Didakwa nafi hak ribuan pengundi muda untuk PRN12 Sarawak, ini sebabnya

undi18 sarawak1

Kempen Undi18 boleh dikatakan bukanlah suatu kempen yang baharu dilaksanakan. Kita melihat saban tahun, idea nak berikan peluang kepada pengundi muda untuk turut bersuara dan menentukan nasib diorang dalam kotak undi ni diterima oleh semua parti walaupun mulanya, kerajaan dahulu tak berapa sokong atas pelbagai sebab.

Namun demikian, bila Mahkamah Tinggi Sarawak memutuskan kerajaan patut dengar Undi18 dan mulakan implementasinya ke dalam sistem pilihan raya kita disekalikan dengan sistem pendaftaran automatik bagi rakyat berumur 18 tahun ke atas… kerajaan menurut. Tapi ketika waktu penting seperti PRN Sarawak yang bakal berlangsung, nampaknya ribuan pengundi muda khususnya anak Sarawak tetap dinafikan peluang untuk undi kali ni.

undi18
Via Sinar Harian

Ahli Parlimen Sepang cadang kerajaan mulakan Undi18, 666,000 anak muda tak sempat dapat hak mengundi

Pada lewat Oktober lepas, ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin cadangkan kerajaan mulakan pelaksanaan Undi18 dalam PRN Sarawak yang bakal dilangsungkan nanti. Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) ni kata, kebenaran kepada pengundi berusia 18 tahun mengundi tu disifatkan sebagai menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dulu.

Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu memerintahkan SPR dan kerajaan untuk laksanakan Undi18 menjelang 31 Disember tahun ni. Katanya lagi;

“Jadi sebelum 31 Disember tahun ini, seeloknya perintah ini dilaksanakan dalam PRN Sarawak. Kita mahu tahu adakah kerajaan betul-betul serius (untuk melaksanakan perintah itu) atau menganggap keputusan mahkamah ini tiada apa-apa?” – seperti yang dilaporkan Sinar Harian

mahkamah kuching sarawak fb
Via FMT

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjawab semula soalan Hanifa Maidin ketika pembentangan RUU Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2001 bagi bacaan kali kedua.

“Sebenarnya soalan Yang Berhormat tiada kena mengena dengan rang undang-undang hari ini. Kalau PRN (Sarawak) diadakan sebelum 31 Disember, ia masih tidak mengguna pakai yang baharu (Undi 18), tetapi kalau laksana (PRN) selepas Januari (2022), kita kena akur dengan arahan mahkamah,” – seperti yang dilaporkan Sinar Harian

Jelas di sini, sekiranya PRN Sarawak dilaksanakan sebelum 31 Disember… 666,000 pengundi muda dinafikan hak diorang dalam pilihan raya. Sementara pendaftaran automatik dah berjalan sekarang, dan korang boleh semak sendiri pendaftaran korang di laman web SPR; ia belum terpakai dalam golongan pengundi muda berusia bawah 21 tahun pada tahun ni.

belia 18 tahun pendaftaran automatik
Via MalaysiaGazette

Menurut kenyataan media Bersih;

“Bersih 2.0 kecewa dengan pembatalan proklamasi darurat Sarawak semalam (Rabu) yang membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dalam tempoh 60 hari memandangkan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) telah tamat pada 7 Jun 2021.

Walaupun tempoh darurat Sarawak sehingga 2 Februari 2022, adalah munasabah untuk mengandaikan bahawa pembatalan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong selepas perundingan bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak untuk mencetuskan pilihan raya adalah satu perkiraan politik bagi menafikan pengundi muda,”-seperti yang dilaporkan Astro Awani

undi18 sekarang
Via Malaysiakini

PRN awal untuk selamatkan GPS daripada pengundi muda, kerajaan negeri bidas kata diorang tak takut dengan pengundi muda

Mengikut pandangan Wong Chin Huat, sorang pakar penganalisis politik negara; usaha nak laksanakan PRN Sarawak sebelum 31 Disember boleh dianggap sebagai cara diorang nak lindungi GPS di kotak undi. Katanya:

“Dengan mengelakkan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran secara automatik yang mungkin meletakkan harapan lebih tinggi terhadap ahli politik, kerajaan negeri secara jelasnya cuba melindungi parti kerajaan dan 67 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka daripada menerima kesan pengundi kali pertama ini,”- seperti yang dilaporkan FMT

undi18 sarawak
Via Malaysiakini

Presiden parti pembangkang Parti Sarawak Bersatu (PSB) kecam keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang nak tamatkan darurat awal supaya PRN dapat diadakan. Wong Soon Koh dakwa GOS tergesa-gesa nak buat PRN sebelum pelaksanaan Undi18. Angkatan Muda Keadilan (AMK) pulak dakwa buat PRN bukti GPS tak peduli pasal rakyat.

KM Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg  nafikan kerajaan negeri cuba elak Undi 18. Dia kata, GPS hormat Undi18 dan dah buat pindaan Perlembagaan Sarawak bagi membolehkan golongan pengundi muda berumur 18 tahun jadi pengundi.

“Saya ini serba salah. Waktu ini adalah waktu kecederaan dan sekiranya kami masih ‘berlari’, orang kata kenapa masih mahu jadi Ketua Menteri sedangkan mandat sudah tidak ada. Kalau kita beri mandat kepada rakyat supaya pilih kerajaan, kononnya pula takut dengan Undi18,”- seperti yang dilaporkan Utusan Borneo

Setelah Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan atas perkenan YDPA, PRN perlu dibuat dalam masa 60 hari. Nampaknya macam tak sempat je PRN Sarawak menyaksikan pelaksanaan Undi18 pertama dalam sejarah. PRN Melaka lagi tak sempat nak rasa gelombang pengundi muda lingkungan bawah 21 tahun.

Yang pasti, pelaksanaan Undi18 dan sistem pendaftaran automatik tak lagi suatu impian. Ia kini dah mulai dilaksanakan dan mungkin, membawa kepada suatu paradigma dan perspektif baharu kepada politik negara kita kelak. Moga ini membawa kepada pembangunan negara yang lebih baik untuk generasi Malaysia akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *