Pemangsa seksual kanak-kanak sejak 2007 menggunakan ‘dark web’ ditahan di Sarawak

f1

Pedofilia adalah salah satu isu yang menggusarkan seluruh dunia, terutamanya apabila diorang secara aktifnya mencabul dan ‘mempromosikan’ ketagihan tak bermoral tu ke seluruh dunia menerusi Internet. Di Malaysia sendiri, banyak je pelaku pedofilia ni dan malangnya masih ramai yang gagal dikenalpasti. Akhirnya, diorang ni jugaklah yang menyumbang kepada pelbagai jenayah seksual bawah umur seperti sumbang mahram atau rogol anak kecil. Kanak-kanak ni percayakan orang dewasa, lagi-lagi bila orang dewasa pun dah rapat dan galak mendekati mesra. Takkan nak disalahkan kanak-kanak yang tak tau apa-apa, betul tak?

Alladin Lanim adalah salah sorang daripada pedofil bersiri yang dah lama dikenalpasti mencabul ramai anak kecil di kawasan kejiranannya. Lebih menghairankan, aktiviti terkutuknya tu berjalan selama 14 tahun di luar pengetahuan kita. Namun dengan bantuan polis Australia, kita dapat mengenalpasti salah satu pedofil yang paling dikehendaki di seluruh dunia – rupanya ada kat celah hidung kita je.

alladin lanim pedofil
Alladin Lanim mengaku bersalah.. -Via Sydney Morning Herald

Cabul dan sebarkan bahan pornografi kanak-kanak di dark web sejak 2007, popular dalam komuniti pedofil

Sekurangnya selama 14 tahun, Alladin Lanim dah buat kerja-kerja terkutuk tu di kawasan kejiranannya kat Lundu, Sarawak. Dia didakwa mencabul kanak-kanak antara umur semuda 2 tahun hingga 16 tahun tanpa ada orang tau pun sejak 2007.

Mengikut laporan media tempatan, dia didapati mencabul kanak-kanak di sebuah kawasan kebun yang terpencil dan beranda sebuah rumah di Lundu. Dia dikatakan selalu pujuk mangsanya untuk tengok bahan-bahan pornografik dengan membenarkan diorang main permainan kat telefon pintarnya. Kemudian, dia rakam dan sebarkan rakaman termasuk imej-imej tak bermoral tu kat dark web.

pedo uk child
Via BBC

Dalam ‘dark web’ ni, sukar nak jejaki siapa dan di mana orang tu tinggal. Tu sebabnya pihak polis sendiri sukar kenalpasti siapa di belakang 10 tangga teratas paling banyak muat naik bahan-bahan pornografik kanak-kanak; salah satunya kita dah tahu hari ni iaitu Alladin Lanim, berusia 40 tahun dan tinggal di Sarawak. Menurut siasatan jugak, dia ni pun pengguna dark web yang aktif dan selalu berbangga-bangga dengan aksi tak senonohnya tu dalam forum komuniti pedofil. Dia jugak dikenalpasti dah muat naik lebih dari 1,000 imej dan video ke dalam forum tersebut.

Oleh kerana dia ni dah macam ‘sifu’ tak bernama di dalam dark web, pihak polis Australia mulakan siasatan sejak 2019. Pada Ogos 2020, pakar unit Australian Centre to Counter Child Exploitation dah dapat wajah si Alladin ni selepas pihak polis Australia menemui sekeping imej kat media sosial yang ada hubungkait dengan Alladin.

laman web dark pedofil
Antara laman web yang tawarkan ruang kepada pedofil tonton dan muat naik bahan.. -Via Vice

Pihak polis Australia kemudiannya segera hantar gambar tersebut kepada PDRM, pegawai polis Australia di Kuala Lumpur dan para penyiasat United States Homeland Security. Dengan adanya bukti ni, kerjasama empat pihak seterusnya melancarkan operasi nak tangkap pedofil tersebut.

Tak lama lepas ni, sebuah kumpulan dalam agensi risikan kewangan kerajaan Australia berjaya dapat satu lagi bukti kukuh. Bila diorang meneliti rekod kewangan dan lain-lain, diorang terjumpa imej yang sama sebagaimana yang dah dihantar ke Kuala Lumpur dari Australia. Rupanya imej tu dah berbulan lebih awal disebarkan dari Malaysia ke Australia, kali ni dengan maklumat imej yang lebih jelas.

dera seksual kanak pedofil
Via DW

Pedofil mengaku salah di Sarawak, Kelvin Yii hairan kenapa kita tak jumpa dulu

Tak membuang masa lagi, pada Julai tahun ni diorang dah jejaki Alladin Lundu dan berjaya tahan semasa dia dah dibenarkan keluar daripada kuarantin kat Lundu, Sarawak. Enam minggu lepas ditahan, akhirnya dia mengaku salah ke atas 18 dakwaan dan dijatuhkan hukuman 48 tahun penjara serta 15 sebatan. Para penyiasat Australia jugak turut menghantar lebih banyak bukti kepada pihak pendakwaraya kat Kuching serta berjaya mengenalpasti 34 mangsa eksploitasi seksualnya. Diorang jugak percaya lebih ramai lagi sebenarnya yang jadi mangsanya. 14 tahun kot beroperasi… mesti ramai lagi pernah kena cabul oleh Alladin Lanim.

Walaupun kita boleh menghembus nafas lega bahawa operasi mencari Alladin Lanim dah tamat, Dr Kelvin Yii yang merupakan Ahli Parlimen Bandar Kuching tertanya-tanya macam mana salah sorang pedofil yang paling dikehendaki di dunia mampu meneruskan kegiatan penderaan seksual kanak-kanak selama lebih sedekad kat Lundu tanpa dikenalpasti oleh PDRM. Dia kata dia memang sokong kerjasama antara PDRM dan polis Australia, namun jelasnya;

“Tetapi kita kena bertanya apa yang PDRM buat selama ini dan bagaimana dia dibenarkan beroperasi selama lebih dari sedekad tanpa ditangkap (polis)… Jadi ini membawa kepada persoalan sama ada pihak polis diperkasakan sewajarnya dan diberi latihan serta sumber yang secukupnya, atau mereka salah meletakkan prioriti”- seperti yang dilaporkan Borneo Post

Dr Kelvin Yii
Dr. Kelvin Yii.. -Via DayakDaily

Lundu ni sebuah tempat yang kecil, dan seharusnya dia tak begitu susah untuk dijejaki. Tambah lagi, dia turut menyeru supaya pihak kerajaan pun ambil iktibar dalam isu penderaan seksual dengan mengukuhkan bahagian penyiasatan seksual, wanita dan kanak-kanak serta beri dana untuk kepakaran teknikal dan latihan bagi menyiasat kes penderaan seksual ni.

Selain tu, pelan yang lebih holistik perlu dirangka supaya kanak-kanak sedar tentang bahaya pedofilia dan ditekankan tentang bagaimana nak lindungi diri. Dia jugak mencadangkan agar pelan tersebut dimasukkan ke dalam sistem pendidikan negara.

Kes dera seksual semakin meningkat, ramai pedofil ditahan di Malaysia

Kita perlu diingatkan semula tentang Richard Huckle, dikenali sebagai pedofil yang paling teruk di UK. Dia berjaya ditahan dan disabitkan kesalahan atas 22 dakwaan di UK pada 2016 kerana didapati melakukan penderaan seksual terhadap kira-kira 200 kanak-kanak antara 2006 dan 2014, kebanyakannya di Malaysia.

Malaysia sepatutnya tak dibiarkan menjadi tarikan para pendera seksual untuk duduk dan melangsungkan kegiatan diorang kat sini. Dahlah diorang sasarkan pun kanak-kanak Malaysia, umpama kita sendiri membiarkan anak kita berpotensi jadi mangsa pendera seksual untuk melampiaskan nafsu diorang.

Kemudian, suspek jenayah seksual yang dikehendaki FBI pun turut ditahan kat Malaysia pada tahun ni. Scott Barry Uchida, 38, ditangkap di Kepong, Malaysia atas dakwaan melakukan jenayah rogol tahap dua, mempromosikan penderaan seksual dan rogol tahap tiga terhadap mangsa kanak-kanak di King County.

Dalam kes ni, Scott tu dah lari daripada Amerika Syarikat ke negara-negara lain sebelum ditahan kat sini. Kami percaya pihak polis kita pun mainkan peranan di sana, tetapi agak menarik untuk difikirkan mengapa Malaysia jadi lokasi paling ‘sesuai’ untuk diorang berlindung.

Nak kata pihak polis tak buat kerja pun sebenarnya suatu kenyataan yang tak bertanggungjawab, sebab kita sendiri boleh lihat usaha pihak polis kita untuk siasat jenayah seksual ni. Kami rasa selain pihak polis, kita jugak perlu mantapkan lagi pendidikan tentang jenayah seksual khususnya dalam isu pedofil.

kanak pedofil media sosial
Via The Bangkok Post

Media sosial kini ‘membenarkan’ kanak-kanak ni untuk mengekspresikan dirinya, dan oleh sebab diorang kurang didedahkan dengan wujudnya golongan pedofil ni… maka diorang akan lebih mudah terpujuk kerana diorang ingat pedofil ni asalnya cuma orang dewasa yang ‘pedulikan’ diorang.

Ketika pandemik ni berlangsung dan takde sekolah dibuka, kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak semakin meningkat. Diorang ‘mengenali’ satu sama lain di media sosial, dan akhirnya berlakulah eksploitasi seksual sama menerusi panggilan video ataupun menghantar imej-imej lucah antara satu sama lain. Harian Metro melaporkan:

“Berdasarkan statistik, aplikasi WhatsApp mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 334 kes; WeChat (224 kes); Instagram (112 kes); Facebook (71); MiChat (20 kes); Telegram (8 kes); Bigo (7 kes); Messenger (4); BeeTalk (2 kes) dan masing-masing satu kes bagi TikTok dan Twitter),” –  Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman

harian metro media sosial pedofil
Statistik kaitan media sosial dan jenayah seksual yang berlaku sepanjang 3 tahun lepas.. -Via Harian Metro

Ni suatu perkara yang membimbangkan, dan penahanan pedofil-pedofil paling dikehendaki di Malaysia sepatutnya buatkan kita semakin peka terhadap kegiatan pedofil dalam negara ni. Oleh sebab tu, peranan anggota keluarga dan anggota masyarakat sendiri perlu ditekankan lagi bagi mengekang isu tersebut daripada berlaku. Pendidikan dan pendedahan awal tentang hal ni dah semakin mendesak serta perlu ditangani segera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *