Sekarang ni, kita tak hanya berperang melawan virus yang melemahkan badan – kita kini turut berperang melawan virus yang melemahkan otak pulak. Memandangkan kita pun tengah dalam pelaksanaan program vaksinasi seluruh negara, ada sesetengah kelompok yang bencikan vaksin terus bermaharajalela di alam maya.
Segala macam teori, spekulasi dan konspirasi keluar dan tular dikongsikan, siap dengan dakwaan bahawa sesiapa yang ambil vaksin ataupun percaya COVID-19 tu wujud ni bagaikan ‘biri-biri’ yang ikut cakap je. Tapi korang tak pernah terfikir ke, dari mana sumber-sumber yang diorang petik ni? Rupanya, segala maklumat tu dirujuk oleh 12 orang ni je.
Saintis rujukan yang didewa-dewakan geng anti-vaksin semuanya tauke syarikat kaya
Mashable SEA mendedahkan sebuah laporan yang baharu dikeluarkan oleh dua institut iaitu Center for Countering Digital Hate dan Anti-Vax Watch mendapati lebih dari 65 kandungan anti-vaksin yang ada kat Facebook dan Twitter ni sebenarnya datang daripada 12 orang pempengaruh dalam khalayak anti-vaksin ni. Laporan tersebut fokus kepada 12 akaun tersebut lepas diorang analisis setiap kandungan bernada anti-vaksin yang dikongsikan dan disiarkan dalam Facebook dan Twitter. Banyak jugak orang kongsikan, iaitu kira-kira 812,000 kali dalam tempoh 1 Februari dan 16 Mac.
Di Facebook je, kandungan-kandungan yang disiarkan oleh kelompok ni boleh dikatakan hampir 73% daripada seluruh kandungan yang disiarkan atau dikongsikan dalam kedua-dua platform ni. Ni bermakna, kandungan tu sebenarnya hanyalah kandungan media yang ‘dikitar semula’ secara berterusan.
12 orang ni dikenali dalam laporan tersebut sebagai “Disinformation Dozen”, membarisi beberapa nama seperti Joseph Mercola, Robert F. Kennedy, Ty dan Charlene Bollinger, Sherri Tenpenny, Rizza Islam, Rashid Buttar, Erin Elizabeth, Sayer Ji, Kelly Brogan, Christiane Northup, Ben Tapper dan Kevin Jenkins. Semua ni ada kaitan dengan perniagaan produk alternatif, jadi untuk setiap orang yang taknak vaksin umpama sorang pelanggan untuk diorang.
Nama yang paling banyak dipetik adalah Joseph Mercola. Joseph Mercola ni sebenarnya penjual produk perubatan alternatif yang untung berjuta-juta daripada penjualan perkhidmatan kesihatan dan suplemen. FDA sendiri dah hantar surat peringatan kepada Mercola lepas dia cuba nak pasarkan perkhidmatan kesihatan untuk COVID-19.
Silap Facebook, Twitter tak nak haramkan siaran kandungan yang salah
Memandangkan kita dah tau nama-nama popular yang bergerak di sebalik khalayak anti-vaksin, bukankah lebih senang sekiranya kita terus saman je diorang ni? Tak saman pun, sekurangnya tutup je akaun diorang selamanya. Akaun Twitter Donald Trump Jr. pun lama jugak kena tutup lepas dia dikatakan hasut orang ramai serang Capitol.
Walaupun begitu, hal tersebut tak berlaku. 12 orang ni masih lagi memiliki akaun aktif kat media sosial yang utama iaitu Facebook, Twitter dan Instagram. Ni bermaksud Facebook dan Twitter boleh je halang diorang ni daripada terus aktif sebarkan spekulasi dan teori yang takde asas pasal COVID-19. Plaform-platform ni harus lebih tegas dan serius nak kawal penyebaran berita-berita palsu.
Daripada 12 orang ni jugaklah, terdapat banyak lagi akaun-akaun lain yang turut sebarkan maklumat. Maklumat tu pulak dipetik dan diolah, dikarang sekreatifnya dengan menggunakan ‘hujah-hujah’ yang dikeluarkan oleh 12 orang yang kami sebutkan tadi. Akaun-akaun kecil ni jugak nak populariti segera dan perhatian untuk mengembangkan akaun diorang dengan cepat. Ye lah, khabar buruk ni lebih cepat tersebar berbanding khabar baik.
Mengikut Center for Countering Digital Hate, lebih dari 59 juta orang menerima informasi palsu tentang COVID-19 menjelang akhir tahun lalu. Informasi palsu tu pulak rupanya datang daripada 425 akaun oleh geng anti-vaksin. Perkara ni tak dinafikan turut berlaku di Malaysia, yang mana kandungan berunsurkan anti-vaksin disebarluaskan hingga ke pengetahuan WhatsApp.
Setakat ni, kita tengah cuba nak kawal sebaran maklumat palsu namun ada jugak yang masih lagi berlangsung di luar kawalan penguatkuasa. Buat masa ni, kita tak banyak melihat sebarang tindakan dikenakan kepada kelompok anti-vaksin yang wujud di Facebook dan laman media sosial yang lain. Pihak penguatkuasa harus galakkan lebih ramai anggota masyarakat untuk tampil dan laporkan sekiranya diorang terjumpa sebarang kandungan yang nak pujuk orang taknak terima vaksin atas bermacam hujah.