Dua pemimpin Pas cuba campur tangan politik Singapura

f1

Dua pemimpin Pas dipercayai cuba campur tangan dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Singapura. Perkara tersebut disahkan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) Singapura dalam satu kenyataan. Kata kenyataan bersama itu, individu tersebut ialah Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar.

Susulan itu, MHA dan ELD telah mengeluarkan arahan untuk menyekat hantaran tersebut di bawah Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA). Menurut laporan Berita Harian Singapura, kedua-duanya didapati memuat naik hantaran di Facebook yang memberi komen berkaitan politik Singapura.

Portal Harakah Daily pernah menerbitkan dua artikel pada 22 dan 23 April lalu, mengenai pandangan Iskandar berkenaan masyarakat Melayu di Singapura dan PRU2025.

Artikel tersebut bertajuk ‘PRU Singapura: Calon Melayu semakin menonjol’ dan ‘Jangan ulangi senario Melayu ‘disingkir’ dari bandar’.

Dalam pada itu, MHA dan ELD menegaskan, menjadi satu kesalahan bagi warga asing mempengaruhi GE Singapura.

“Warga asing tidak boleh mengarah, membiayai atau dalam apa cara sekali pun mempengaruhi GE Singapura. Adalah satu kesalahan di bawah PEA bagi warga asing untuk menyertai kegiatan pilihan raya atau menerbitkan pengiklanan pilihan raya dalam talian (OEA). Politik Singapura mestilah rakyat Singapura sahaja yang membuat keputusan,” kata kenyataan tersebut.

screenshot 2025 05 05 120851
Dua inividu yang didakwa campur tangan politik Singapura. Via Hot FM

Sebelum ini, Iskandar dalam hantaran di Facebook menyatakan sokongannya kepada beberapa calon pembangkang dalam GE2025, seperti calon Parti Pekerja (WP), Faisal Manap dan calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Damanhuri Abas.

Beliau menyatakan kesedihan sekiranya Faisal kalah, walaupun banyak berjasa termasuk membangkitkan isu tudung di Parlimen dan secara tidak langsung turut memuji ketegasan ucapan Damanhuri semasa Hari Penamaan Calon. Ucapan tegas beliau patut dijadikan iktibar. 60 tahun mereka berkuasa, bersangka baik diinjak kepala,” komennya.

Seterusnya, Harakah Daily juga melaporkan Iskandar memuji beberapa calon Melayu WP lain iaitu Siti Alia Abdul Rahim Mattar, Abdul Muhaimin Abdul Malik dan Sufyan Mikhail Putra. Beliau menyifatkan calon tersebut sebagai berani, berpendidikan tinggi dan berpengalaman dalam bidang profesional.

Bagi pemimpin Amanah dan MCA, apa yang dilakukan oleh Pas itu tidak wajar

Tindakan dua pemimpin Pas yang mencetuskan kontroversi dengan kenyataan berhubung Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) di Singapura berpotensi mencalarkan hubungan diplomatik dan memalukan Malaysia. Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda berkata, hubungan baik antara Malaysia dan Singapura perlu dipelihara dengan penuh rasa hormat, adab diplomasi serta tanggungjawab bersama.

81706427829 mohdhasbiemuda
Hasbie Muda. Via Awani

Menurutnya, sebarang bentuk kenyataan yang boleh ditafsirkan sebagai cubaan mempengaruhi politik domestik Singapura adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang implikasi diplomatik yang tidak perlu.

“Secara prinsipnya, memberikan komen terhadap perkembangan politik negara lain bukanlah satu kesalahan. Namun, apa yang menjadi masalah ialah apabila kenyataan tersebut cuba mempengaruhi pola pengundian rakyat Singapura berdasarkan kaum dan agama. Ini bertentangan dengan nilai demokrasi inklusif yang sepatutnya dihormati. Oleh itu, Pemuda Amanah mengingatkan semua pihak, khususnya Pas, bahawa keprihatinan terhadap sesuatu komuniti di luar negara tidak boleh dijadikan alasan untuk campur tangan dalam urusan politik negara tersebut,” katanya

Tambah Mohd Hasbie, tanggungjawab sebagai pemimpin menuntut kebijaksanaan dalam menimbang sensitiviti politik dan undang-undang negara jiran.

“Sehubungan itu, Pemuda Amanah menyeru agar pemimpin Pas sentiasa menjaga tata susila dalam berurusan dengan hal ehwal antarabangsa serta mengutamakan keharmonian serantau berbanding kepentingan politik sempit. Malaysia mesti kekal sebagai rakan yang dipercayai, dihormati dan disegani di rantau ini,” ujarnya.

Bagi Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, tiada mana-mana parti politik wajar mengambil tindakan yang boleh mempengaruhi pilihan rakyat di negara asing, terutama dalam pilihan raya umum yang merupakan lambang tertinggi demokrasi.

2947093
Neow Choo Seong. Via Sinar Harian

“Saya mengambil maklum bahawa pemimpin Pas yang terlibat telah menafikan dakwaan tersebut. Dalam dunia yang saling bergantung ini, semua pemimpin politik perlu memahami dan menghormati kedaulatan serta proses demokrasi negara lain. Menjadi tanggungjawab kita untuk menunjukkan contoh yang baik terhadap negara lain, termasuk Singapura, jiran rapat yang berkongsi sejarah dan kepentingan strategik dengan Malaysia,” katanya

Choo Seong menegaskan, sebagai sebuah parti yang berpengalaman dalam pemerintahan di peringkat negeri dan Persekutuan, Pas perlu lebih berhati-hati dalam memastikan segala kenyataan atau tindakan mereka tidak menjejaskan hubungan antarabangsa.

Bagi Pas pula, dakwaan cuba campur tangan politik Singapura adalah keterlaluan

Pas menegaskan dakwaan bahawa dua pemimpin parti itu cuba mempengaruhi Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (GE2025) adalah tidak tepat, berlebihan dan bersifat sepihak.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai tindakan kerajaan Singapura yang menyekat akses ke laman media sosial beberapa individu, termasuk Bendahari Agung Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, ekoran dakwaan mereka cuba mempengaruhi keputusan PRU Singapura yang dijadualkan pada 3 Mei depan.

Takiyuddin berkata, Pas menghormati hak kerajaan Singapura untuk mengambil tindakan dalam melindungi kepentingan negara mereka, namun menegaskan bahawa hantaran yang dimuat naik oleh kedua-dua pemimpin itu adalah pandangan peribadi mereka dan tidak mewakili dasar atau pandangan Pas sebagai parti politik.

“Pas percaya mereka berdua hanya menyuarakan pandangan peribadi masing-masing dan tidak bertujuan untuk campur tangan, apatah lagi cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya Singapura,” katanya dalam satu kenyataan

datuk takiyuddin 272 1583748031
Takiyuddin. Via Berita Harian

Tambah beliau, dasar Pas berhubung hubungan rasmi antara kedua-dua negara sebagai saluran sah untuk menyampaikan pandangan atau membincangkan isu-isu kepentingan bersama, termasuk dengan kerajaan Singapura, sudah cukup membuktikan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas.

Dalam dunia yang semakin berkembang tanpa sempadan, Takiyuddin berkata, perkembangan yang berlaku di negara lain pasti akan mendapat perhatian atau reaksi daripada individu di negara lain, terutama perkara yang dianggap penting oleh mereka.

“Namun, respons tersebut tidak boleh dianggap sebagai cubaan campur tangan melainkan ia disertai dengan langkah susulan yang jelas,” jelasnya.

Tambah Takiyuddin, Pas menghormati perhatian dan kebimbangan yang diberikan oleh Singapura, tetapi percaya bahawa reaksi terhadap dua pemimpin Pas itu adalah sedikit berlebihan dan sepihak, terutamanya kerana Pas mempunyai hubungan yang baik dan saling menghormati dengan kerajaan republik itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *