Suatu ketika dulu, Nas Daily ni antara pempengaruh popular di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Kita ikuti perkembangannya, dan terhibur dengan cara penyampaiannya. Matlamatnya menarik hati ramai, sebab dia kata dia nak kongsi pengalaman dan budaya negara-negara yang dia lawati. Tentulah kita yang kurang berpeluang macam Nas ni akan teruja dengan usaha diorang untuk meneroka dunia dalam masa 1 minit.
Namun tekanan nak siapkan video dan padatkan seluruh cerita sesebuah budaya dalam masa 1 minit ni sebenarnya agak tinggi jugak. Ye lah, untuk orang yang kurang terbuka nak faham budaya lain… kita sukar terima tanpa faham konteks dan nuansa tempatan. Salah satu kontroversi dia dulu adalah dia beri komen pasal Malaysia. Akibatnya, ramai warganet dari Malaysia kecam dia. Sekarang ni pulak, dia terperangkap lagi dalam dua kontroversi kat Filipina melibatkan sorang artis tatu tradisional dan penanam koko.
Nas Daily tutup kursus tatu tradisional dari Filipina lepas cucu artis dakwa Nas tipu diorang
Nas Daily, atau nama sebenarnya Nuseir Yassin dilaporkan tutup halaman kursus yang tawarkan pembelajaran tentang tatu tradisional dari Filipina oleh Whang-od. Ni berlaku lepas cucu artis tersebut, Grace Palicas dakwa Nas Daily tipu dan gunakan diorang demi faedah kewangan diorang je.
Untuk sesiapa yang masih lagi ikuti perkembangan Nas Daily ni, diorang dah buka Nas Academy. Nas Academy ni lebih kuranglah macam Coursera, Udemy dan mana-mana platform pembelajaran atas talian yang tawarkan ilmu dengan harga tertentu. Kalau nak belajar, bayar je dan kita dah boleh ikuti kursus nak belajar ilmu budaya orang lain.
https://www.youtube.com/watch?v=931DsHCjWQE
Pada 4 Ogos lalu dalam sebuah kumpulan awam kat Facebook, Grace Palicas kata nenek dia takde tandatangan apa-apa kontrak melibatkan Nas Daily untuk buat sebarang kursus untuk akademinya. Mengikut kefahaman kami, kursus tersebut tawarkan pembelajaran seni tatu Kalinga dengan harga 750 peso (RM62.86).
Grace sendiri merupakan artis tatu, dan dipilih oleh Whang-od untuk diperturunkan seni tatu tradisional. Dalam hantaran terdahulu, Grace nyatakan rasa gusarnya terhadap eksploitasi tradisi diorang. Seni Kalinga ni dah diamalkan oleh Whang-od selama lebih 104 tahun, dan cara tatu dilaksanakan secara tradisi iaitu duri dan arang.
Kalau Grace sendiri kata Nas Daily takde tandatangan apa-apa kontrak dengan neneknya, atau pihak diorang ni… ke manakah perginya wang sesiapa yang dah ikuti kursus tersebut? Setakat ni, takde sebarang perkembangan tentang isu ni. Nas Daily dah buat kenyataan tentang Nas Academy; katanya ni semua cumalah salah faham antara niat diorang untuk bina Whang-od Academy.
Sambungnya lagi, Whang-od dah pernah bagi kebenaran untuk jual kursus tersebut, dan kebanyakan wang tersebut disalurkan terus kepada Grace dan keluarganya termasuk Whang-od.
Susulan dakwaan ni, National Commission on Indigenenous Peoples Cordillera (NCIP-CAS) kata diorang akan melihat semula kontrak yang disebutkan oleh Nas Daily. Berdasarkan undang-undang Filipina berkenaan perkongsian tradisi dan ilmu orang Asli untuk kegunaan komersial, kebenaran tersebut tak hanya perlu diperoleh daripada sorang je, tetapi daripada seluruh kaum tersebut. Mungkin kat sinilah masalah Nas Daily, dan boleh jadi Nas Daily jugak kurang mengerti tentang undang-undang tempatan terhadap budaya orang Asli di Filipina.
Pengasas Projek Koko pulak dakwa Nas Daily hanya peduli tentang kandungan yang tarik minat orang
Pada 5 Ogos lalu, sorang pengasas Projek Koko turut mengiyakan eksploitasi Nas Daily terhadap Grace. Louise Mabulo menulis kat Facebook, 2 tahun lalu Nas Daily ni datang ke kampung halamannya dan dakwa si Nas ni biadap, mengejek dialek dan bahasa tempatan serta hanya kisah pasal kandungan yang tarik minat orang.
Dia turut mendakwa Nas melawat ke kampung halaman Louise untuk laporkan kisah keusahawanan sosial, bertujuan untuk sokong kehidupan para penanam di sana dengan menyediakan benih koko sebagai tanaman jangka panjang bersama dengan tanaman jangka pendek. Masa tu, dia minat sangat dengan Nas Daily. Bila dah jumpa Nas, dia kecewa pulak dengan perangai Nas.
“Dia rasa tiada sesiapa mahu dengar tentang para penanam atau ladang, ia bukan kandungan yang senang dapat klik. Dia tidak peduli tentang membuat perubahan atau menjelaskan isu sebenar – dia hanya mahukan kandungan, sebuah kisah yang mudah untuk mendapatkan perhatian orang Filipina…”- seperti yang dipetik oleh Rappler.com
Nas membalas semua kenyataan ni, katanya Projek Koko tu tak jadi sebenarnya. Bila diorang sampai ke destinasi dan berbincang dengan para penanam koko ni, diorang buat kesimpulan bahawa takde kisah kat sana. Bahkan, siasatan diorang menjelaskan kisah tular Louise ni adalah kisah palsu. Takde “200 penanam” yang jadi pekerja Louise, dan takde satupun penanaman koko yang dia tak untung. Maksudnya, projek tu takdelah sepenuhnya untuk keuntungan para penanam.
Ditambah lagi, dia sempat selitkan dua nasihat iaitu jujur terhadap apa yang dia buat, dan tak kongsikan hal yang tak benar di Internet. Dia jugak mendakwa, segala yang dinyatakan oleh Louise ni ada niat buruk dan diorang ada bukti semalam 5 tahun untuk sokong dakwaan Nas bahawa tanaman diorang ni hanyalah perniagaan keluarga.
Louise turut mendakwa Nas Daily turut kerap bina kisah untuk dijadikan kandungan videonya tanpa memahami konteks sebenar adat dan budaya setempat. Tu sebabnya Nas rasa kecewa sebab cerita pasal projek koko tu tak kena dengan apa yang dia bayangkan di minda. Selain tu, dia jugak kata orang macam Nas Daily ni seolah gelombang baharu kolonialisme dalam dunia hari ni, dan dia dah cukup sabar sejak 2019 sehinggalah isu Grace dan tatu seni Kalinga dieksploitasikan untuk kepentingan kewangan Nas Academy.
Hantaran tersebut tak terlepas dari mengkritik sebilangan rakyat Filipina sendiri yang setia sokong Nas Daily walaupun ada dakwaan bahawa Nas hanya gunakan budaya diorang demi kepentingan peribadi dan kelangsungan nama Nas je. Datuk Bandar San Fernando, Fermin Mabulo mempertahankan kenyataan anaknya, Louise bahawa pokok koko tu masih lagi dalam tahap berbunga, dan masih belum ada hasil pada waktu lawatan Nas Daily di sana.
Sama ada kita melihat kesudahannya atau tak kat dalam kedua-dua isu tersebut, jelaslah bahawa Nas Daily ni pun banyak dah terpalit kat beberapa kontroversi tahun demi tahun. Rappler.com laporkan bahawa selepas isu tersebut hangat diperkatakan, para pengikut media sosial Nas Daily berkurang sebanyak 514,300.
Untuk kawal keadaan, Nas Daily muat naik video untuk jelaskan tentang isu Grace dan Whang-od. Namun para warganet berpandangan, adalah lebih baik bagi Nas untuk bincang baik-baik dengan Grace berbanding nak menafikan segalanya. Perkara yang sama turut dilakukan oleh Nas Daily dalam usaha dia nak kawal keadaan lepas isu Louise Mabulo hangat – dia pun muat naik jugak kisah daripada perspektif tersendiri dan menafikan apa yang Louise katakan.
Mungkin ada benarnya jugak pandangan warganet dalam isu ni. Nas Daily seharusnya selesaikan isu ni dengan perbincangan matang, dan bukan setakat membalas semula dakwaan-dakwaan ke atas diorang di media sosial. Sekarang ni, Nas Academy menghentikan seketika operasi akademi dalam talian diorang di Filipina. Harapnya selepas ni, para pencipta kandungan yang nak jadi seperti Nas Daily perlu faham dulu tentang konteks tempatan dan turut ada persefahaman yang baik sebelum tonjolkan kisah diorang ke seluruh dunia.