Sedang Malaysia hangat berpolitik di tanahair kita ni, sebenarnya politik di negara jiran, Indonesia dah hampir mendidih sebab pilihanraya umum akan diadakan tak lama lagi. Kempen dah mula sejak tahun lepas, dan Indonesia akan memilih Presiden baru pada 17 April tahun ni, nampaknya di antara Joko “Jokowi” Widodo (dengan Ma’ruf Amin) dan Prabowo Subianto (dengan Sandiaga Uno).
Tapi dalam era internet ni kempen pilihanraya macam ni lebih menarik sebab informasi dan kempen bukan hanya di jalanraya atau dalam surat khabar dan televisyen. Yang paling rancak sebenarnya berlaku di alam maya, media sosial terutamanya dan di sinilah terlahirnya watak Nurhadi-Aldo.
Gambar yang disertai kata-kata yang melucukan
Kalau layari Facebook, Instagram, Twitter dan tak duduk dalam gua, mesti dah biasa tengok meme dari Indonesia yang ada orang berperwatakan matang, bersongkok dan dimuatkan dengan quote lucu di sebelahnya.
Sebenarnya watak Nurhadi dan Aldo ni adalah rekaan semata-mata. Kononnya mereka adalah calon Presiden Indonesia yang akan berentak dalam PRU akan datang. Nurhadi dan Aldo (atau DilDo) hanyalah kempen parodi yang dicipta oleh lapan orang muda, di sekitar Indonesia yang hendak menyampaikan mesej secara kritis berkenaan politik Indonesia.
Yang menariknya mereka ni tak pernah berjumpa pun antara satu sama lain, tapi membuat keputusan untuk bekerjasama dan masing-masing dah diberi tugasan tersendiri – semuanya dibincang secara online.
Apa mesej yang nak disampaikan?
Dengan slogan #McQueenYaQueen (Makin Yakin), kaedah penyampaian mesej mereka santai dan lawak untuk mudah menarik perhatian orang. Kebanyakkan yang dicanangkan pun mempunyai konotasi seksual yang menjadikan mesej tu lebih lucu.
Contohnya pasangan Nurhadi-Aldo juga dikenali sebagai Dildo, manakala parti mereka adalah “Partai Untuk Kebutuhan Iman” atau Puki, daripada Koalisi Indonesia Tronjol Tronjol Maha Asyik atau Kontolmas, dan antara program yang diketengahkan adalah “Perencanaan Reklamasi” atau Perek (pelacur).
PRU Indonesia kali ni banyak menggunakan agama sebagai mesej asas kempen dua calon utama yang kita sebut awal tadi, jadi kempen Nurhadi-Aldo ni boleh dikatakan hendak memecahkan monopoli mesej tu dengan mesej yang lebih satirikal dan melawan arus.
Jadi kita boleh nampak mereka gunakan Karl Marx, pelopor komunism, ideologi yang diharamkan di Indonesia. Sama juga dengan kempen mereka yang pro-LGBT dan menghalalkan ganja, kedua-duanya sangat sensitif di Indonesia.
Nurhadi dan Aldo ni sebenarnya wujud, bahkan setuju gambar diorang diguna
Kedua-dua Nurhadi dan Aldo ni memang wujud, dan telah bersetuju untuk digunakan bagi kempen alam maya ni. Nurhadi merupakan seorang tukang urut di Kampung Golantepus di Kudus, Jawa Tengah dan pernah famous sejak tahun 2014 lagi sebab buat macam-macam poster lucu untuk mempromosi bisnes mengurut dia. Aldo juga dah lama aktif di media sosial sejak 2016 dan famous sebab buat lawak-lawak lucah dan kasar.
Kempen satirikal Nurhadi-Aldo ni jadi begitu famous dan seakan-akan diambil serius sampai Nurhadi sendiri pernah dijemput ke rancangan Rosi di Kompas TV untuk ditemubual berkenaan kempen mereka.
Anak muda dah penat dengan politik
PRU Indonesia kali ni banyak bergantung pada orang muda sebab 40% daripada pengundi adalah yang berumur antara 17-40. Jadi peranan orang muda ni dianggap penting.
Walaupun dua-dua calon ni cuma rekaan semata-mata tapi mereka menggambarkan perasaan sebenar anak muda di Indonesia tentang politik kat sana. Mereka ada perasaan tak puas hati dengan apa yang dipolitikkan oleh Jokowi dan Prabowo, terutamanya penggunaan sentimen agama untuk raih undi dan kempen calon yang mereka anggap sebagai fake dan tryhard hanya nak menang undian orang muda.
Kebosanan terhadap politik ni lah yang membuatkan Nurhadi-Aldo mendapat ikutan yang agak memberangsangkan walaupun baru je direka hujung tahun lepas. Followers mereka di laman media sosial laju je naik dan sekarang dah ada 500,000 followers Instagram, 116,000 followers Twitter dan 193,000 jumlah likes di Facebook.
Kempen meme yang dilahirkan oleh Nurhadi-Aldo ni juga dah sampai tahap orang lain pun terikut dan buat post versi tiruan tapi tetap mengetengahkan mesej yang lucu.
Malaysia pun akan ada benda sama?
Perkara macam ni sebenarnya tak lah baru sebab di negara lain pun dah ada yang lakukan benda sama. Di US misalnya ada kempen Deez Nuts oleh seorang remaja berumur 15 tahun, Brady Olson, yang mendapat perhatian orang ramai apabila pencalonan dia mendapat jumlah undi sebanyak 9 peratus di North Caronlina, 8 peratus di Minnesota dan 7 peratus di Iowa melawan Donald Trump dan Hillary Clinton.
Di Itali pula pernah ada seorang bekas badut dan pelawak sebagai calon Perdana Menteri. Beppe Grillo telah menubuhkan parti politik anti-establishment Five Star Movement pada tahun 2009 dan mula menyertai pilihanraya pada tahun 2013 malah mendapat sambutan yang baik dengan memperoleh 25% undian (kedua terbanyak), walaupun Beppe sendiri membawa kempen lawak dan mengejek calon lain. Pada tahun 2018, prestasi M5S terus meningkat sehingga memperoleh jumlah undi terbanyak (32.7%) dan dianggap sebagai salah satu parti politik besar di Itali.
Sekarang di Malaysia, rakyat pun dah semakin meluat dengan politik negara yang hanya memberi fokus kepada parti dan ahli politik tapi tak bersungguh-sungguh cuba menyelesaikan masalah rakyat. Dari dulu kita dah ada banyak akaun parodi seperti MalaysianGags, RosmahMansur dan media satirikal seperti Tapir Times. Tak mustahil nanti kita boleh tengok kempen parodi yang lebih serius memasuki politik negara untuk menyampaikan mesej orang ramai.