Sudah menjadi rutin harian Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sentiasa sibuk. Pada pagi 13 Februari 2017, seorang lelaki Korea Utara yang memakai baju polo berwarna biru dan seluar jeans, ‘hilang’ dalam kesibukan itu. Beliau ketika itu dalam dijadualkan akan terbang ke Macau.
Ketika beliau sedang berjalan dengan memakai beg silang pada bahunya, secara tiba-tiba seorang wanita menyapu bahan berminyak ke mukanya sebelum menghilangkan diri. Detik ini ditangkap oleh CCTV lapangan terbang tersebut.
Lelaki itu meninggal kerana agen saraf berbahaya
Tidak lama kemudian, seorang lagi wanita datang dari belakang dan menutup mata lelaki itu dengan tangannya. Wanita itu kemudiannya menurunkan tangannya ke bahagian mulut lelaki itu, sebelum meminta maaf dan bergegas pergi. Kurang dari 20 minit kemudian lelaki itu disahkan meninggal dunia, akibat pembunuhan menggunakan agen saraf VX, antara senjata kimia paling berbahaya di dunia.
Lelaki itu adalah Kim Jong-nam, abang tiri kepada Kim Jong-un, yang juga asalnya merupakan antara pewaris kepemimpin Korea Utara. Dah macam filem James Bond, sekurang-kurangnya empat orang agen Korea Utara bersembunyi berhampiran tempat kejadian, untuk menyaksikan pembunuhan tersebut, dan bersedia terhadap sebarang kemungkinan.
Beberapa jam selepas serangan, agen-agen ini melepasi kawasan pemeriksaan imigresen dan menaiki penerbangan meninggalkan Sepang dan Malaysia, ditemani oleh seorang diplomat Korea Utara. Diplomat Korea Utara itu bernama Hyon Kwang Song, 44 tahun; manakala kakitangan penerbangan Air Koryo adalah Kim Uk II, 37 tahun. Keempat-empat warga Korea Utara yang melarikan diri dari KLIA adalah Ri Ji-hyon, 33 tahun, Hong Song-ha, 34 tahun, O Jong-gil, 55 tahun, dan Ri Jae-nam, 57 tahun.
Pembunuhan ini dirancang dengan begitu rapi…
Perjalanan pulang mereka itu dirancang dengan sungguh rapi bagi mengelakkan mereka melalui negara yang mungkin menyebabkan mereka ditangkap. Mereka kembali ke Pyongyang menerusi penerbangan transit di Jakarta, Dubai, dan Vladivostok, pada 17 Februari 2017.
Vipin Narang, seorang professor politik di Massachusetts Institute of Technology, menekankan bahawa alasan mereka melakukan pembunuhan secara terbuka adalah untuk meninggalkan amaran yang jelas, bahawa Kim Jong-un tidak gentar untuk menggunakan senjata pemusnah besar-besaran di dalam lapangan terbang yang padat dengan orang awam.
Kemudian, apa yang berlaku adalah dua orang yang bukan terdiri daripada agen Korea Utara: Siti Aisyah dari Indonesia dan Doan Thi Huong, dari Vietnam. Berdasarkan testimoni yang diberikan, mereka telah dilatih secara tidak langsung sebagai pembunuh oleh para agen Korea Utara pada bulan terdahulu. Mereka mendakwa bahawa mereka diperdaya untuk melakukan ‘prank’ untuk sebuah rancangan YouTube Jepun. Mereka inilah yang meletakkan bahan kimia ke muka Jong-nam.
Pada bulan Mac 2019, kesemua pertuduhan terhadap Siti digugurkan, menyebabkan Doan menjadi satu-satunya tertuduh yang tinggal. Beliau ditawarkan pilihan untuk menerima pertuduhan yang lebih ringan, iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata berbahaya dan 10 tahun penjara, berbanding pertuduhan asal, yang membawa kepada hukuman mati mandatori menerusi tali gantung, jika didapati bersalah.
Doan bersetuju dan menzahirkan kegembiraannya di mahkamah. Beliau kemudiannya dijatuhkan hukuman tiga tahun dan empat bulan penjara, namun pasukan peguamnya percaya bahawa hukumannya akan dikurangkan dan mungkin dibebaskan pada bulan Mei.
Disebabkan pembunuhan ni, terjadi krisis di antara Korea dan Malaysia
Pembunuhan Jong-nam di bumi asing menyebabkan krisis diplomatik yang besar di antara Korea Utara dan Malaysia, Malaysia menyingkirkan duta Korea Utara, enggan membenarkan mayat Jong-nam dibawa ke Pyongyang dan menuntut tiga orang yang bersembunyi di Kedutaan Korea Utara untuk menyerah diri dan disoalsiasat oleh pihak polis. Sebagai balasan, Pyongyang menahan kesemua rakyat Malaysia di sana daripada pulang.
Bagaimanapun, selepas 2 tahun tragedi pembunuhan itu, diplomasi belakang tabir dipercayai telah berjalan antara kedua-dua negara. Tatkala mahkamah mengarahkan Siti dan Doan memberikan keterangan, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengadakan pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebanyak 2 kali pada 2018. Menerusi satu arahan yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Siti dibebaskan pada bulan Mac.
Sebelum insiden di KLIA, hubungan diplomatik dan perdagangan antara Malaysia dan Korea Utara berjalan dengan mesra dan erat selama 40 tahun, khususnya ketika pemerintan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri pada era 80an dan 90an. Dr Nam Sung-wook, seorang professor di Korea University menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia mungkin mahu memulihkan hubungan dengan Pyongyang.
Kim Jong-nam yang lahir pada 1971 merupakan anak sulung kepada Kim Jong-il, dan digambarkan sebagai bakal mewarisi takhta di Korea Utara. Namun, selepas dihantar ke sekolah ebrasrama di Switzerland, beliau mula menjalani kehidupan yang mewah.
Pada 2001, beliau ditangkap kerana cuba memasuki Jepun, semata-mata untuk melawat Disneyland di Tokyo. Hal ini sangat mengaibkan buat Pyongyang, dan kemudiannya Jong-nam dilihat mula vokal terhadap pentadbiran di negaranya.
Rundingan di antara dua negara menyebabkan Siti dibebaska. Tapi…
Pada 11 Mac 2019, Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yasonna H. Laoly menyatakan dalam satu sidang media bahawa Siti dibebaskan tanpa dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Beliau berkata, ianya adalah hasil beberapa siri rundingan termasuklah pertemuan antara Presiden Indonesia, Joko Widodo dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Ogos tahun lalu.
Selain itu, Yasonna berkata beliau turut membuat pertemuan dengan Peguam Negara Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagi membuat permohonan yang sama.
Sementara memetik laporan media Indonesia, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Rusdi Kirana berkata, kejayaan Indonesia membebaskan wanita itu adalah komitmen Jokowi memastikan kehadiran kerajaan dalam membantu rakyat Indonesia yang berdepan masalah di luar negara. Media tempatan melaporkan, Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan membebaskan Siti Aisyah selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan menerima arahan untuk tidak meneruskan kes terhadap beliau.
Namun, pada 12 Mac 2019, Tun Dr. Mahathir menafikan pembebasan Siti Aisyah daripada tuduhan membunuh Jong-nam adalah atas rundingan kerajaan Indonesia dan Malaysia.
“Ini keputusan yang dibuat oleh mahkamah, dia dibicarakan dan didakwa ditarik balik. Itu proses yang mengikut undang-undang, ada hak tarik balik pendakwaan, itu dilakukan. Saya tak tahu perincian sebab-sebabnya tapi pendakwa raya boleh tarik balik pendakwaan,” – Tun Mahathir
Apa juga cerita di balik tabir Malaysia-Korea Utara sehingga Aisyah boleh dibebaskan, satu fakta yang jelas adalah pembunuhan Jong-nam adalah terancang dan berniat jahat. Menjadi pewaris takhta kepada sesebuah kerajaan sepatutnya menjadi suatu keistimewaan, namun bagi mereka yang berada dalam senarai pewaris dinasti keluarga kepemimpinan Korea Utara, keadaan itu menjadi sebaliknya.
Kerana kekuasaan, semua benda mereka berani buat
Mana-mana ahli keluarga yang berpotensi memberi ancaman kepada jawatan pemimpin utama akan dihapuskan dengan kes pembunuhan atas tujuan itu telah berlaku sejak zaman Kim Il-sung lagi yang mula memperkenalkan ideologi komunis pada tahun 1912 dan berterusan ke zaman Kim Jong-il dan Kim Jong-un.
Pembunuhan Jong-nam boleh dikaitkan dengan ancaman politik yang dibawa olehnya, sama juga seperti yang pernah berlaku kepada bapa saudara beliau, Jang Song-thaek yang dilaporkan bertindak membelot, sebelum dihukum bunuh dengan menggunakan senjata anti-pesawat pada Disember 2013.