Isu haid dan jenaka rogol di sekolah, ramai yang dah mula perasan

f1

Isu haid dan jenaka rogol tak lagi boleh dianggap ringan untuk warga pendidik serta para pelajar sendiri. Pendedahan demi pendedahan yang terbongkar ketika bulan Ramadan penuh mulia ni sebenarnya suatu teguran halus dari tuhan. Daripada kita tanya diri kita, “macam mana nak tau jika para pelajar menipu?”, lebih baik kita tanya dulu… “patut ke buat macam ni kat pelajar?”

728 X 90

Kalau sekalipun pemeriksaan tu dilakukan oleh kaum wanita, hakikat tersebut tak sepatutnya ‘melindungi’ atau ‘halalkan’ benda memalukan dan menjatuhkan maruah pelajar wanita. Pembongkaran kisah ni dikutip daripada perkongsian orang ramai dan dilaporkan oleh beberapa platform media. Isu ni kemudiannya dapat respon ramai, termasuklah ahli parlimen dan Mufti.

ustazah periksa kemaluan
Via Koolfm.com

Alat sulit pelajar diraba, minta tunjuk darah sebagai bukti tak boleh solat berjemaah

Jika kita padam perkataan ‘pelajar’, korang mesti akan rasa jijik: “alat sulit diraba”. Tetapi bagi sesetengah orang, tengok je perkataan ‘pelajar’, diorang rasa okey sebab  diorang rasa dah memang ‘hak’ sorang pelajar untuk diperlakukan serendah-rendahnya kerana pelajar ni tak tau apa-apa. Fahaman sebegini amat bermasalah, dan membuka ruang besar untuk lebih banyak isu sosial berlaku.

Dalam banyak respons yang kami peroleh daripada media sosial, rata-rata yang berkongsikan pengalaman diorang ni memang mengakui bahawa diorang ingat benda tu tak salah. Tapi lama-kelamaan, ia boleh buatkan diorang trauma, rendah diri dan malu dengan diri sendiri. Salah satu perkongsian yang dilaporkan oleh Malaysiakini menarik perhatian kami:

“Kadang-kadang, mereka akan beri kami sehelai kertas atau tisu, minta kami ke tandas dan tunjukkan darah haid kami. Saya ingat pada satu ketika, mereka minta kami berkumpul di padang bola.

Guru dan pengawas mesti periksa seluar dalam kami satu persatu dengan meraba belakang kami. Ia agak mengaibkan dan saya merasa sangat menjijikkan”- Siti N, mangsa seperti yang dilaporkan Malaysiakini

cikgu check kemaluan haid
Ni turut dialami oleh pelakon Sharifah Aleeya dan Sharifah Amani.. -Via Notakata

Tak cukup dengan tu, ada jugak yang dimalukan dan disindir secara lucah. Di sekolah, sindiran dan jenaka lucah dinormalisasikan. Dalam artikel yang sama jugak, sorang lagi mangsa yang digelar DH kata pada zaman sekolah diorang dulu di dua sekolah perempuan;

“Jika ustazah yang bertugas, lebih baik kita lari dan sembunyi, jika tidak, dia akan heret kita ke tandas dan buatkan kita ‘menyapu darah kita’ di tisu.

Kalau ada yang pakai tampon, dia akan malukan mereka, dengan tanya gatal sangat nak masuk k**e? Kata-kata tu menyebabkan saya tidak menggunakan tampon sehingga berusia 20-an,”- DH, mangsa, seperti yang dilaporkan Malaysiakini

Apabila ditanya sama ada amalan tersebut masih berlaku sehingga ke hari ni, ramai yang mengiyakannya. Ada yang dipaksa untuk calit kapas kat kemaluan diorang.  Ada yang terpaksa merelakan kemaluannya diraba untuk membuktikan diorang pakai pad. Ada yang terpaksa hadap berbagai makian, khususnya untuk para pelajar yang belum teratur haidnya. Biasanya, haid jugak digunakan untuk ‘memeriksa’ sama ada diorang ni mengandung ke tak.

periksa kemaluan haid guru sekolah
Via Koolfm

Kesannya, semua ni membuktikan dua perkara: kita perlu meneliti kembali bagaimana guru melayan pelajar wanita dan bagaimana kita nak tanamkan kat minda masyarakat bahawa kita perlu berubah lebih baik, bukan kekal di tempat yang sama je. Kalau dah ramai yang kata tak selesa, maka janganlah diteruskan amalan tersebut… betul tak?

Jenaka lucah sekadar nak rapatkan hubungan, masih ramai tak rasa perempuan ni bukan objek untuk diketawakan

Bila kita renungkan semula zaman persekolahan kita, ramai antara kita dah biasa dengar sesetengah guru suka nak jadikan pelajar perempuan ni bahan kepada jenaka-jenaka seksual. Malangnya, guru lelaki pun buat macam tu… guru wanita pun buat macam tu. Masing-masing dilihat hilang peranan dan berani untuk mengakui bahawa menjenakakan perkara seksual bukanlah satu norma yang perlu diteruskan hingga akhir waktu. Demi nak ‘eratkan hubungan’ pendidik-pelajar, maka bergurau lucah hingga hujung sesi kelas. Bagi diorang, kalau cikgu buat, maka pelajar pun boleh buat.

Pelajar perempuan kini dihimpit dua perkara – di asrama, diorang diraba kemaluan. Di kelas, diorang dijadikan objek jenaka dan perlecehan fizikal oleh guru dan rakan-rakan khususnya rakan kelas lelaki. Kalau kita letak diri kita sebagai sorang pelajar perempuan dengan dua situasi ni, tak melebih-lebih sekiranya kita sebenarnya melemahkan diri pelajar perempuan ni. Begini ke cara dan persekitaran yang kita nak untuk anak-anak kita?

Beberapa ahli Parlimen turut menegur amalan periksa kemaluan ni di sekolah. Dr. Maszlee misalnya, kata amalan tersebut mencabul kebersendirian seseorang dan termasuk dalam suatu bentuk gangguan fizikal serta penderaan. Rina Harun, Menteri KPWKM kata akan buat susulan dengan KPM serta tak boleh diterima pun pada akal fikir kita.

jenaka rogol
Via Khalifah Media Networks

Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kata bahawa secara undang-undangnya, amalan periksa kemaluan jugak salah kerana ada unsur gangguan dan penderaan seksual. Maksudnya, kalau korang ibu atau bapa kepada anak tu dan korang pun buat benda yang sama; korang jugak boleh didakwa. Bukan tu je, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor pun menyelar tindakan tersebut.

“Agama Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti untuk menghalang seorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan solat,”- seperti yang dilaporkan MyKmu.net

Jelasnya lagi, Islam tak membenarkan kanak-kanak diperlakukan dengan tindakan yang boleh memalukan diorang termasuklah periksa bahagian sulit hanya nak tau sama ada diorang menipu pasal datang haid atau tak. Kesemua respon ni ternyata menunjukkan bahawa amalan periksa kemaluan dan jenaka lucah ni tak boleh diteruskan lagi pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *