Isu Peguam dan Hakim Negara menari, kami kaji peraturan kerja mereka

Netizen Malaysia sememangnya golongan yang paling peka dengan isu-isu semasa, sampai tahap pihak media sendiri pun terkejar-kejar untuk laporkan isu-isu yang dibangkitkan netizen. Sekarang ni, isu yang sedang hangat diperkatakan Netizen – berkisar tentang petikan video tular yang menunjukkan sekumpulan warga separa umur sedang galak menari twist di atas pentas semasa sebuah acara Gala Dinner.

 

Makcik-pakcik ni bukan orang biasa-biasa

Rata-ratanya, kalaulah yang kat dalam video tu makcik-pakcik, atau (na’udzubillah) ibu bapa kami, kami hanya mampu cringe selama setengah abad je, tapi perkara yag mendatangkan kontroversi tentang video ini adalah hakikat bahawa ahli-ahli kumpulan menari itu merangkumi;

(a) Richard Malanjum, Ketua Hakim Negara; dan (b) Tommy Thomas, aka Peguam Negara. Turut dilihat di dalam video itu juga adalah  Liew Vui Keong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), serta S. Ambiga dan Siti Kasim, peguam-peguam persendirian yang dilihat sebagai peguam pro-Pakatan Harapan.

Hakim tak boleh buat macam ni. Via Giphy

Seperti yang dijangkakan (Nota Pengarang: tapi mungkin tak dijangka oleh penari-penari twist tersebut?), video menari ini menerima kecaman hebat daripada pelbagai penjuru. Antaranya, Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan adengan tersebut sebagai “mencalar institusi kehakiman dan sistem keadilan negara.”

Apatah lagi jika melibatkan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang bersosial dengan ahli-ahli politik dan individu berprofil tinggi kerana sejak dahulu lagi institusi dan perundangan negara amat sensitif dengan apa jua bentuk pergaulan sosial terutamanya para hakim yang mampu menggugat keyakinan masyarakat terhadap kehormatan, nilai etika, integriti dan adab susila mereka.

Ketua Pemuda UMNO. Via AWANI

Tapi bukan pihak pembangkang ja yang sound insan-insan yang terlibat dalam video tersebut. Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, nyatakan – pihak kehakiman dan eksekutif seharusnya jaga imej kesaksamaan serta integriti institusi-institusi yang diwakili oleh mereka, terutamanya semasa majlis rasmi.

Melalui perkongsian media sosialnya semalam, Nik Nazmi turut ingatkan kita – pada tahun 2016, Pakatan Harapan telah mempertikaikan mantan Peguam Negara, Apandi Ali, menari bersama sekumpulan menteri BN, termasuklah Salleh Said Keruak, Azalina Othman dan Nancy Shukri semasa sebuah majlis sambutan Hari Kemerdekaan.

Kami semak undang-undang untuk ‘hakimi’ tindakan mereka

Ada juga segelintir pihak yang desak supaya Ketua Hakim dan Peguam Negara letakkan jawatan kerana “pergaulan bebas dan terbuka” yang ditonjolkan dalam video tersebut “bercanggah dengan profesionalisme” kedua-dua pihak.

Persoalannya, adakan kritikan-kritikan ini berasas? Kami di orangkata.my mengalu-alukan perbincangan terbuka, tapi kami juga rasa bahawa lebih penting menjadi citizen (rakyat) yang peka daripada Netizen yang hanya reti berkicau tanpa isi yang jitu. Oleh itu, mari kita kupas kontroversi ini dengan lebih mendalam.

Via Giphy

Hakim, peguam dan ahli politik tak boleh bergaul?

Kami bukanlah pakar perundangan, tapi mujur kami ada member budak law. Rupa-rupanya, hakim-hakim di Malaysia (seperti juga institusi kehakiman di kebanyakan negara) tertakluk kepada kod tatakelakuan (alah, macam buku peraturan la) yang mentadbir perilaku hakim-hakim bukan sahaja di dalam, tetapi juga di luar mahkamah dan waktu pejabat.

Menurut Per. 8 (2) Kod Etika Hakim 2009;

“Seorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesion perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah.”

Maksudnya, selagi pergaulan di antara seorang hakim (contohnya, Ketua Hakim Negara) dan peguam (contohnya, Peguam Negara) boleh menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih, pergaulan tersebut sepatutnya dielakkan. Ni kira macam saranan dalam agama Islam supaya mengelakkan fitnah lah, sebab dalam hal ini, seorang hakim dan seorang peguam tidak boleh dilihat sebagai mempunyai hubungan rapat di khalayak ramai, tak kira la kalau diorang sebelum ni merupakan kawan  Facebook je ke, BFF ride or die ke, mahupun adik-beradik sekalipun.

Pada firasat kami, kalau dah menari—tak kiralah dia menari twist, dab, mahupun Kiki Challenge— di atas pentas yang sama tu, maknanya pihak terlibat sama ada memang mempunyai pergaulan yang boleh “menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih” antara mereka atau, mereka mempunyai ketagihan menari yang tak dapat dibendung sehingga sanggup beraksi bersama orang yang tak dikenali.

Tapi, adakah Tommy Thomas telah atau akan hadir di dalam mahkamah Tan Sri Richard Malanjum? Well, memandangkan mereka masing-masing merupakan Big Boss segala peguam negara dan para hakim di Malaysia, kita bolehlah anggap bahawa sebarang bentuk pergaulan rapat antara mereka akan menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih bukan sahaja di antara mereka berdua, tetapi institusi kehakiman dan peguam negara secara keseluruhan.

Via Bernama

Jangan lupa juga bahawa geng menari itu termasuklah peguam seperti Siti Kasim. So, lagilah bertambah keraguan terhadap kredibiliti institusi kehakiman, lebih-lebih lagi jika hakim yang terlibat adalah Ketua Hakim Negara.

Bukan itu sahaja, tapi perkara 8(1) Kod Etika Hakim 2009 juga menyatakan bahawa;

“Seorang hakim hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya tidak: (a) menimbulkan keraguan yang munasabah tentang keupayaan untuk bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim; atau (b) mengganggu perlaksanaan sepatutnya tugas-tugas mahkamah.”

Maksudnya, hakim-hakim bukan hanya tidak boleh dilihat sebagai mempunyai hubungan rapat dengan peguam-peguam yang hadir di dalam mahkamah mereka, tetapi dengan sesiapa sekalipun. Kan orang selalu kata, seorang hakim bukan sahaja wajib berlaku adil, tetapi wajib dilihat sebagai berlaku adil.

Bayangkanlah, contohnya, kalau seorang pengadil bolasepak dilihat berparti, menari-nari dengan pemain atau pengurus mana-mana pasukan bolasepak dan dia kelihatan sangat mesra dengan satu kelab tu, confirm peminat pasukan lain jerit bias! Referee berat sebelah!

Image result for bias referee gif
Referee pun hakim, kena adil. Via Giphy

Keputusannya: Jika anda merupakan Ketua Hakim Negara, anda memang sepatutnya menjadi seorang loner, sebab jangan dikatakan hubungan dengan peguam, tapi dengan sesiapa sahaja pun boleh “menimbulkan syak” atau “keraguan munasabah” bahawa bukan sahaja anda—tetapi  memandangkan anda mewakili institusi kehakiman negara—institusi tersebut juga mungkin tidak akan bertidak secara saksama. Simpan sahaja niat mempunyai social life sehingga selepas anda bersara.

Via Giphy

Hakim dan peguam (serta ahli politik) tak bergaul sejak azali?

Jika Kod Etika Hakim 2009 hanya mentadbir perilaku hakim, kenapa Tommy Thomas, selaku Ketua Peguam Negara, turut terpalit dengan kontroversi ini? Sebenarnya, sebahagian besar kritikan (wajar) terhadap Tommy Thomas dalam hal ini adalah berasaskan konsep perpisahan kuasa antara bidang Eksekutif (diwakili Jemaah Menteri), Perundangan dan Kehakiman. Jika ketiga-tiga pihak ini dilihat berparti bersama, ini mungkin sebuah petanda bahawa perpisahan kuasa di antara ketiga-tiga bidang ini terhakis.

Tapi, sejauh mana kebenaran di dalam kenyataan Asyraf Wajdi bahawa;

“Sejak dahulu lagi institusi dan perundangan negara amat sensitif dengan apa jua bentuk pergaulan sosial terutamanya para hakim yang mampu menggugat keyakinan masyarakat terhadap kehormatan, nilai etika, integriti dan adab susila mereka”?

Hmm.. kami rasa Asyraf mungkin mengalami selective amnesia. Menurut tinjauan kami, sebenarnya “sejak dahulu lagi” Institusi Kehakiman, Perundangan serta politik negara berpisah tiada. Malah, seperti yang dikatakan oleh Nik Nazmi, sejak tahun 2016 lagi Peguam Negara telah dilihat berparti bersama menteri.

Bukan tu ja, pada lewat tahun 1990-an, telah timbul kontroversi bahawa Ketua Hakim Negara pada waktu itu, Eusoff Chin, telah bercuti di New Zealand bersama peguam VK Lingam. Kalau korang tak kenal VK Lingam, silalah Google nama dia. Sure terhibur.

Nik Nazmi. Via Keadilan

Namun begitu, meskipun sebuah perkara itu sudah sebati dalam masyarakat sehingga menjadi adat resam, ia tidak sepatutnya berterusan berlaku jika melanggar etika dan undang-undang. Macam perkahwinan bawah umur jugaklah kan.

Seharusnya, pihak pentadbiran negara di era Malaysia Baharu ini menunjukkan perubahan ke arah kebaikan daripada kerajaan terdahulu. Takkan nak kena tuduh jadi hipokrit kot—dulu bukan main lagi menuduh kerajaan dan pentadbiran BN sebagai perosak institusi-institusi negara, sekarang dia pulak yang mencalarkan institusi-institusi tersebut.

Kesimpulannya:

  1. Pihak pentadbiaran Malaysia Baharu nampaknya masih tidak faham konsep perpisahan kuasa;
  2. Peguam-peguam negara mungkin mengalami ketagihan tarian; dan
  3. Asyraf Wajdi seeloknya mengambil gingko biloba untuk memulihkan daya ingatannya.

Hakim, peguam dan ahli politik tak boleh menari?

Boleh, siapa kata tak boleh? Nak buat flip 360 darjah pun boleh. Tapi tidak boleh bersama, dan kalau boleh, jaga batas tatasusila. Al-maklumlah, anda semua bukan calang-calang orang. Kami syorkan kalau nak menari sangat tu, belilah game Dance Dance Revolution XBox.

Kami berharap selepas ini tiada lagilah timbul kontroversi picisan seperti video menari yang telah tertular tersebut. Maklumlah, banyak lagi perkara-perkara penting yang sewajarnya diberi perhatian oleh pihak pentadbiran, seperti permasalahan ekonomi, kes-kes korupsi, kerosakan alam sekitar, dan sebagainya. Sampai bila kita akan diralitkan dengan hal-hal remeh seperti ini?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *