Isu lantikan politik, IDEAS dapat 95 lantikan politik

f1 min (26)

Jumlah lantikan politik dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ketika era pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah memasuki tempoh 22 bulan, menunjukkan angka lebih kecil berbanding dua pentadbiran kerajaan terdahulu.

Analisis Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mendapati, 95 pelantikan politik dibuat sepanjang tempoh Perdana Menteri menerajui kerajaan hingga kini, berbanding 273 pelantikan pada era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yasin (186 pelantikan), yang masing-masing mentadbir selama 17 dan 15 bulan.

Dapatan analisis ke atas lima Perdana Menteri sebelum ini turut menunjukkan, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bermula 2009 hingga 2018 merekod jumlah lantikan politik tertinggi iaitu seramai 301 orang, manakala di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad (2018 -2020), hanya 86 pelantikan politik dibuat.

Penyelidik IDEAS, Doris Liew, berkata analisis pihaknya mendapati jumlah pelantikan politik tertinggi sepanjang lima era pentadbiran Perdana Menteri terdahulu datangnya daripada UMNO, diikuti BERSATU.

Katanya, lantikan politik daripada PAS adalah seramai 53 orang, diikuti DAP (45 orang), MCA (43 orang), PKR (33 orang), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (22 orang) serta 15 orang daripada Parti Amanah Negara (AMANAH)

“Tahun ini, IDEAS menambah baik data pelantikan dalam 283 anak syarikat GLC, yang mana IDEAS mengesan jumlah pelantikan politik tertinggi adalah ketika pentadbiran Ismail Sabri dengan 33 pelantikan, diikuti Najib (32 orang) dan Muhyiddin (31 orang). Ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), pelantikan dalam GLC jauh lebih sedikit iaitu masing-masing 16 orang di bawah Anwar dan 13 orang di bawah Dr Mahathir,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada media mengenai perkembangan terkini Pantau Kuasa.

Selain itu, Liew berkata, dalam analisisnya juga, tiga individu dikesan memegang lebih empat jawatan dalam tempoh lima pentadbiran sebelum ini, termasuk Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman yang memegang tujuh jawatan lantikan di bawah Muhyiddin.

“(Bekas Ahli Parlimen Padang Besar), Datuk Zahidi Zainul Abidin dengan lima jawatan lantikan di bawah Najib, manakala (bekas Ahli Parlimen Jempol) Datuk Mohd Salim Sharif, memegang jawatan lantikan di bawah pentadbiran Najib, Muhyiddin dan Ismail Sabri,” katanya.

Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, kewujudan berterusan lantikan politik dalam badan berkanun dan GLC menekankan pengaruh politik yang mendalam dalam sektor tadbir urus sektor awam.

“Malaysia kini kekurangan mekanisme pelantikan telus dan berasaskan merit. Pelantikan boleh digunakan untuk kepentingan politik dan memberikan jawatan sinekura.

“Hal ini boleh mengakibatkan pemantauan dan pengurusan lemah terhadap entiti ini, seterusnya menghakis kepercayaan awam terhadap struktur tadbir urus Malaysia,” katanya.

Katanya, Ahli Parlimen boleh mengawasi prestasi badan berkanun dan GLC melalui jawatankuasa khas Parlimen, bukan menduduki sebarang jawatan di dalamnya.

“Penemuan terkini Pantau Kuasa menunjukkan pelantikan politik masih menjadi kebiasaan, biarpun di bawah kepimpinan Anwar. Memandangkan landskap politik semakin kompleks, yang mana gabungan berbeza mungkin memerintah negara akan datang, adalah penting pelantikan badan awam ini dibuat telus,” katanya.

PM praktikal, lantikan politik tidak bercanggah dengan undang-undang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat praktikal melaksanakan lantikan politik dalam badan berkanun dan berkaitan kerajaan (GLC) dengan hanya memberikan jawatan dan kedudukan kepada individu berkelayakan.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, perkara itu memberi kesan baik kepada ekonomi negara kerana tidak mengalami pembaziran dalam pembayaran gaji malah berbaloi berikutan ia diberikan kepada individu sepatutnya.

“Angka jumlah lantikan politik dalam GLC bukan satu masalah tetapi yang mencetuskan pertikaian dalam masyarakat apabila individu dilantik tidak menepati kehendak jawatan dipegang.

“Sekiranya ahli politik yang menepati keupayaan serta pakar dalam bidang sama ia tidak menjadi masalah. Mereka pasti berkebolehan untuk memberi impak dan kemajuan kepada jawatan dilantik,” katanya

Sebelum ini, jumlah lantikan politik dalam GLC di bawah pentadbiran Anwar menunjukkan angka lebih kecil berbanding era Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Nor Halmey berkata, lantikan dalam GLC wajar dilaksana kepada tenaga profesional lain seperti penjawat awam atau mana-mana individu yang berkemampuan dan kepakaran tidak berkait politik bagi membentuk tadbir urus lebih baik.

Lantikan politik tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang dan perlembagaan negara. Penganalisis Politik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, lantikan politik membolehkan mereka lebih bertanggungjawab dan berhati-hati kerana sentiasa dipantau bukan sahaja dalam organisasi berkaitan, malah segala tindak tanduk oleh ahli parti, parti dan orang ramai turut diperhati.

“Apabila ini berlaku ia memerlukan (individu) dilantik akan menjalankan tugasnya dengan lebih baik agar tidak dipertikaikan lantikan dan membuktikan keupayaannya bukan sahaja atas nama individu, malah untuk memelihara nama baik partinya. Selagi yang dilantik secara lantikan politik itu mempunyai kelayakan dan mampu menyumbang dalam mana-mana organisasi maka ia sepatutnya tidak menjadi isu,” katanya

Selain itu, katanya, lantikan itu juga memudahkan kerajaan membuat pemantauan kerana pelantikan sudah pasti mengambil pelbagai pertimbangan dan justifikasi yang memboleh dan melayakkannya menyandang jawatan berkenaan.

“Tidak semestinya semua lantikan politik menimbulkan masalah kerana tanpa lantikan politik juga banyak organisasi mengalami kerugian yang teruk, isu salah guna kuasa dan sebagainya. Hanya disebabkan individu berkenaan ahli parti politik tidak semestinya tidak layak memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jika ini berlaku maka ini adalah salah satu bentuk diskriminasi. Banyak lagi organisasi yang tidak ada lantikan politik tetapi tidak menjadi isu,” katanya.

Lebih penting, katanya, ada mekanisme kawal selia, pemantauan, kelayakan dan membudayakan kerja cemerlang dalam pelantikan lantikan politik dan bukan lantikan politik. Sebelum ini, kerajaan perpaduan menegaskan tidak akan melakukan sebarang pelantikan ahli politik bagi jawatan dalam GLC yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *