Calon PhD lawan calon kurang berpendidikan

f1

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin mengakui beliau menggalas tugas berat bagi merealisasikan hasrat kepimpinan tertinggi parti merampas kembali kerusi DUN itu.

Joohari pada sesi Ramah Mesra Bersama Media pada Ahad lepas berkata, memandangkan kerusi itu bukan bersifat status quo, beliau perlu bekerja lebih keras untuk memenangi semula kerusi berkenaan yang merupakan kubu kuat PKR selama tiga penggal sejak 2008 sebelum bertukar tangan kepada Pas tahun lepas.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui selepas proses penamaan calon Sabtu lepas berkata, PRK berkenaan mampu menjadi medan terbaik buat PH mencipta kejutan merampas kembali kerusi itu, seterusnya menyumbang kepada pengukuhan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

Persoalannya mampukah bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu merealisasikan harapan tinggi berkenaan?

Penganalisis politik, Prof Dr Jayum Anak Jawan berkata, bekas guru itu mampu dan berkebolehan untuk memecahkan status quo kerusi DUN berkenaan kerana beliau bukannya calon tanpa kelebihan atau ‘underdog’, sebaliknya mempunyai sokongan daripada parti pemerintah di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Beliau berkata, PRK DUN Sungai Bakap bukan pertandingan antara calon semata-mata, tetapi dilihat sebagai medan pertaruhan parti-parti politik Melayu yang bersaing untuk memikat pengundi Melayu.

“Ia antara PKR (+ UMNO) lawan Bersatu (+ PAS). Kemenangan kepada PKR dan PH akan suntik semangat bahawa sokongan Melayu mula beralih kepada PKR dan PH. Ia juga menjadi medan pertaruhan sokongan Melayu kepada PKR dan PH,” kata pensyarah Sains Politik Universiti Putra Malaysia itu

Beliau yang juga Felo Akademi Sains Malaysia berkata, persaingan satu lawan satu antara PH dan Perikatan Nasional (PN) tanpa calon ketiga membuktikan tiada pihak ketiga yang mampu menggugat barisan parti pemerintah dan pembangkang menyusun strategi dalam PRK itu.

Beberapa faktor yang akan menjadi penentu kemenangan calon

Turut senada pensyarah kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Jamaie Hamil yang menyifatkan peluang Joohari memecahkan status quo kerusi DUN Sungai Bakap yang dilihat sebagai ‘kawasan kelabu’ adalah cerah, namun bergantung kepada beberapa faktor.

“Pertama perlu dilihat bagaimana kempen dimainkan oleh Kerajaan Perpaduan untuk memberi keyakinan kepada pengundi supaya memberi kemenangan kepada mereka. Kedua, perlu ditekankan kenyataan bahawa jika Pas menang di kawasan itu sekalipun, ia tidak boleh berbuat apa-apa kerana kerajaan negeri (Pulau Pinang) berada di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Ketiga, jika dilihat kepada negeri-negeri yang diperintah PN, tidak nampak ada kemajuan atau langkah-langkah yang boleh mencabar negeri-negeri di bawah khemah Kerajaan Perpaduan termasuk di Sabah dan Sarawak. Jika track record itu berjaya diyakinkan oleh jentera Perpaduan, maka ia kelebihan kepada calon PH.

“Jika kita lihat sejarah di Sungai Bakap pada PRU lepas, persaingan sebenarnya berlaku antara PKR dan Barisan Nasional (BN), bukan dengan Pas. Pas sebenarnya tidak memberi saingan pun kepada PKR sebelum ini,” katanya.

Pemerhati politik itu juga berpandangan ketiadaan calon bebas atau parti politik kecil yang lain dalam PRK berkenaan disebabkan mereka serik dengan tujuh PRK sebelum ini yang membuktikan persaingan sebenar hanya antara parti kerajaan dan pembangkang, sekali gus menunjukkan mereka sebagai tidak relevan dalam gelanggang sesuatu PRK.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili PN dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. Kerusi DUN Sungai Bakap yang merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal, mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

Pendidikan penting, tetapi lebih penting kerja-kerja yang dilakukan

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa pendidikan tinggi bukan syarat wajib untuk menjadi ahli politik berjaya di Malaysia telah mencetuskan perdebatan di tengah-tengah kehangatan kempen PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Dalam PRK itu, calon PN yang tidak dinyatakan kelayakan akademiknya, Abidin Ismail menentang calon PH, Dr Joohari Ariffin yang berkelulusan PhD.

Menurut Muhammad Sanusi, ramai golongan berpendidikan tinggi seperti doktor dan profesor gagal dalam politik kerana tidak memahami sosiobudaya dan denyut nadi rakyat setempat.

Kata-kata Sanusi ini bukanlah perkara baharu. Pemimpin parti lawan juga pernah mengungkapkan perkara serupa sebelum ini.

Hujah mereka, rakyat bukan menilai berdasarkan sijil tetapi apa yang mereka buat dan lakukan untuk rakyat.

Realitinya kata mereka, yang tidak belajar tinggi pun mampu mengurus dengan baik namun yang ada PhD pula kadang-kadang membuat keputusan yang silap kerana dipengaruhi unsur-unsur lain.

Disebabkan itulah agaknya, seorang aktivis politik sebelum ini pernah mendakwa sekurang-kurangnya 50 peratus ahli politik daripada sebuah parti tidak memiliki ijazah.

Namun bukan itu yang kita mahu dalam budaya politik di Malaysia. Kelayakan akademik kini sepatutnya sudah menjadi satu standard baharu kerana wakil rakyat akan menjadi penggubal undang-undang di peringkat DUN atau Dewan Rakyat. Pengalaman dalam politik sahaja tidak cukup untuk menjadi syarat seseorang itu layak menjadi wakil rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *