Masalah mental ni adalah masalah yang boleh dihadapi oleh sesiapa je, tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Apa yang lebih menyedihkan, kebanyakan rakyat Malaysia tak faham dengan masalah kesihatan mental, selalunya diorang akan kaitkan masalah ‘tak tenteram’ yang dihadapi oleh pesakit mental sebagai lemah iman. Kami ada tulis pasal benda ni, tentang kesilapan orang kita yang kaitkan kesihatan mental dengan lemah iman.
Diana Danielle hadapi masalah keresahan melampau, hadapi masalah kesukaran bernafas
Baru-baru ni, pelakon terkenal, Datin Diana Danielle buat pengakuan yang mengejutkan ramai apabila mendedahkan dia alami masalah anxiety atau serangan kebimbangan atau keresahan melampau. Dia luahkan masalah ni menerusi beberapa hantaran di Instagramnya sejak Sabtu lalu, dia mula menyedari mengalami masalah tersebut dua minggu lalu selepas satu persatu simptom mula muncul.
https://www.instagram.com/p/B1TLi8_Fgar/
“Ia bermula dengan tanda awal seperti tapak tangan berpeluh, sukar tidur, dada berdebar, kurang rehat dan hilang selera makan. Saya sangka mampu bertahan, namun tiga hari lalu, saya mula mengalami tanda asma apabila dada sesak dan sukar bernafas.” – Diana Danielle, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian
Dia turut kata, gangguan kebimbangan melampau sangat menyakitkan, malah memberi kesan terhadap kehidupan harian. Dia mungkin kelihatan ceria, tapi adakalanya dia menangis kerana sukar bernafas.
Dalam video yang dimuatnaik, dia beritahu doktor memaklumkan tahap oksigennya berada pada paras 100 peratus manakala kadar degupan jantung tinggi sedikit daripada normal, namun ia bukanlah punca kepada masalah kesihatan dihadapinya.
“Hanya mereka yang pernah mengalami, dapat memahami. Saya tidak peduli keadaan rambut, wajah atau cara berpakaian saya ketika ini. Ini adalah kebenaran yang mungkin ramai cuba nafikan atau mendengar ahli keluarga berkata, ‘bertenang kerana semua itu tidak benar.” – Diana Danielle, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Gaya hidup tak sihat sebabkan masalah ni semakin buruk…
Berat juga masalah yang dihadapi Diana Danielle ni. Dia kerap bertanya pada diri sendiri; ‘Adakah semua ini berlaku kerana dia lemah? Atau adakah dia hanya mengada-ngada?’ Sebenarnya benda ni kerana minda, tubuh dan semua yang ada tidak lagi seperti diri kita yang dahulu. Anda mungkin berfikir akan jadi lebih sekiranya cukup tidur. Mungkin juga akan bertambah baik jika cukup makan.
Semua yang berlaku ni di luar jangkaan Diana Danielle. Ia bermain dengan emosi dan menyebabkan dirinya penat. Dia sendiri tak pernah terfikir untuk merakam keadaan dirinya sambil menangis dan berkongsi perkara berkenaan, tapi dia memilih untuk berbuat demikian demi kesedaran orang ramai.
“Saya berharap dengan perkongsian ini dapat memberi beberapa cara diberikan oleh mereka yang baik hati,” – Diana Danielle, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Sementara tu, dalam posting berasingan, Diana akui, dia tak mengamalkan pemakanan yang sihat dan teratur. Katanya, berat badannya dah turun sebanyak 10 kilogram dalam masa beberapa bulan dan dia kerap minum kopi sebelum diserang masalah anxiety.
Dia minum kopi, sekitar lima hingga enam cawan sehari. Bila minum kopi, dia jadi kenyang dan tak makan mengikut waktu. Kadangkala dia minum kopi selepas jam 9 malam dan hanya akan tidur sekitar 3 atau 4 pagi. Cara hidup tu akhirnya membawa padah.
Stress level dalam badan tak berkurangan dan buatkan dia tak lagi boleh menampung semua yang dia nak buat setiap hari. Ujar Diana kata; bagi mengelakkan terus mengalami masalah sama, selain berzikir, membaca al-Quran dan mengambil air sembahyang, dia kini mula mengamalkan pengambilan makanan yang lebih sihat.
“Nutrisi yang baik dalam makanan akan menampung badan kita yang bekerja keras setiap hari. Bila badan tak cukup zat, ia akan menghantar signal bercelaru kepada otak dan membuatkan hormon tidak seimbang serta badan menjadi huru-hara,” – Diana Danielle, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Kita kena mula ambik serius tentang masalah mental ni, sebab dah makin banyak yang terkena…
Pertama sekali kita kena betulkan dulu pandangan kita tentang masalah mental ni, sebab masih ramai yang tak faham. Tak faham tu takpe, benda boleh belajar. Masalah yang paling besar adalah ada kumpulan masyarakat yang memang tak berniat nak belajar, sebab diorang tak hadapi masalah ni.
Kalau korang ada kenal mana-mana individu yang ada masalah mental dan perlukan pertolongan, kami sarankan korang baca artikel kami ni.