Sebelum ni kami dah terangkan pasal sakit mental bukan kerana ‘lemah iman’. Kami pun dah cerita sikit-sikit pasal skizofrenia dan tanda-tandanya. Kali ni pula, kami nak kongsi pasal kes bunuh diri. Kena habis baca dulu, baru boleh faham minda orang suka sangat sebut ‘tak nak hidup’ ni.
Orang nak bunuh diri memang bodoh, kalau korang cakap macam ni tanpa usul periksa, koranglah yang ‘bodoh’
Untuk kita tangani masalah ni dengan lebih baik, langkah terbaik yang boleh kita buat adalah dengan faham terlebih dahulu mengapa muncul idea ni. Jangan suka hati dulu cakap orang yang berperasaan begini sebagai ‘bodoh’ ye.
Ikut Inventori Kecenderungan Bunuh Diri (IKBD) oleh Hong Kok San dan Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip, ada dua jenis idea bunuh diri iaitu idea bunuh diri pasif dan idea bunuh diri aktif.
Idea bunuh diri pasif
Biasanya orang yang terfikir nak bunuh diri ni akan mula-mula terasa hidupnya tak berbaloi, dirinya tak berguna dan terasa orang sekelilingnya akan gembira kalau dia dah takde lagi. Boleh jadi dia sentiasa berharap, berdoa masa tidur supaya tak bangun untuk esok harinya.
Idea bunuh diri aktif
Jenis idea bunuh diri pula lebih bahaya, iaitu wujudnya niat dan perancangan yang teliti untuk tamatkan nyawa sendiri. Kalau korang pernah terasa nak lompat je dari bangunan, atau nak gantung diri ke… mungkin idea bunuh diri dalam minda korang tu dah semakin parah.
Kawan saya selalu kata nak bunuh diri, tapi sampai sekarang masih hidup lagi…
Kadangkala mereka cuma nak kesakitan emosi mereka berhenti je. Bukan nak berhenti hidup semata-mata. Ikut IKBD, muncul idea dulu baru disusuli dengan tindakan bunuh diri. Dah ada idea tu dalam kepala, sepatutnya kita dah mula ambil perhatian pasal kawan yang selalu nak bunuh diri.
Dua konstruk yang memungkinkan mereka dah tak peduli lagi, iaitu bila tahap ketakutan mereka untuk mati tu dah makin tipis dan toleransi mereka terhadap kesakitan tu sangat tinggi sampaikan mereka rasa dah cukup tahan sakit nak mati.
Memang normal lah untuk manusia rasa takut dengan mati, tapi tidaklah sampai keterlaluan. Kalau korang boleh rasa gelisah bila ingat pasal mati sampaikan korang rasa perlu buat sesuatu yang pelik macam ketuk pintu kereta tiga kali untuk elak terlanggar masa memandu; mungkin korang ada tanda-tanda OCD. Paling baik, kata Pahrol Mohd Juoi, adalah ingat akan mati.
Sakit mental apa yang berkaitan dengan bunuh diri ni?
Menurut IKBD lagi, kemurungan antara penyebab idea ni tercetus. Kata Kementerian Kesihatan Malaysia, kemurungan adalah;
Gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian.
Dapat disimpulkan bahawa kemurungan ni sememangnya bermula dari gangguan perasaan, jadi tak hairanlah kalau pesakit kemurungan banyak ‘merasa’ pelbagai benda negatif seperti rasa dirinya tak berguna, mudah marah dan tertekan, mudah cemas atau rasa ‘kekosongan’. Perasaan yang terkumpul ni buatkan seseorang senang terfikir nak bunuh diri je.
Sekali lagi, kemurungan ni tak sama dengan stres ye. Boleh jadi juga seseorang tu alami kemurungan yang sangat teruk walhal dari luarannya, dia nampak okay je. Nampak gembira, sihat, siap bergelak ketawa lagi.
Kemurungan pun banyak jenis juga. Tapi yang paling bahaya sebab yang tak boleh dilihat oleh orang lain secara luaran adalah persistent depressive disorder, kata Harvard Medical School. Korang boleh je buat kerja seharian, makan dan minum pun sempurna, tak turun berat badan pun… namun hati dan jiwa korang tetap rasa tak gembira, kosong. Kalau korang tergolong dalam kategori ini, korang kena tahu bahawa minta pertolongan bukan petanda korang lemah.
Ni pertolongan yang korang boleh minta
Nasihat paling lazim bila orang nak luah pasal kemurungan, mesti ‘kembali pada Tuhan’ kan? Walaupun nasihat tu dah baik, tapi terdapat banyak lagi bantuan yang boleh korang usahakan untuk diri sendiri ataupun kawan korang tu selain dari sekadar nasihat.
Befrienders
Salah satu perkara yang Befrienders lakukan untuk bantu mereka yang kemurungan ni adalah adalah dengan buka talian 24 jam (percuma mulai 1 Ogos ni) untuk sesiapa saja bila mereka terasa nak meluah atau terfikir nak bunuh diri. Kata Befrienders:
“People who feel suicidal don’t want answers or solutions. They want a safe place to express their fears and anxieties, to be themselves…We need to understand things from their perspective, not ours.”
Sebab tu nasihat je memang tak guna, kerana nasihat tu biasanya datang dari pengalaman kita, bukan dari perspektif diorang. Befrienders akan dengar semuanya, dan mereka memang dilatih untuk mendengar tanpa perlu tahu nama korang dan butiran peribadi melainkan korang yang share. Tapi jangan risau, mereka takkan simpan data tersebut.
Kaunselor dan Pakar Psikatrik
Kalau nak lebih dari sekadar pendengar setia, korang boleh jumpa kaunselor kat tempat kerja, hospital kerajaan, sekolah dan universiti masing-masing. Mereka sememangnya profesional terlatih dan bertauliah yang boleh bagi analisis perubatan yang lebih baik, kalau tu yang korang nak dengar.
Harga pun tak mahal. Dr. Salmi dalam sebuah komen di blog peribadinya berkongsi harga perkhidmatan hospital kerajaan sama sahaja manakala ke hospital pakar pula adalah RM5. Untuk pusat perubatan universiti pula, caj yang dikenakan sedikit mahal seperti PPUKM iaitu RM20. Namun begitu ni adalah kadar lama dan tertakluk ikut keadaan semasa.
Aplikasi pintar
Mungkin korang masih takut dengan stigma masyarakat, ataupun tekanan keluarga tak benarkan korang untuk dapatkan bantuan yang korang benar-benar perlukan. Mungkin juga korang tengah sibuk cari rezeki hingga takde masa peribadi, atau tengah pening belajar lagi. Jangan risau, kami faham.
Psycom.net senaraikan 25 aplikasi yang boleh ringankan perasaan korang, dan kebanyakannya boleh dicari di Play Store (Android) dan Itunes (IOS). Ada yang boleh korang pasang secara percuma dan ada juga yang bersifat berbayar atau langganan. Korang boleh cuba dahulu mana yang korang rasa membantu.
Seperkara lagi, kesihatan mental tak boleh dipandang remeh ye. Perasaan nak bunuh diri tak hanya berlaku dalam kalangan dewasa, tapi turut melibatkan anak kecil seawal 10 tahun hinggalah ke peringkat pelajar, remaja sekolah.
Kita sebagai sebahagian dari masyarakat kena peka pasal kesihatan mental. Beri mereka ruang dan peluang untuk meluah. Kalau tak dapat tolong, kongsi artikel ni kat kawan korang tu. Tak kira lelaki atau wanita; sesiapa je boleh terganggu kesihatan mentalnya apatah lagi selepas ditimpa musibah berat.