Askar dikatakan dilempar air kencing tanda protes penduduk, ini cerita sebenarnya

F1

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan oleh kerajaan, pihak penguatkuasa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Bukan mudah untuk menguruskan manusia, lebih-lebih lagi dalam keadaan krisis kesihatan yang turut memberi kesan kepada keadaan kewangan orang ramai. Selaku mereka yang berada di barisan hadapan, kita patut menghargai jasa dan pengorbanan diorang.

Sejak Jumaat lepas, kecoh berita – ada penguatkuasa yang katanya telah dibaling objek sebagai tandas protes Perintah Kawalan Pergerakan.

Ada dakwaan yang mengatakan penguatkuasa dibaling objek, polis sahkan ada laporan polis dibuat

Warga asing yang di tiga lokasi kediaman didakwa menunjukkan protes dengan melempar barangan dari tingkat atas bangunan. Perbuatan biadab ni dipercayai dilakukan warga asing di tiga lokasi kediaman yang telah diisytiharkan PKPD untuk putuskan rantaian penularan Covid-19.

Tiga bangunan telah diisytiharkan PKPD di ibu negara adalah Menara Plaza City One di Jalan Munshi Abdullah bermula 31 Mac lalu manakala bangunan Malayan Mansion dan Selangor Mansion di Jalan Masjid India pulak dikuatkuasakan sejak Selasa lalu.

Menurut sumber yang dihubungi Sinar Harian, petugas yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terpaksa berdepan situasi itu ketika melakukan kawalan selama 24 jam di kawasan tu.

“Bukan saja-saja askar pakai helmet ketika berkawal di bangunan-bangunan kediaman itu. Jika kita lihat ketika kawalan sekatan jalan raya, askar tak pakai helmet pun, hanya pakai beret. Pakai helmet sebab nak elak daripada kena benda yang dibaling dari atas. Bawang putih pun dibaling dari dalam rumah. Jadi kita tak dapat kenal pasti dari unit mana,” – Seperti yang dilaporkan Sinar Harian

121
Via Info Sebenar

Cuma sumber yang dihubungi Sinar Harian ni turut kata; keadaan kini makin terkawal setelah penghuni akur dengan sikap tegas yang diamalkan oleh petugas keselamatan. Katanya, penghuni di kawasan tu takde alasan untuk lakukan protes sebab bantuan makanan turut diaturkan kepada penghuni terlibat.

Sementara tu, Polis sahkan ada terima satu laporan berkaitan anggota tentera yang sedang bertugas di bangunan Selangor Mansion dibaling objek. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim kata, laporan Polis dibuat oleh pengadu kerana anggotanya maklumkan tentang perbuatan segelintir penghuni Selangor Mansion yang baling objek seperti botol, bungkusan sampah dan pasu bunga.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Keadaan keselamatan di kawasan tersebut adalah terkawal. Rakaman percakapan pengadu telah pun dilakukan dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak Polis Kuala Lumpur,” – Mazlan Lazim, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

121
Datuk Seri Mazlan Lazim. Via Berita Harian

Mazlan kata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penghuni yang didapati terlibat dalam kes yang dilaporkan tu. Kes ni disiasat di bawah Seksyen 511 dan Seksyen 324 kanun keseksaan iaitu cuba datangkan cedera kepada penjawat awam dengan baling botol dan pasu bunga.

Menurutnya, Polis Kuala Lumpur amat harapkan kerjasama semua pihak supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan demi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 ini.

Panglima ATM nafikan ada arahan guna topi keledar untuk elak air kencing

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang nafikan dakwaan ada anggota tentera yang terlibat melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi kediaman di Kuala Lumpur terpaksa pakai topi keledar untuk elakkan daripada terkena simbahan air kencing warga asing.

Katanya ketika dihubungi BERNAMA, dakwaan yang tular di media sosial tu tak benar sambil menambah ATM tak pernah keluarkan arahan untuk anggotanya buat macam tu.

“Tidak ada perkara sedemikian (anggota tentera memakai helmet (topi keledar) elak air kencing warga asing ketika bertugas). Pihak ATM hanya memakai helmet (topi keledar) untuk tempat yang diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) manakala di tempat lain adalah seperti biasa,” – Affendi Buang, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Sementara tu, Kementerian Kesihatan Malaysia perlukan sekurang-kurangnya 10 hari untuk menyaring semua penduduk di kawasan yang baru diwartakan di bawah Perintah Kawalan Diperketatkan. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kata; pihaknya harap dapat laksanakan proses nyahkuman dalam tempoh yang 10 hari tu.

121
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Via Straits Time

“Kita menganggarkan (untuk Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion), setiap satu mempunyai 2,500 penduduk, menjadikan anggaran keseluruhan 5,000 penduduk. Kita harap, dengan pengesanan kes secara aktif (ACD), termasuk saringan, kita beri masa 10 hari untuk bersihkan kawasan itu. Kita harap dapat menjalankan proses nyahkuman, dalam tempoh tersebut kita akan pertingkatkan usaha ACD di sana,” – Noor Hisham Abdullah, seperti yang dilaporkan AWANI

Melihat daripada kenyataan dari Ketua Pengarah Kesihatan kita ni, nampaknya pihak penguatkuasa akan lepak lebih lama di kawasan tu, kita harap takde benda yang tak elok akan berlaku. Penting untuk seluruh rakyat Malaysia beri kerjasama dalam masa-masa yang genting.

Elakkan sensasikan sesuatu untuk timbulkan kebencian terhadap sesuatu kumpulan

Kalau kita ingat – kumpulan Tabligh pernah kecam satu Malaysia kerana kluster Tabligh di Malaysia menyumbang kepada kadar jangkitan yang tertinggi. Cuma Pengarah Kesihatan kita dah beri nasihat – jangan prejudis dan diskriminasi kumpulan Tabligh. Benda ni sama jugak dengan warga asing – memang senang nak buat orang lagi benci orang asing – lebih-lebih pada saat krisis macam ni.

Apa yang pasti, Covid-19 ni tak mengira kewarganegaraan, bangsa, agama atau ideologi. Sesiapa sahaja boleh dijangkiti, oleh tu kita kena hadap sama-sama. Kalau ada sesetengah orang yang benda tak elok – tak semestinya ia mewakili keseluruhan kumpulan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *