salah satu perkara yang menyebabkan Pakatan Harapan jatuh adalah ramainya pengguna media sosial yang tak suka dengan cara mereka berkomunikasi. Sebab utama kami mengatakan kerana banyak isu yang setelah Pakatan Harapan dijatuhkan – sudah tidak menjadi isu politik. Isu arwah Adib misalnya, sekarang dah macam takde bunyi. Kalau zaman PH dahulu, hari-hari ia akan disuarakan.
Sama juga dengan isu Amanah Saham Bumiputera (ASB); ketika PH umumkan kadar dividen yang rendah, ramai yang bising dan mengatakan ia sebuah kegagalan. Akhirnya, apabila PH dah jatuh; isu-isu macam ini tidaklah hangat diperkatakan.
ASNB umumkan pembayaran 5.00 sen seunit kepada pemegang unit ASB
Semalam Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) umumkan pembayaran 5.00 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020. Ia babitkan pengagihan pendapatan 4.25 sen seunit dan pengagihan ehsan 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB sempena ulang tahun diorang yang ke-30.
Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) kata, ia babitkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM7.6 bilion kepada 10.2 juta pemegang unit dengan pelaburan berjumlah 173.2 bilion unit. Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz kata pengagihan pendapatan ASB kekal kompetitif walaupun berhadapan cabaran ekonomi akibat COVID-19.
“Bagi pemegang lebih 30,000 unit, mereka juga menerima manfaat pengagihan ehsan ini sebagai tanda penghargaan kami kepada pemegang unit ASB yang terus setia bersama kami sepanjang 30 tahun dana ini diperkenalkan. Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus terkumpul dana ASB sepanjang 30 tahun, sejak mula diperkenalkan pada 1990, adalah sebanyak RM159.6 bilion,” – Dr Zeti Aziz, seperti yang dilaporkan Berita Harian
Mengulas lanjut, Zeti kata, prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah yang lain. Katanya, strategi kepelbagaian portfolio ASB terus catatkan kemajuan tahun ini, dengan peningkatan pendedahan kepada ekuiti antarabangsa, ekuiti persendirian, hartanah dan pendapatan tetap.
Zeti Aziz turut menambah; pelaburan dalam aset antarabangsa meningkat kepada 5.9 peratus berbanding 3.6 peratus pada 2019. Dalam suasana turun naik pasaran global, strategi ini telah mula membuahkan hasil yang positif, dengan bahagian sumbangan pendapatan kasar dari ekuiti awam antarabangsa meningkat dari 6.3 peratus pada 2019 kepada 24.2 peratus pada 2020.
Nampaknya isu dividen ASB tak akan jadi isu politik kerana diorang dah jadi kerajaan
Pengumuman ini dapat perhatian daripada salah seorang ahli Parlimen, YB Nik Nazmi Nik Ahmad yang merupakan ahli Parlimen Setiawangsa. Katanya, tahun lepas – ketika ASB berikan dividen sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit; kecoh pihak yang tak bertanggungjawab menyalahkan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Pakatan Harapan.
Pengumuman kadar dividen yang diumumkan semalam katanya boleh dianggap berpatutan dengan kegawatan ekonomi berikutan wabak Covid-19. Nik Nazmi juga yakin pihak yang mempolitikkan isu dividen lebih tinggi tahun lepas akan diam membisu memandangkan mereka kini menguasai Kerajaan Persekutuan.
Tahun lepas, Nik Nazmi turut mengesyorkan supaya ASB mengguna pakai dividen bertingkat agar pemegang unit dalam kumpulan B40 dan M40 diberi dividen yang lebih tinggi berbanding pemegang unit T20.
“Hampir 80 peratus (7.4 juta) pemegang unit ASB mempunyai unit bernilai kurang RM5,000 pada 2018. Peratusan yang kecil, sebanyak 0.24 peratus mempunyai RM500,001 dan ke atas. Pemegang unit ASB yang dalam kalangan B40 dan hanya mempunyai RM4.1 bilion manakala 9.15 peratus teratas mempunyai RM127.5 bilion dalam dana unit amanah,” – Nik Nazmi, seperti yang ditulis dalam hantaran media sosialnya
Sementara pekali Gini nasional (ukuran ketidaksamaan) telah bertambah baik dari 0.513 pada tahun 1970 kepada 0.399 pada 2016, pekali Gini di ASB adalah 0.84 atau sangat tidak sama rata.
Pada tahun ini ASB memberikan ehsan 0.75 sen kepada 30,000 unit pertama yang menjurus ke arah dividen bertingkat. Sudah tiba masanya untuk PNB jadikan pemberian dividen bertingkat yang mengutamakan akaun B40 dan M40 sebagai dasar tetap. Kumpulan Wang Simpanan Pusat Singapura (CPF) beroperasi mengikut mekanisme sama.
Melalui pengurusan ASB sebelum ini, mereka buat keputusan tepat dengan mengurangkan program pelaburan menggunakan pinjaman bank. Isu-isu seperti dividen ASB dan hibah Tabung Haji harus dilihat secara rasional dan objektif, bukan dengan matlamat membakar emosi kaum dan agama untuk kepentingan politik.
Kedua-dua institusi ini memberi sumbangan besar dalam tabungan dan pelaburan masyarakat Islam dan Bumiputera di Malaysia dan harus kekal relevan bagi memenuhi matlamat sosial mereka yang menjadi asas penubuhan mereka dahulu.
Sepatutnya ASB ni bantu untuk mereka yang miskin, bukan jadi lubuh emas pelaburan
Kita sepatutnya cari kaedah yang lebih progresif untuk pembayaran dividen ASB. Ia tidak boleh menjadi lubuk untuk kelas pertengahan dan atas Melayu Bumiputera untuk menjadi kaya-raya. Pada tahun 2018, 9.15 peratus pemegang unit melanggan 81.83 peratus jumlah unit atau lebih RM127.5 bilion. Ini bermakna kurang daripada 10 peratus pemegang unit menguasai lebih daripada 80 peratus jumlah keseluruhan unit. Kita perlukan sistem yang berfungsi untuk semua orang, bukan hanya segelintir je.