Suatu masa lalu, kita kenali bedak Johnson & Johnson sebagai salah satu kelengkapan bayi yang baru nak membesar. Ia jadi pilihan utama, dan suatu benda yang wajib ada kat kedai-kedai runcit. Bukan tu je, ada jugak kalangan dewasa yang turut memanfaatkan bedak tersebut atas bermacam sebab – wangi, mudah didapati dan murah (kalau yang saiz kecil tu lah). Walau bagaimanapun, tak ramai tau bahawa syarikat pengeluar bedak yang disukai ramai ni sebenarnya dah kena saman. Bukan sorang je yang saman. Ribuan orang saman Johnson & Johnson kerana bedak talkum diorang tu dipercayai penyumbang kepada kanser.
Tahun demi tahun, saman demi saman; Johnson & Johnson terus bertegas bahawa bedak talkum diorang takde masalah. Tapi baru-baru ni, diorang umumkan diorang akan hentikan pengeluaran talkum tersebut dan akan ganti dengan bedak talkum berasaskan… kanji jagung (cornstarch). Adakah ni suatu langkah yang tepat bagi Johnson & Johnson, dan kenapa tiba-tiba baru nak tukar? Kami kupas selanjutnya…
Bertahun-tahun didakwa penyebab kanser, ini hasil siasatan wartawan Reuters
J&J ni syarikat besar dan dikenali seluruh dunia dengan bermacam-macam produk. Produk bayi di bawah syarikat diorang pun dah lebih dari satu. Namun yang paling menarik perhatian rakyat seluruh dunia adalah bedak talkumnya. Setelah beberapa siri saman yang mengheret J&J ke mahkamah, salah sorang wartawan Reuters iaitu Lisa Girion cuba menyelami salah satu kes ‘mangsa’ bedak talkum J&J yang disahkan ada kanser.
Perjalanan sorang wanita, Darlene Coker bermula apabila dia tiba-tiba disahkan ada kanser yang agak jarang ditemui, mesothelioma. Ia merupakan salah satu tanda bahawa dia terdedah kepada asbestos untuk jangka masa yang lama.
Dia agak pelik dari mana datangnya kansernya, lagi-lagi apabila dia yakin sangat dia sendiri tak terdedah kepada asbestos sepanjang hidupnya. Jadi dia bayar sorang peguam, Herschel Hobson untuk siasat kes ni. Herschel ni berkepakaran menyiasat kes yang ada kaitan dengan kecederaan peribadi. Hobson percaya, talkum dan asbestos selalu ditemukan bersama-sama, dan bahan talkum tu mungkin boleh tercemar dengan karsinogen. Coker saman J&J, mendakwa ‘talkum beracun’ itulah pembunuh kesihatannya.
Itu ceritanya pada tahun 1999. Oleh sebab waktu tu, diorang tak cukup bukti untuk teruskan perbicaraan lawan J&J… diorang tarik balik saman tersebut. J&J nafikanlah dakwaan Coker; bedak bayi diorang selamat. Semasa kes tu berlangsung, J&J dilaporkan mampu elak nak beri sampel talkum diorang untuk siasatan dan taknak berikan rekod dalaman J&J yang Hobson minta.
Namun selepas 2 dekad lamanya, Coker dan peguamnya tak putus asa dan terus kumpul lebih banyak bahan, testimoni, memo dalaman syarikat, laporan dalaman dan dokumen sulit. Mengikut bahan bukti yang diorang kumpulkan, kira-kira 11,700 orang kini mendakwa talkum J&J adalah punca penyebab kanser diorang, termasuklah ribuan wanita yang ada kanser rahim.
Kumpulan wartawan Reuters sendiri turun dan semak dokumen-dokumen ini. Sekurangnya sejak 1971 hingga awal 2000-an, serbuk talkum syarikat tersebut memang ada terbukti mempunyai kandungan asbestos. Para eksekutif, pengurus perlombongan, saintis, doktor dan peguam syarikat berhempas-pulas cuba nak selesaikan masalah tersebut, namun gagal bersikap telus kepada pihak berwajib atau khalayak umum. Hantar ke makmal luar, pun membuahkan hasil yang sama: ada asbestos dalam bedak talkum diorang sekurangnya pada 1972 hingga 1975.
Bahkan, kebanyakan laporan makmal J&J jugak tak menemukan asbestos. Ye lah, makmal diorang sendiri kan… mesti ada cara nak bagi ‘bersihkan’ laporan tu. Salah satunya adalah diorang ada letak had sendiri yang membenarkan sisa yang tercemar tu tak dapat dikesan, dan hanya bilangan sampel yang kecil je sebenarnya diuji.
Meskipun tak semua orang yang terdedah kepada asbestos akan menghidapi kanser, namun bagi sesetengah lain, sejumlah kecil asbestos pun boleh timbulkan kanser selepas beberapa tahun.
Kerana jumlah bukti yang banyak telah dibawa ke hadapan mahkamah, hakim memerintahkan syarikat J&J untuk bayar pampasan kepada Coker dan ratusan pesakit kanser lain yang berjaya membuktikan penggunaan bedak talkum J&J adalah penyebab kanser.
Kes bedak talkum J&J ni sangat popular di Kanada dan Amerika Syarikat, sehinggakan ramai boikot taknak beli. Perkara ni jugak turut membuatkan sebahagian lain sangat ragu pada kredibiliti Johnson & Johnson bila diorang umum dah berjaya hasilkan vaksin. Buat bedak, orang dapat kanser. Nak buat vaksin, jadi apa pulak… kan?
J&J hentikan pengeluaran bedak talkum selewatnya pada 2023, mungkin tukar kepada kanji jagung
Baru-baru ni, syarikat tersebut umumkan diorang akan hentikan pengeluaran dan penjualan produk bedak talkum tu seluruh dunia. Pengumuman tu dibuat selepas 2 tahun diorang hentikan jualan di Amerika Syarikat. Masa tu kat Amerika Syarikat, berjuta duit diorang hangus kerana terpaksa bayar pampasan kepada para mangsa talkum diorang tu.
Oleh sebab tu, diorang hentikan terus dan tarik produk bedak talkum diorang kat pasaran Amerika Syarikat namun terus menjualnya di pasaran United Kingdom dan global. Kos pampasan dan perundangan je dah makan $3.5 bilion kat Amerika Syarikat, tak beranilah J&J nak teruskan lagi meskipun dah dijual hampir 130 tahun lamanya dan menjadi sebuah produk yang mempopularkan Johnson & Johnson.
Macam kami katakan tadi, J&J hentikan pengeluaran bedak talkum diorang. Tapi tak bermakna diorang nak terus lupuskan saham pasaran diorang dalam industri kelengkapan bayi. Produk bedak yang dimaksudkan mungkin tak lagi guna berasaskan talkum, dan akan ditukarkan asasnya kepada kanji jagung. Kata wakilnya, Melissa Witt:
“Kami akan terus menilai dan memperbaiki portfolio kami untuk memperkasakan kedudukan bisnes untuk pertumbuhan jangka panjang. Keputusan hari ini merupakan hasil penilaian portfolio seluruh dunia, yang telah mengkaji beberapa faktor, termasuk perbezaan permintaan produk kami merentasi kawasan geografi dan trend kegemaran pengguna yang semakin berubah”- seperti yang dilaporkan Bloomberg
Kanji jagung ni sebenarnya merupakan antara bahan yang kerapkali disebut dalam komuniti ibubapa. Walaupun ada jugak yang kurang bersetuju dengan penggunaan kanji jagung ni, ada jugak yang sokong bahawa kanji jagung lebih selamat berbanding talkum untuk penggunaan biasa khususnya kepada bayi. Parents.com misalnya, menggalakkan para ibu bapa untuk pertimbangkan kanji jagung kerana partikelnya lebih besar jika dibandingkan dengan talkum. Jadi ia kurang berbahaya untuk saluran pernafasan.