Isu imuniti Perdana Menteri sedang dibahaskan

f1 min (7)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan. Permohonan itu termasuk persoalan sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther, empat tahun lalu.

Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad, minggu lalu, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Beliau turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh perlembagaan.

Anwar mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang, seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

screenshot 2025 06 16 134742
Yusof Rawther. Via Harian Metro

Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018. Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022. Anwar menyatakan bahawa saman itu berasaskan dakwaan yang direka, selain mendakwa beliau menjadi mangsa sabotaj reputasi bermotifkan politik.

Dalam permohonan yang sama, Anwar turut memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi perlu menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada saman itu merupakan penyalahgunaan proses atau suatu ancaman kepada kepentingan awam. Sekiranya benar, mahkamah perlu memutuskan sama ada saman itu wajar digantung atau dibatalkan demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan.

Permohonan itu juga meminta agar Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada Anwar, sebagai Perdana Menteri semasa, berhak menurut Perkara 5(1) Perlembagaan untuk perlindungan daripada litigasi yang bersifat strategik atau dipolitikkan bagi menjejaskan keupayaannya mentadbir negara.

Via Giphy

Permohonan rujukan ini difailkan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, beliau memohon agar prosiding perbicaraan saman di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain, digantung sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, peguam Rafique Rashid Ali, yang mewakili Yusoff, mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima dokumen mahkamah daripada pasukan peguam Anwar.

Bagi Naim dan Ezam, apa yang dilakukan oleh PMX itu tidak wajar

Pemohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi untuk merujuk persoalan sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther didakwa tidak berasas. Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada Bersatu, Na’im Brundage berkata, ia kerana permohonan dalam Perkara 39, 40, dan 43 Perlembagaan Persekutuan itu hanya merujuk kepada kuasa eksekutif dalam urusan pentadbiran negara.

Beliau berkata, ia tidak memperuntukkan sebarang imuniti kepada Perdana Menteri atau mana-mana anggota pentadbiran lain.

“Kami juga mengambil maklum bahawa permohonan ini turut merujuk kepada Perkara 5(1), namun peruntukan tersebut pula jelas bertujuan untuk melindungi kebebasan individu daripada penahanan atau sekatan secara tidak sah oleh pihak berkuasa. Ia tidak relevan untuk dijadikan asas oleh perdana menteri bagi mengelakkan tindakan saman sivil yang melibatkan dakwaan salah laku peribadi,” katanya dalam satu kenyataan

screenshot 2025 06 16 135034
Naim. Via FMT

Dalam pada itu, Na’im menjelaskan, permohonan tersebut juga adalah tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip kesamarataan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa ‘semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama di sisi undang-undang’. Oleh itu, tiada individu termasuk perdana menteri harus dikecualikan daripada tindakan undang-undang.

“Sekiranya permohonan ini dibenarkan, ia akan mewujudkan preseden undang-undang yang berbahaya yang berpotensi membolehkan mana-mana perdana menteri pada masa hadapan menuntut imuniti daripada tindakan undang-undang, walaupun dalam kes yang melibatkan tuduhan peribadi seperti serangan seksual atau salah laku sivil,” katanya.

Justeru, pihaknya menggesa Mahkamah Tinggi untuk menolak permohonan tersebut dan membenarkan proses perundangan yang adil dan telus dilaksanakan, demi keadilan untuk semua pihak yang terlibat.

Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik permohonan imuniti daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas penyelidiknya, Yusoff Rawther. Menurut beliau, permohonan seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara selain tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

Ujar beliau, sebagai Presiden PKR, Anwar sepatutnya memahami bahawa aspek keadilan itu sepatutnya ditegakkan di mahkamah.

“Perdana Menteri melalui peguam-peguamnya berhujah bahawa sebagai Perdana Menteri perbicaraan akan mengganggu tugasnya sebagai PM dan kestabilan negara. Maka jalan yang betul adalah berhenti sementara dari jawatan dan tugas PM dan hadir di mahkamah sebagai seorang Anwar!” katanya dalam kenyataan

Menurut Mohamad Ezam, Anwar seharusnya berhenti menngheret rakyat untuk menanggung masalah peribadi beliau yang sudah dilakukan sejak 1998. Malah, katanya, beliau sendiri pernah dua kali dipenjara selain berbelas-belas kali dikenakan tahanan lokap, dengan ramai lagi menjadi mangsa sepertinya, sehingga menanggung derita disebabkan kes dan masalah peribadi seorang ketua.

ezam
Ezam. Via MG

“Dan hari ini kamu menjadi ketua negara dan sanggup mengheret seluruh rakyat dan negara dengan menggunakan jawatan Perdana Menteri untuk lari dari proses keadilan,” katanya.

Tambah Mohamad Ezam, Anwar kini tidak lagi mempunyai alasan untuk mendakwa mahkamah tidak berlaku adil memandangkan beliau sekarang merupakan Perdana Menteri.

“Tarik balik permohonan imuniti dan hadirlah di mahkamah sebagai Anwar Ibrahim yang berdepan dengan Yusof Rawther atas sifat dan nilai yang sama sebagai manusia yang mencari keadilan dihadapan seorang hakim!” katanya.

Perikatan Nasional minta Peguam Negara masuk campur dalam urusan ini

Perikatan Nasional gesa peguam negara campur tangan dalam permohonan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau punya imuniti daripada saman sivil yang dijadualkan untuk perbicaraan bulan depan.

Ketua Whip Takiyuddin Hassan berkata peguam negara selaku penasihat undang-undang kepada kerajaan, dalam kapasiti menjaga Perlembagaan, perlu campur tangan. Takiyuddin, yang juga seorang peguam, menggesa peguam negara campur tangan sebagai ‘pencelah’ mahupun ‘sahabat mahkamah’ dalam prosiding permohonan tersebut.

Tegasnya, peguam negara ada tanggungjawab untuk meneliti kesahihan permohonan yang dibuat oleh perdana menteri dari segi undang-undang dan perlembagaan, dan menasihati secara rasmi mengenai perkara itu. Takiyuddin juga berkata peguam negara ada tanggungjawab untuk mengelak duluan kehakiman yang boleh melemahkan prinsip kebertanggungjawaban pemimpin politik.

Semalam, Rafique Rashid Ali, yang mewakili bekas penyelidik, Yusoff Rawther, memaklumkan Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan 3 Jun untuk pihak-pihak berkenaan membuat penghujahan lisan bagi permohonan itu.

Hakim perlu menentukan sama ada perkara tersebut melepasi ambang keperluan untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *