Tidak timbul isu bahawa UMNO akan tergugat susulan siasatan kes rasuah yang sedang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kes itu adalah bersifat individu dan tidak membabitkan parti.
“Perkara itu bukanlah satu isu dalam kalangan kepimpinan dan ahli UMNO. Kami menganggap kes ini bersifat peribadi. Ia tiada kaitan dengan parti secara rasmi,” katanya pada sidang media Majlis Berbuka Puasa Bersama Majlis Kerja Tertinggi UMNO

Pengerusi Barisan Nasional itu berkata demikian ketika mengulas persoalan sama ada kes rasuah melibatkan Ismail Sabri akan mengganggu kestabilan UMNO dan adakah perkara tersebut menjejaskan imej parti berkenaan. Ahmad Zahid mengulangi bahawa UMNO tidak terlibat dengan wang dan jongkong emas yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah mengaitkan Ismail Sabri.
“Tiada kaitan langsung untuk dana politik atau kutipan yang dibuat oleh UMNO. Kita serah kepada SPRM untuk ambil tindakan susulan dan jika tindakan perundangan sekalipun, terserah kepada SPRM serta Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Zafrul masih ahli Umno, tegas Zahid Hamidi
Sementara itu, ada pandangan yang mengatakan hasrat Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk meninggalkan UMNO dilihat bersifat peribadi dan tidak menandakan berlaku perpecahan dalam parti tersebut. Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, langkah berkenaan juga tidak menjejaskan kestabilan parti kerana ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu bukan antara pemimpin yang berpengaruh dalam UMNO.
“Kalau lihat sejarah UMNO, ada presiden parti sendiri yang berhenti atau keluar parti. Terdapat juga pimpinan UMNO dipecat dari parti. Jadi senario perubahan dalam parti bukan perkara luar biasa, mana-mana parti pun mengalami perkara sama. Tidak ada individu mempunyai pengaruh yang sangat besar sehingga melemahkan parti,” katanya
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Tengku Zafrul telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti itu kepadanya pada minggu lepas.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau telah menasihati Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu untuk tidak membuat keputusan tergesa-gesa dan setakat ini, Tengku Zafrul masih lagi ahli UMNO.
Mengulas lanjut Ahmad Marthada berkata, Tengku Zafrul wajar mempertimbangkan semula nasihat Ahmad Zahid untuk tidak membuat keputusan tergesa-gesa berhubung hasrat tersebut. Menurutnya, ini kerana Tengku Zafrul mempunyai kredibiliti sebagai ahli MKT UMNO dan potensi kerjaya jangka masa panjang.
Zahid berikan nasihat kepada Zafrul dan sedang diterima secara terbuka oleh Zafrul
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz masih ahli UMNO yang sah demikian dinyatakan Presidennya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid menjelaskan, beliau telah bertemu dengan Zafrul untuk membincangkan ura-ura kononnya Tengku Zafrul bakal meninggalkan parti keramat tersebut. Bagaimanapun pada pertemuan itu, Ahmad Zahid turut menyarankan Tengku Zafrul supaya tidak terburu-buru dalam membuat keputusan berhubung perkara itu.
“Saya memperakui bahawa beliau telah bertemu dengan saya minggu lalu dan saya telah memberikan pandangan parti bahawa beliau tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan. Sekarang beliau merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja. Beliau juga adalah Ahli Majlis Kerja Tinggi (MKT) UMNO yang dipilih dan menang. Jadi tidak perlu tergesa-gesa. Dalam keadaan itu beliau (Tengku Zafrul) bersetuju dengan saya dan insya-Allah setakat hari ini, beliau masih lagi menjadi ahli UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Majlis Berbuka Puasa Bersama MKT UMNO.
Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menerima nasihat yang diberikan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan hati terbuka.
“Saya sudah berjumpa dengan Presiden UMNO dan kami berbincang mengenai kedudukan saya dalam parti. Beliau menasihatkan supaya tidak tergesa-gesa membuat keputusan dan saya bersetuju. Mesyuarat itu berlangsung secara terbuka dan kami bersetuju setiap keputusan perlu dibuat dengan berhati-hati demi memastikan ia adalah keputusan yang terbaik. Saya juga tidak tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan,” katanya selepas majlis pelancaran platform Madani Digital Trade
Ketika ditanya apakah keputusannya ketika ini, Tengku Zafrul berkata, segala pertimbangan politik akan difikirkan dengan lebih mendalam dan ketika ini beliau ingin memberikan fokus kepada kerja sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan memaklumkan kepada Tengku Zafrul supaya tidak perlu tergesa-gesa membuat keputusan mengenai perkara itu dan mengesahkan Tengku Zafrul masih ahli UMNO.
Pada 9 Februari lalu, Tengku Zafrul dilaporkan akan mengumumkan keputusan ura-ura beliau akan meninggalkan UMNO dalam tempoh terdekat selepas berjumpa Ahmad Zahid. Tengku Zafrul, berkata beliau akan menemui Presiden UMNO itu bagi membincangkan perkara berkenaan sebelum pengumuman mengenainya dibuat secara rasmi.