Belanjawan 2025, ada pelbagai pandangan berbeza

f1 min (34)

Pembangkang perlu membentangkan belanjawan bayangan sendiri dan bukan hanya bercakap kosong tanpa ada cadangan lain. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, beliau tidak menafikan menyediakan belanjawan adalah tanggungjawab kerajaan.

“Betul, tetapi bila nak semak imbang sepatutnya tunjuk dekat kita ada cadangan yang lebih baik bukan hentam tetapi tiada cadangan lain. Melainkan memang pihak Perikatan Nasional (PN) tidak ada alternatif maka kekallah dengan mentaliti begini. Ingin kekal jadi pembangkang kosong selamanya,” katanya menerusi hantaran Facebook

Dalam pada itu, Muhammad Akmal memaklumkan, rakyat layak menilai belanjawan alternatif diberikan pembangkang supaya dapat menilai mana yang lebih baik.

Parti pembangkang tak perlu membentangkan bajet bayangan mereka. Demikian menurut Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, pihak yang ingin melihat bajet alternatif perlu menunggu sehingga Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan.

Menurut beliau, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, peranan semak dan imbang pembangkang bukan dilaksanakan melalui penyediaan bajet bayangan.

“Pembangkang berperanan dalam semak dan imbang melalui penilaian bajet, bukan dengan menyediakan bajet bayangan. Tanggungjawab menyediakan bajet adalah milik kerajaan, dan pembangkang akan meneliti serta mencadangkan penambahbaikan,” katanya kepada Astro AWANI

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada gesaan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin yang mengajak PN memainkan peranan semak dan imbang dengan mengemukakan bajet bayangan selepas Belanjawan 2025.

Tuan Ibrahim berpendapat, kenyataan Sim mencerminkan kurangnya keyakinan terhadap bajet kerajaan sendiri.

“Saya nampak kenyataan beliau menunjukkan tiada keyakinan terhadap bajet kerajaan, sehingga mahu lihat bajet pembangkang,” tambahnya.

Dalam pembentangan di Dewan Rakyat minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan belanjawan tertinggi dengan peruntukan sebanyak RM421 bilion. Ia meliputi RM335 bilion belanja mengurus, RM86 bilion belanja pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Pembangkang mahu kerajaan kaji semula penghapusan subsidi pendidikan

Kerajaan disaran supaya mengkaji semula penghapusan subsidi pendidikan di sekolah berasrama penuh untuk golongan maha kaya atau T15. Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, wilayah atau kelas pendapatan mesti diberikan peluang untuk mendapatkan akses kepada pendidikan percuma yang berkualiti.

“Sudahlah mereka terpaksa membayar harga petrol yang lebih mahal bermula tahun hadapan, mereka juga terpaksa membayar lebih untuk pendidikan anak-anak di asrama penuh. Seeloknya, hal pendidikan untuk anak-anak ini janganlah diganggu. Dasar memberikan pendidikan percuma kepada semua lapisan rakyat yang diamalkan sejak dahulu mesti diteruskan,” katanya ketika sesi Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat

Muhyiddin menambah, beberapa pelaksanaan dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu akan berikan kesan rantaian kepada rakyat

Jelas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 misalnya akan memberikan kesan terus kepada kenaikan harga barang.

“Jika subsidi petrol RON95 ditarik pada tahun hadapan, saya pasti kesan berantainya akan dirasai oleh rakyat. Walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa hanya golongan T15 yang akan membayar lebih, tetapi siapakah golongan T15 ini? Berapa jumlah mereka? Adakah mereka ini golongan maha kaya?” soalnya.

IDEAS beri cadangan supaya ada bantuan tunai kepada kelas penengah

Skim bantuan tunai seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) perlu diperluaskan kepada M40, dan tidak hanya diberikan kepada golongan B40. Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari berpandangan pemberian wang tunai yang lebih sistematik perlu dilaksanakan, dengan mengambil kira situasi ekonomi kumpulan kelas pertengahan.

Ujarnya, pelaksanaan tersebut lebih mudah untuk dilakukan berbanding penyasaran subsidi kepada kumpulan 15 peratus teratas atau 85 peratus.

“Kenaikan kadar STR dan SARA, sebenarnya saya rasa mungkin antara langkah yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan ialah, kalau kita dah selaraskan subsidi, program pemberian wang tunai kepada rakyat ini sebenarnya yang kita pertimbangkan dan, saya rasa kesilapan atau mungkin ‘loophole’ yang harus diperbetulkan ialah pemberian wang tunai hanya bagi kepada apa yang kita rasa B40.

“Klasifikasi itu pun saya rasa ada banyak orang yang tak bersetuju juga. Jadi mungkin kena ada skim-skim yang macam ini tetapi untuk kelas pertengahan. Sebab itu, kita tak boleh anggap kelas pertengahan okay atau mampu beli semua benda, bayar bila, bagi makan anak-anak dan sebagainya,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru yang disiarkan Astro AWANI

Jelas beliau lagi, penyaluran wang terus kepada penerima melalui akaun bank masing-masing boleh dilaksanakan kerana sistem tersebut telah pun wujud. Aira juga berpendapat bahawa ucapan Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini mempunyai elemen politik dan tidak sekadar menekankan susun atur polisi kerajaan pada masa depan.

“Kenapa saya kata ada elemen politik dalam ucapan belanjawan sebab kalau elemen politik itu tidak ada langsung, saya percaya perincian maksud T15 dan apa benda yang disebut itu… dah ada perinciannya terus. Kalau kita dengar komen Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi), beliau ada mengatakan bahawa ‘ucapan belanjawan tak akan kita nak kaji menyeluruh apa itu T15, baru kita umum dalam bajet… Tak boleh macam itu, ia akan ambil masa lama’,” ujarnya.

MIDA percaya Belanjawan 2025 bantu pelaburan ekonomi negara

Inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 membolehkan Malaysia menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, inovatif dan mampan yang seterusnya menjadikan negara destinasi pelaburan terpilih di rantau Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, berkata inisiatif tersebut merupakan satu langkah penting untuk merealisasikan matlamat Rangka Kerja Ekonomi MADANI.

Beliau berkata, bagi tujuan itu MIDA akan terus memainkan peranannya menyokong iklim pelaburan segar buat pelabur serta komuniti perniagaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara.

“Kami amat teruja dengan rangkaian insentif yang diumumkan dalam belanjawan, yang akan meningkatkan lagi daya saing komuniti perniagaan, menarik pelaburan berkualiti yang disasarkan dan mewujudkan peluang baharu untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan

Selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI, beliau berkata, Belanjawan 2025 mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

“Belanjawan ini juga akan memperkasakan komuniti perniagaan, memacu inovasi, meningkatkan nilai ekosistem sektor perkilangan dan perkhidmatan yang dinamik sekali gus menjana manfaat buat rakyat. Melalui inisiatif yang digariskan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan MIDA komited menggandakan usaha dan peranan untuk memperkukuhkan daya saing negara di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *