Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning selepas calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir, diumum menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut dengan majoriti lebih besar. Beliau menang dengan majoriri 5,006 undi selepas mendapat 11,065 undi keseluruhan daripada 66 saluran undi dan undi pos sehingga penjumlahan undi tamat pada pukul 9.30 malam.
Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRK N 48 Ayer Kuning, Ahmad Redhauddin Ahmad Shukori di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka Tapah. Berdasarkan keputusan rasmi, Mohamad Yusri yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah menewaskan dua pencabarnya iaitu Abdul Muhaimin Malek, daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

Abdul Muhaimin memperoleh sebanyak 6,059 undi manakala Bawani pula dengan 1,106 undi
Berdasarkan rekod, peratus keluar mengundi mencatatkan peratusan sebanyak 58.07 peratus sementara undi ditolak berjumlah 289 undi. Pada pilihan raya kali ini, seramai 31,897 pemilih berdaftar direkodkan SPR yang mana seramai 582 orang merupakan pengundi awal dalam kalangan anggota polis dan pasangan serta undi pos.
Pilihan raya DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022, Ishsam yang pertama kali bertanding berjaya memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi. Ishsam memperoleh 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Isu penternakan babi yang digunakan Perikatan Nasional gagal menembusi otak pengundi
Isu penternakan babi yang dimainkan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak berjaya mempengaruhi sentimen majoriti pengundi, termasuk di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Keramat.
Walaupun calon Barisan Nasional (BN) tewas di PDM itu kepada Perikatan Nasional (PN), majoriti kekalahan berjaya dikurangkan berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. Ketua PDM Tanjung Keramat, Abu Bakar Sharif berkata, faktor kekalahan lebih banyak disumbangkan oleh corak pengundian golongan muda di saluran satu dan dua, yang masih baru dalam arena pilihan raya dan kurang memahami situasi politik semasa.

“PDM ini tewas kerana saluran satu dan dua. Anak-anak muda baru mengundi, tidak tahu situasi keadaan politik sekarang tetapi lebih 90 peratus tetap menyokong Kerajaan Perpaduan dan BN,” katanya
Beliau menjelaskan, saluran dua dan tiga di kawasan itu turut menyaksikan kadar pengundi luar yang tidak pulang mengundi selain terdapat penyokong BN dan Kerajaan Perpaduan yang tidak keluar menunaikan tanggungjawab.
“Pencapaian kali ini tetap menunjukkan peningkatan apabila majoriti kekalahan berjaya dikurangkan kira-kira 71 undi iaitu daripada 159 undi dalam PRU15 kepada hanya 88 undi pada PRK kali ini,” katanya.
Mengulas isu kandang babi yang cuba dibangkitkan pembangkang, Abu Bakar menegaskan bahawa isu tersebut telah berlarutan lebih 35 tahun dan tidak mudah diselesaikan kerana ia melibatkan tanah persendirian serta projek pertanian sah.
“Semasa zaman Datuk Samsudin (bekas ADUN, Datuk Samsudin Abu Hassan) pun pernah diutarakan, tetapi oleh kerana melibatkan tanah persendirian, kita tidak boleh halang mereka. Sistem penternakan mereka juga mematuhi peraturan,” katanya.
Tambah beliau, perubahan atau pemindahan penternakan seperti itu hanya dapat dilakukan sekiranya terdapat pembangunan besar seperti pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) atau hospital di kawasan berkenaan, sebagaimana pernah berlaku di Pekan Getah, Tapah Road sebelum ini.
“Kami penduduk pun tidak suka, tetapi kerajaan dah ambil maklum. Isu ini digunakan pembangkang kerana mereka tiada isu lain,” katanya.
Fahmi kata ini bukti sokongan kepada kerajaan, Pas ada idea yang berbeza
Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning membuktikan bahawa formula Kerajaan Madani berjaya menambat dan memenangi hati rakyat.
Jurucakap Kerajaan Madani Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata jumlah majoriti dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir juga meningkat, sementara undi yang diterima oleh lawannya dari Perikatan Nasional (PN), merosot.
“Daripada 20 pusat daerah mengundi, sebanyak 19 telah dimenangi oleh Kerajaan Madani. Ini satu petanda positif, namun kita tidak boleh leka… banyak yang perlu kita usahakan untuk memastikan kemenangan ini dapat diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Nadi Sim Sim.
PAS pula menyifatkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sebagai satu isyarat jelas penolakan rakyat terhadap kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohamed Sukri Omar berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi berkenaan, keputusan yang dicapai mencerminkan beberapa hakikat penting yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan.
Katanya, keyakinan Menteri Besar Perak bahawa akan berlaku gelombang besar pemindahan undi sehingga majoriti 18,000 undi ternyata meleset apabila Perikatan Nasional (PN) kekal memperoleh sokongan teras sekitar 5,000 hingga 6,000 undi.
“PRK ini membuktikan tiada perpindahan undi besar-besaran daripada penyokong Pakatan Harapan (PH) kepada BN. Kemerosotan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina turut memperlihatkan mesej penolakan yang jelas terhadap kerjasama politik PH-BN,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.
Menurut Mohamed Sukri, meskipun BN menang di Ayer Kuning, ia bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan kawasan itu merupakan kubu kuat UMNO.
Namun, beliau berkata, majoriti undi yang mengecil adalah peringatan keras bahawa keyakinan rakyat terhadap BN semakin menipis.
Jelasnya, keputusan PRK kali ini juga membuktikan bahawa kekuatan akar umbi PN kekal utuh walaupun diasak hebat dengan kekuatan jentera kerajaan di peringkat negeri dan pusat.
“Sejarah telah membuktikan bahawa sebarang penurunan sokongan terhadap parti pemerintah dalam PRK adalah tanda awal perubahan arus politik yang tidak boleh dipandang ringan. Ia memberi isyarat bahawa keyakinan rakyat terhadap kerajaan semakin luntur dan jika tidak ditangani dengan segera, boleh membawa kepada perubahan landskap politik dalam pilihan raya akan datang,” katanya.