Hutan Kuala Langat telah terselamat dari pembangunan, ini cerita yang berlaku

f1

Hutan ni harta alam kepada manusia. Manusialah yang kena pelihara, namun manusia jugaklah yang meratakannya. Kali ni kami taknak bercerita tentang kebaikan kita pelihara hutan, sebaliknya kami nak ‘berkabung’ selepas kerajaan Selangor pada awal September lalu memutuskan untuk nyahwartakan jugak hutan simpan di Kuala Langat. Keputusan ni banyak mengejutkan ramai pihak, apatah lagi bila sedia umum bahawa ia merupakan sebahagian daripada kawasan alam sekitar yang sensitif (Environment Sensitive Area).

Ni tak bermakna kita harus peluk tubuh dan biarkan ia terus berlaku dalam diam. Sementara ramai ahli parlimen Selangor membantah keputusan tersebut, ada jugak yang kaitkan isu ni dengan campur tangan politik. Mungkinkah ia benar-benar berlaku di balik tabir penyahwartaan tersebut?

kuala langat hutan simpan
Via Malaysiakini

Cadangan nyahwarta Hutan Kuala Langat berbahaya, kerajaan Selangor dakwa dah kaji semua

Sebelum ni kami dah pernah cerita dengan korang tentang isu nyahwarta Hutan Kuala Langat. Pada tahun lalu, isu tersebut dibangkitkan dan ditentang oleh ramai aktivis termasuklah beberapa ahli Parlimen di Selangor.

Antara sebab utama ia ditolak oleh banyak pihak adalah kawasan hutan simpan tu sendiri dikategorikan sebagai kawasan alam yang sensitif. Sebarang perubahan, lagi-lagi kalau nak tebus guna untuk pembangunan tu akan bawa kemudaratan kepada ekosistem sekitar. Selain tu, pelan ni tak selari dengan Pelan Pembangunan Selangor untuk jaga 32% kawasan hutan serta beberapa lagi akta.

orang asli kuala langat hutan
Orang Asli bantah kawasan ni dimajukan.. -Via Malaysiakini

Selain tu, ia turut menjadi habitat kepada beberapa tumbuhan yang hampir pupus seperti “Meranti Bunga” dan “Meranti Bakau”. Ia jugak akan memberi kesan kepada Orang Asli yang tinggal di sana. Dah lama sebenarnya JAKOA hantar permohonan untuk wartakan kawasan kampung tu, namun belum lagi ada keputusan dari kerajaan negeri. Bukan tu je, memandangkan kawasan hutan tu adalah kawasan tanah gambut yang mudah terbakar… komuniti Orang Asli ni lah yang tolong padamkan supaya tak melarat ke tempat lain.

Namun bila dah masuk tahun ni, nampaknya dah lain cerita pulak. Kerajaan negeri kata diorang dah ambil kira semua aspek dan dah lalui proses yang teliti oleh Jawatankuasa Penyiasatan Awam, selaras dengan Kaedah-Kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014. Diorang kata diorang guna hasil kajian pakar perunding yang dilantik kerajaan negeri iaitu UPM Consultancy & Service Sdn. Bhd., bagi mempertimbangkan penyahwartaan tersebut.

“Berdasarkan kajian perunding tersebut, didapati nilai biodiversiti HSKLU dan kawasan-kawasan gantian adalah hampir sama. Kerajaan Negeri Selangor masih mengekalkan kira-kira 46 peratus daripada kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), Mukim Tanjung Duabelas, Daerah Kuala Langat sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).
Hal ini adalah berdasarkan kepentingan fungsi HSKLU tersebut sebagai hutan paya gambut yang unik dan lain- lain faktor seperti peninggalan kampung orang asli lama dan kubur nenek moyang orang asli suatu ketika dahulu,”- Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid, Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, seperti yang dilaporkan Astro Awani
terbakar kuala langat sungai
Hutan Kuala Langat pernah terbakar hampir 80% pada tahun lalu.. -Via Malaysiakini
Dia menjelaskan lagi, Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) ni terpisah daripada kompleks hutan utama dan mengalami tekanan pembangunan tanah tepu bina di sekelilingnya seperti lebuhraya SKVE, Bandar Saujana Putra, Gamuda Cove dan perkampungan orang Asli. Ia jugak selalu terbakar, dan mengalami kemerosotan selepas lima tahun berturut-turut dah terbakar sejak 2012. Untuk meredakan keadaan, dia kata kerajaan negeri pun dah ketatkan beberapa syarat penting kepada pemajunya iaitu Gabungan Indah Sdn. Bhd.
Antara syaratnya adalah keperluan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA), pengekalan 20% kawasan pembangunannya sebagai kawasan hijau dan keperluan translokasi spesies-spesies flora dan fauna yang berkepentingan. Hee Loy Sian, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor kata kerajaan Selangor setuju nyahwarta 536.7 hektar HSKLU untuk pembangunan.
pelan nyahwarta kuala langat 1
Pelan yang dicadangkan.. -Via Yahoo News
Jika dibandingkan dengan notis terdahulu iaitu sebanyak 930.93 hektar, maka terdapat pengurangan kawasan iaitu 394.23 hektar. Dalam mesyuarat yang sama, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) luluskan kawasan seluas 581.48 hektar sebagai gantian hutan simpan kekal (HSK) di negeri tersebut.
Notis Hutan Simpan Kuala Langat
Ni lah notisnya…-Via Global Environment Centre

Nama-nama besar di belakang tabir, mungkinkah ada campur tangan berkepentingan peribadi?

Di belakang tabir yakni para pemaju ni, menarik jugak untuk digali sedikit sebanyak tentang siapa di belakang diorang ni. Menurut The Malaysianist, banyak jugak nama besar dalam organisasi para pemaju ni. Misalnya, Gabungan Indah Sdn. Bhd. ni dipegang oleh Mohd Fadil Muskon, bekas Ketua Pemuda UMNO dan dimiliki oleh Vibrantscape Sdn. Bhd, yang jugak dipegang oleh Perdana Park City Sdn. Bhd. Perdana Parkcity ni pemaju kepada Desa ParkCity di Kuala Lumpur.

Pengarah tunggal Perdana Parkcity adalah Joseph Lau, manakala para pemegang taruhnya adalah Parkcity Property Holdings Sdn. Bhd, Samling Strategic Corporation Sdn. Bhd dan Yaw Chee Siew. Kemudian, pemilik besar Perdana Parkcity merupakan Yaw Holding Sdn Bhd yang membariskan para pengarahnya iaitu Yaw Chee Chik, Yaw Teck Seng dan Yaw Chee Meng.

Pemiliknya pula adalah Yaw Chee Weng, Teck Seng dan isterinya Su Khuan Ying, Yaw Chee Yun dan Chee Chik serta Chee Meng. Malaysianist mendakwa, pengarah dan pemilik Yaw Holding Sdn Bhd serta anak-anak syarikatnya adalah ‘puak’ Yaw yang kawal kumpulan syarikat Samling yang berpusat di Sarawak.

Kegiatan utama Samling adalah dalam pembalakan, tetapi diorang dah perbanyakkan portfolio diorang ke dalam penanaman, hartanah dan pelombongan kuari serta jual kereta Bentleys. Konglomerat Sarawak ni – kini diuruskan oleh Teck Seng dan Chee Meng – dikaitrapat dengan Tuan Yang dipertua Sarawak sekarang iaitu Abdul Taib Mahmud. Sebelum ni jugak, kami pernah jelaskan macam mana Abdul Taib Mahmud ‘kawal’ pembalakan Sarawak dan lebih hebat dari James Brooke nak kawal Sarawak.

Salah satu syarikat penanaman Samling pula bernama Gleanealy Plantation Sdn Bhd, yang pernah dipegang sahamnya oleh Abdul Hamed Sepawi di bawah syarikat Perkapalan Damai Timur Sdn. Bhd dan Wan Morshidi Abdul Rahman. Abdul Hamed ni dikatakan sepupu Taib, manakala Wan Morshidi adalah kawan rapat Taib Mahmud. Pada 2012, Gleanealy dinyahsenarai daripada Bursa Saham dan kedua-dua Abdul Hamed serta Wan Morshidi lepaskan pegangan diorang dalam syarikat tersebut.

Sekarang, Samling ada tiga anak syarikat: Samling (pembalakan), Gleanealy Plantations (pertanian) dan Perdana Parkcity (hartanah). Yang paling menguntungkan adalah Perdana Parkcity dan Samling Strategic – keduanya dalam hartanah.

desa park city
Sukar dipercayai, dahulunya sebuah kuari kini jadi indah di Perdana Park City.. -Via EdgeProp

Oleh tu dengan rangkaian syarikat dan rantaian ni, secara tak langsung pembinaan ni tetap diselubungi dengan nama-nama besar di sebaliknya. Lebih pelik, tuan kepada semua ni berpusat di Sarawak. Walaupun ia mungkin beroperasi secara bebas antara satu syarikat dengan syarikat yang lain di bawah Samling… kami terfikir jugak; kenapa tak bagi je syarikat di Selangor yang bangunkan Hutan Simpan tersebut?

Tahun lalu, MB Selangor mendedahkan bahawa ada dua syarikat yang berminat nak bangunkan kawasan tersebut iaitu Titian Jutaria dan Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI Selangor). Titian Jutaria ada pengarah yang terdiri daripada kerabat diraja Selangor iaitu Raja Muda Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Syed Budriz Putra Jamalullail, masing-masing anak dan anak buah Sultan Selangor.

ssm titian jutaria selangor 1
Laporan SSM dengan dua nama kerabat diraja di belakang Titian Jutaria.. -Via SarawakReport

Diorang pun banyak pegang syarikat-syarikat lain, tetapi kalau nak banding dengan Samling… nyatalah Samling ni lebih besar daripada Titian Jutaria dan mungkin dipilih kerana lebih kukuh dari segi kewangan untuk jalankan pembangunan skala besar.

Yang pasti, isu nyahwarta ni masih lagi belum selesai dan akan dibincangkan dari semasa ke semasa sehinggalah ia benar-benar dah dalam proses dimajukan kelak. Nama-nama besar yang kami sebutkan tadi jugak menunjukkan bahawa syarikat-syarikat kat Malaysia ni sebenarnya lazimnya dipegang oleh para pemilik yang sama jugak dan tetap mempunyai kepentingan atau ‘kabel’ dengan orang-orang politik.

Meskipun hubungan peribadi para pemilik seharusnya tak mengugat ataupun mempengaruhi kemampuan sesebuah syarikat untuk laksanakan projek, hal ni jugak dah timbulkan banyak masalah khususnya apabila berkaitan dengan tender-tender kerajaan. Dah banyak kes jadi, seperti kes lembu Shahrizat dan keluarganya, kes Tajuddin dan skandal kewangannya malah isu TV pendidikan pun belum dapat dijelaskan lagi arah tujunya.

 

UPDATE: Kerajaan Selangor membuat keputusan untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU). Menteri Besar Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor. Katanya, Selangor akan menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut serta membatalkan pemberimilikan tanah itu kepada syarikat terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *