Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Beliau berkata pemberian bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu, adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
Katanya, jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun ini, dan ini adalah kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.
“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya seperti Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99 Speedmart serta kedai runcit di semua daerah seluruh negara. Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen serta platform media sosial hari ini.
Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025, dan ini adalah kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kos sara hidup kekal sebagai cabaran mesti ditangani dengan bijaksana dan segera meskipun kadar inflasi keseluruhan pada Jun tahun ini adalah yang terendah dalam tempoh 52 bulan iaitu 1.1 peratus, namun kenaikan harga makanan minuman masih melebihi purata inflasi.
PKR Sabah sambut baik pengumuman daripada PMX
Pengumuman Perdana Menteri termasuk penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter disifatkan sebagai amat bermakna kepada rakyat Sabah, khususnya di kawasan pedalaman yang sangat bergantung kepada pengangkutan jalan raya dan sungai untuk mendapatkan bahan api tersebut.

Dalam kenyataan bersama Ketua-Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, mereka menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan kesabaran sepanjang tempoh pemulihan ekonomi negara.
Menurut kenyataan itu, langkah-langkah segera yang diumumkan seperti pemberian tunai ‘one-off’ RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), cuti tambahan sempena Hari Malaysia, penggandaan Jualan Rahmah Madani, pembekuan kenaikan tol serta pengurangan harga RON95 merupakan bukti jelas komitmen kerajaan dalam mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat secara langsung dan menyeluruh.
“Bagi rakyat Sabah khususnya, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 dengan penurunan harga itu amat bermakna kerana tahap kebergantungan tinggi terhadap pengangkutan jalan raya dan sungai di kawasan pedalaman.
“Begitu juga dengan peluasan program Jualan Rahmah Madani ke seluruh 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memberi ruang kepada penduduk luar bandar untuk mendapatkan barangan asas pada harga yang lebih rendah tanpa perlu bergantung semata-mata kepada kedai-kedai utama di bandar,” katanya
Tambah kenyataan itu lagi, pengumuman tersebut mencerminkan pengiktirafan bahawa rakyat adalah nadi sebenar kepada kemajuan negara di bawah kerangka Ekonomi Madani.
“Usaha-usaha ini tidak hanya menunjukkan kepekaan kerajaan Madani terhadap realiti hidup rakyat tetapi juga membuktikan bahawa pentadbiran hari ini bersedia mengambil tindakan tegas dan proaktif untuk menangani beban sara hidup yang ditanggung rakyat.
“Dalam masa yang sama, pemberian tunai one-off melalui MyKad kepada semua dewasa berumur 18 tahun ke atas tanpa mengira latar belakang atau kategori pendapatan adalah langkah progresif yang menzahirkan rasa penghargaan Kerajaan kepada setiap individu atas peranan mereka dalam pemulihan negara,” katanya.
PKR Sabah turut melihat kesemua inisiatif tersebut sebagai lanjutan kepada usaha-usaha terdahulu yang telah menunjukkan hasil positif, termasuk pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh, penurunan kadar pengangguran serta keberkesanan program membasmi kemiskinan tegar.
Wee Ka Siong sedia pulangkan semula bantuan RM100 untuk sistem kesihatan dan pendidikan yang lebih baik
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sedia memulangkan bantuan RM100 sekali bayar yang bakal diterima melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bagi membolehkan dana terkumpul digunakan untuk menaik taraf sistem kesihatan serta pendidikan negara.
Beliau berkata, bagi tujuan tersebut, kerajaan dicadangkan mewujudkan satu mekanisme untuk rakyat yang tidak mahu atau tidak memerlukan bantuan SARA RM100 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar ia boleh ‘dipulangkan’ secara sukarela kepada kerajaan.
“Saya percaya Anwar, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, semua menteri Kabinet dan ramai ahli Parlimen serta ADUN juga akan sanggup melepaskan bantuan SARA RM100 mereka demi rakyat. Saya orang pertama yang akan salurkan. Satu solusi menang-menang – rakyat boleh pilih, kerajaan pun menang. Daripada membelanjakan wang untuk langkah populis kepada golongan yang mungkin tidak memerlukan, bukankah lebih baik digunakan untuk membantu rakyat yang benar-benar memerlukan dan menaik taraf sistem kesihatan serta pendidikan negara?” katanya
Sebelum ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa setiap warganegara dewasa berumur 18 tahun ke atas akan menerima RM100 sekali bayar melalui MyKad di bawah program SARA. Pengumuman tersebut merupakan antara lima langkah segera bagi meredakan tekanan kos sara hidup rakyat, meskipun kadar inflasi keseluruhan bagi Jun 2025 mencatatkan hanya 1.1 peratus, terendah dalam tempoh 52 bulan.
Bagi pemimpin Pas ini, apa yang dikatakan Anwar cuma satu yang menarik
Hanya satu perkara yang menarik daripada pengumuman khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah bantuan RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia. Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari berkata, bantuan itu yang bernilai keseluruhan RM2 bilion dilihat wajar, namun selebihnya hanyalah pengumuman biasa yang menurutnya boleh sahaja diumumkan pada bila-bila masa, terutamanya menjelang pembentangan Belanjawan 2026 nanti.

“(Namun) terpaksa diumumkan segera kerana ingin mengurangkan momentum kemarahan rakyat untuk turun (berhimpun) 26 Julai ini. Umpamanya, tidaklah padan dengan teaser yang ditayangkan seminggu sudah seolah-olah filem pecah panggung, rupanya filem cap ayam menggunakan software ciplak untuk proses editing,” katanya
Mengulas lanjut, Fadhli turut mempersoalkan penurunan harga RON95 sebanyak lima sen yang diumumkan Perdana Menteri secara langsung di kaca televisyen.
“RON95 turun lima sen, tidak padan dengan pengumuman seorang Perdana Menteri secara langsung di kaca televisyen,” ujarnya.
Selain itu, katanya, kenaikan harga lantai padi juga tidak memberi makna besar kepada pesawah memandangkan pelbagai kos pengeluaran lain turut meningkat.
“Harga lantai padi naik? Tapi tanyalah pesawah diesel naik, baja naik, mesin rosak, semua naik. Kos pengeluaran jauh lebih tinggi daripada harga lantai, yang untung bukan pesawah tapi tauke,” katanya.