Baru-baru ni, tular isu sorang atlet Malaysia yang berjaya bawa pingat untuk negara akhirnya terpaksa berpuas hati dengan RM800 je. Baginya, RM800 sangatlah tak cukup apatah lagi selepas mengimbau jasanya mengharumkan nama negara dua kali di mata dunia.
Rupanya isu tersebut lebih teruk dari yang disangka, apabila keluar pulak berita melaporkan 144 atlet kebangsaan dibuang oleh Majlis Sukan Negara (MSN). Ratusan atlet berpotensi, yang dah dilatih bertahun-tahun terpaksa dilepaskan…
144 atlet kebangsaan dilepaskan dari Majlis Sukan Negara, peruntukan dipotong ‘kaw-kaw’
Menurut Says.com, dianggarkan 144 atlet kebangsaan termasuklah mana-mana atlet yang dah cipta sejarah untuk Malaysia dalam pertandingan dunia terpaksa dilepaskan dari MSN kerana peruntukan dah dipotong.
Memetik New Straits Time, Program Podium tak dapat peruntukan dalam Belanjawan 2022. Program ni sebenarnya dahulunya dihasratkan sebagai satu program sepenuh masa diperkenalkan untuk melatih lebih ramai atlet Malaysia. Namun apakan daya, tahun ni kerajaan nak fokus pada inisiatif pemulihan Covid-19. Industri sukan hanya diberikan RM289 juta, iaitu hampir 70% kurang daripada tahun-tahun lepas. Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Norza Zakaria pun mengakui terdiam jugak apabila mendengar peruntukan sukan dipotong macam tu ketika pembentangan belanjawan lalu.
“Saya tiada komen (tentang Belanjawan 2022). Saya menunggu penjelasan daripada Majlis Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kewangan. Setahu saya, RM159 juta adalah untuk pembangunan kemudahan sukan di seluruh negara, termasuklah pembinaan stadium di Kelantan untuk Sukma, (dikhuatiri) tidak cukup untuk kos penyelenggaraan”. – Seperti yang dilaporkan The Vibes
Hasil daripada pemotongan peruntukan tu, Menteri KBS Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu umumkan pada Disember lalu, MSN memutuskan untuk kurangkan jumlah atlet sepenuh masa daripada 432 kepada hanya 288 pada tahun ni. Hanya atlet yang dianggap mempunyai potensi menang yang tinggi untuk dapat pingat di Sukan SEA Vietnam, Sukan Komanwel di Birmingham dan Sukan Asia di Hangzhou je akan dikekalkan. Mungkin dari satu sisi, kita harap atlet ternama yang dah juara dunia tu dikekalkan. Harapan tu meleset sama sekali, apabila juara sulung menyelam Cheong Jun Hoong pun dilepaskan jugak.
Atlet luah rasa ‘habis madu sepah dibuang’, elaun diberikan pulak tak setimpal dengan pencapaian diorang
Cheong Jun Hoong kata dia tak tau pun dia akan dibuang. Takde sebarang perbincangan yang dilakukan antara pihaknya dan MSN. Yang dia tau, dia kena buang je. Oleh tu, dia terus umumkan persaraannya memandangkan kontraknya tu tak lagi diperbaharui. Beberapa faktor lain adalah kecederaan lutut dan usianya yang dah masuk 31 tahun disenaraikan sebagai alasan melepaskan Cheong Jun Hoong. Ni kisah atlet renang. Acara sukan lain pun turut ada ‘korban’nya.
Misalnya, beberapa pemain squasy termasuklah yang pernah berada di tangga 10 teratas dunia jugak tak disambung kontrak diorang. Low Wee Wern, anak Malaysia kedua selepas Nicol David berjaya meletakkan dirinya dalam senarai 5 pemain terbaik dunia. Walau bagaimanapun, dia alami beberapa siri kecederaan sejak 2015 sehingga terpaksa melalui pembedahan agar dapat bersedia untuk latihan Sukan Asia dan Komanwel. Tetapi menandangkan belum sembuh pun dah kena buang… tentulah dia pun sedih jugak dan rasa macam ‘habis madu sepah dibuang’.
“Ia memang rasa seperti saya dilayan ‘habis madu sepah dibuang’. Saya berkorban banyak perkara untuk negara. Saya pernah ditawarkan belajar di Amerika Syarikat ketika saya muda, namun saya tolak kerana saya mahu bermain squasy untuk Malaysia. Tambah lagi, agak menggeramkan cara MSN bertindak seperti mereka tidak peduli untuk berbincang dengan saya tentangnya.
Saya tidak rasa sakit hati. Tiada sebab untuk rasa sakit hati, tapi saya rasa tak dihargai selepas apa yang telah saya sumbangkan. Lagipun, saya membuktikan anda juga boleh melangkah ke senarai lima terbaik dunia walaupun sekadar berlatih di Malaysia dan tidak ke luar negara. Ia tentunya membuka peluang kepada pemain dan jurulatih tempatan, namun sekarang MSN telah membuktikan bahawa tiada sebab kenapa nak buat yang terbaik.”- seperti yang dilaporkan New Straits Time
Rayzam Shah Wan Sofian, atlet 110 meter lari berpagar yang dah menyumbang pingat untuk Malaysia di Sukan SEA sebanyak 3 kali pun tak puas hati. Benarlah, menjadi atlet sepenuh masa dan nak pastikan sumbang pingat buat negara seolah dirasakan tak berbaloi apabila RM800 je diberikan untuk elaun buatnya sekarang. Sebelum ni, dia dibayar RM2,000 sebulan oleh MSN. Berlaku pengurangan kira-kira 60%.
“Kalau RM1,500 tak apa lagi, tapi kalau sudah jatuh sehingga RM800, saya pun terfikir-fikir mungkin lebih baik kerja lain sahaja yang berikan gaji lumayan… lebih baik kerja McDonald – seperti yang dipetik Malaysiakini
Walau bagaimanapun, dia menyimpan harapan jugak bahawa MSN akan mempertimbangkan semula potongan elaun tu. Ramai lagi atlet yang berjaya kekalkan prestasi, walaupun tak bawa pingat emas. Ditambah lagi, Rayzam jugak dah berkeluarga.. jadi apa nak makan kalau setakat RM800? Gaji minimum luar bidang sukan pun RM1000 ke atas…
“Saya sudah berkeluarga, dengan RM800 apalah yang dapat saya buat, dengan tanggungan rumah, bil elektrik dan anak.
Bagi saya, MSN perlu lebih telus dan ada budi bicara menilai prestasi atlet, tidak wajar pencapaian hanya dinilai berdasarkan pingat, bukan prestasi tahunan atau bahkan ranking di Asia,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Bila tengok isu ni, kami teringat dah banyak kes sama ada atlet lama atau dah bersara ni… hidup pun ala kadar je. Memang wujud sebenarnya pihak yang fokus bantu bekas atlet seperti Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB). Ramai dah diorang jaga dan bagi sumbangan, siap minta tolong pusat zakat lagi untuk salurkan bantuan kepada bekas atlet. YAKEB ni didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 dan oleh demikian, boleh dianggap sebagai inisiatif untuk bantu bekas atlet. Kursus keusahawanan jugak dah dijalankan untuk mudahkan bekas atlet teruskan kehidupan diorang selepas bersara seperti kursus kecantikan, pemasaran atas talian dan kursus sains sukan.
Bagaimanapun, tu kisah bekas atlet sukan yang dah lama bersara dan tentunya dah jadi warga emas. Untuk ratusan bekas atlet yang kebanyakannya masih muda lagi, ke mana jalan diorang? Adakah kita sebenarnya sia-siakan bakat-bakat yang tak habis digilap? Lepas ni, soalan yang lebih utama untuk ditanyakan bukanlah “ke mana bakat baharu”, sebaliknya, “adakah tempat buat mereka?”.