Dulu Singapura dilanggar todak, sekarang Melaka dilanggar babi

Babi

Macam yang kami selalu cakap; ada dua benda yang orang Melayu paling takutkan di Malaysia ni. Tanda Salib dan babi, kedua-dua benda ni kalau tak diuruskan dengan betul boleh buat orang bergaduh weh. Bagi orang macam kami, dua benda ni bukan boleh buat apa pun, tak terggugat pun iman tengok Tanda Salib, tapi yelah; bukan semua orang yang kuat iman.

Bawak bertenang syeikh. Via Giphy

Hari ni kami tak nak cerita pasal Salib, kami nak cerita Melaka mungkin akan dijajah sekali lagi. Kali ni bukan kuasa besar dunia yang datang nak berziarah, tapi BABI. Ya, korang baca dengan betul, BABI. Inilah kali pertama kita boleh kata; BABI pendatang asing. Sebab babi ni datang dari Indonesia, diorang berenang untuk pergi ke Melaka, mungkin mahu melancong…

Oleh kerana babi hutan ni tak boleh naik feri, diorang berenang…

Usaha tangga kejayaan, mungkin itulah mentaliti ‘pemenang’ yang dimiliki oleh babi-babi ini setelah melakukan mesyuarat untuk berhijrah ke Melaka. Memang mengejutkan apabila babi hutan ini berupaya berenang merentasi Selat Melaka dari Sumatera ke Melaka. Ia juga mungkin petanda Selat Melaka selamat daripada binatang buas, sebab diorang ni berjaya sampai tanpa dibaham buaya atau ikan jerung. Well done, babi-babi.

Babi berenang. Via MalaysiaKini

Exco pertanian negeri Norhizam Hassan Baktee kata perkara itu tidak dijangka, walaupun babi hutan memang diketahui pandai berenang. Perkara itu, katanya, menyebabkan populasi haiwan itu meningkat di negeri bersejarah itu, lapor The Star.

“Pencerobohan babi hutan dari Indonesia ini amat mengecewakan kami memandangkan populasi haiwan liar di negeri ini makin bertambah. Melaka kini dipenuhi dengan babi hutan dari Indonesia. Pulau Besar dilihat menjadi destinasi pilihan utama babi-babi hutan ini sebelum meneruskan perjalanan ke Ujong Pasir dan kawasan pantai lain,” – Norhizam Hassan, seperti yang dilaporkan oleh MalaysiaKini

Via The Reporter

Tambahnya lagi, populasi babi hutan di Pulau Besar mampu untuk mengatasi jumlah populasi penduduk sekiranya tidak dikawal dengan baik. Boleh tahan banyak juga babi kalau dah mampu atasi populasi penduduk. Lain macam betul babi-babi ni.

Jabatan perhilitan negeri Melaka kini sedang jalankan program untuk hapuskan sejumlah besar babi hutan kat negeri tu. Untuk membanteras masalah itu, Jabatan Perhilitan membawa masuk tiga penembak tepat untuk menyelamatkan Pulau Besar.

Melaka, I’m coming. Via Giphy

Pulau Besar terkenal sebagai tempat mistik dengan dengan adanya beberapa telaga dan peninggalan seperti kubur-kubur lama. Laksamana Cheng Ho dikatakan pernah berlabuh di pulau itu sebelum meneruskan ekspedisi ke India, Sri Lanka dan Afrika.

Penternak babi curi air untuk pelihara babi…

Bercakap pasal babi ni, semalam pun ada kes yang melibatkan babi. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ada lakukan satu serbuan ke atas sebuah ladang ternakan babi di Kampung Tumbuk Pantai, Tanjung Sepat.

Via Awani

Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd Fazil Ismail kata serbuan dilakukan susulan aduan yang diterima mengenai tindakan pemilik ladang tu yang didakwa mencuri bekalan air bersih .

Hasil pemeriksaan, diorang dapati ladang tu melakukan penyambungan terus dari paip utama dengan menggunakan paip berukuran 32mm. Bekalan air bersih berkenaan digunakan ladang terbabit untuk aktiviti harian mereka.

“Ada dua tindakan, pertamanya pihak yang disabitkan ini dari segi pihak Air Selangor mereka tetap kenakan bayaran dengan jumlah yang dituntut, dan pihak SPAN juga akan bawa kes ini ke mahkamah untuk disabitkan. Sekiranya disabitkan mereka boleh dikenakan RM100,000, maknanya kedua-dua tindakan akan diambil serentak, pihak Air Selangor akan tuntut pihak mereka dan pihak SPAN akan bawa kes ini ke pihak mahkamah,” katanya selepas serbuan di ladang babi terbabit.

Penternak haiwan haram dimakan menggunakan air haram. Via Giphy

Selain tu, semakan juga dapati ladang tu pernah mempunyai akaun yang sah dan berdaftar dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) namun dipotong kerana masalah tunggakan. Kes disiasat mengikut seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen 123(3) akta yang sama.

Babi selalu dikaitkan dengan benda tak baik, padahal dia najis dan haram dimakan je…

Perkataan babi ni selalu digunakan untuk memaki hamun orang, tak pun label orang yang ‘tak berguna’ sebagai orang yang berperangai macam babi. Sebenarnya, takde benda pun nak ditakutkan dengan babi ni – kecuali macam kes kat Melaka tu, sebab itu masalah populasi yang terlalu banyak sehingga boleh datangkan masalah.

Kalau tersentuh najis babi, boleh samak. Kalau tahu babi tak boleh makan, jangan makan. Macam tu je, simple.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *