Isu pelajar “kencing” satu Malaysia kata terima biasiswa NASA, ini analisis kami

F1

Mungkin korang dah dengar kisah seorang anak muda berusia 20 tahun dah berjaya dapat biasiswa NASA, dan berjaya tarik perhatian ramai orang mengenai potensi dan kebolehan anak muda ni. Bayangkanlah, NASA kot yang tawarkan biasiswa sambung belajar sebagai hadiah menang pertandingan.

Pada 30 April tu, dia menulis ciapan kesyukuran atas ‘kejayaannya’ tu menerusi akaun Twitter peribadinya @theotherazharal. Bertalu-talu ucapan tahniah datang, sampailah orang mulai perasan banyak benda pelik kat dalam ciapannya tu…

Nasa Biasiswa
Via Says.com

Tatabahasa tunggang-langgang, rekaan poster ‘laporan’ dan profil nampak tipu?

Dalam ciapan tu, dia ada kepilkan empat gambar yang bertujuan nak buktikan bahawa benda ni betul. Setakat tu takpelah… benda biasa. Orang tak curiga. Tapi yang buatkan warganet curiga adalah tatabahasa bahasa Inggeris dalam imej yang dikepilkan dalam ciapan tu tak tepat, selain dilihat tak nampak formal.

Tak normal lah kalau agensi antarabangsa bertaraf dunia dan sangat menjaga kualiti standard ni boleh silap tatabahasa dan ada typo pulak tu. Ada jugak warganet pertikaikan logo tu jugak tak diedit dengan baik dan begitu teratur. Kami dah tandakan beberapa kesilapan yang mungkin ramai tak perasan lagi.

Poster Artemis Typo
Dahlah salah eja, tatabahasa.. logo pun tak cantik diatur..

Bukan tu je, salah satu gambar tangkap layar yang sepatutnya menunjukkan bahawa dia dah diterima masuk menjadi “Citizen Scientist” sebaris dengan ahli saintis lain tu pun mencurigakan jugak. Menurutnya, tangkap layar tersebut hanyalah sekadar ‘gambaran kasar’ sebelum dikemaskini oleh pasukan NASA.

Memandangkan ada disertakan pangkal hadapan alamat URL tu, ia memberi sedikit keyakinan jugak bahawa mungkin betul lah dia dah didaftarkan menjadi Citizen Scientist. Oleh sebab setiap profil yang disiarkan tu kena ada garis biru (hyperlink) yang membawa kepada projek setiap Citizen Scientist, ramai tambah berminat nak baca.

Azhar Ali Citizen Scientist
Via Soya Cincau

Kata Azhar, pihak NASA sekadar nak suruh dia pilih gambar sendiri je dan bagi tengok dulu. Walau bagaimanapun, alasan tu belum cukup menenangkan warganet. Pada mulanya, pihak kami turut mencari namanya dalam carian “Citizen Scientist”. Ye lah, nak jugak rasa bangga tengok rekaan anak tempatan pilihan NASA ni.

Azhar Ali Carian
Tak keluar jugak..

Namanya tak naik jugak. Berkali-kali kami cari, dan begitu jugak nasib warganet yang tertarik dengan pencapaian pemuda bernama Azhar Ali ni. Tengok semula gambar yang dikepilkan tu pun, agak jelas jugak ia cuma edit biasa je. Muncul pulak spekulasi bahawa ni sekadar hoax je. Kami cuba je lah edit wajah ketua editor kami ni, siap ada hyperlink lagi.

Scam
Ketua editor kami pun cuba buat, nampak lebih meyakinkan…

Tak nak bagi tengok tesis kajian, ada orang kata hanya ciplak esei dari Internet je rupanya

Satu lagi benda menarik adalah tanggungjawab Citizen Scientist tu sendiri. Idea citizen science tu tak bersifat ekslusif, malah sebaliknya, ‘kerja’ citizen science (atau Citizen Scientist) ni adalah kerja sukarelawan dan biasanya tak berbayar. Idea mereka tu digunakan di seluruh dunia dan data tu dikongsi satu sama lain. Sesiapa je boleh sertai dalam projek-projek Citizen Scientist ni. Tak perlu ikut pertandingan pun…

Berbeza dengan reaksi Azhar ketika ramai minta penjelasan, dia kata “tesis” pertandingan Spacesuit User Interface Technologies (SUIT) tu belum boleh dikongsi ramai. Pihak kami turut menghubunginya untuk mendapatkan respon menerusi e-mail, di samping nak ucap tahniah atas ‘kemenangan’ tersebut namun takde balasan daripadanya.

Atas kuasa warganet, kami jumpa jugaklah tesis yang pernah dikongsinya dengan sorang pengguna Twitter yang sempat dihubunginya secara peribadi menerusi Direct Message (DM). Ada mendakwa bahawa “tesis” tersebut sebenarnya sekadar salin dari Internet je.

Bila baca “tesis” seperti ni, ia tak seperti apa yang kami bayangkan bila sebut pasal tesis. Pelajar PT3 pun dah tau buat tugasan esei dan kepentingan memetik sumber dalam proses siapkan kerja projek serta tugasan untuk penilaian peperiksaan. Senang nak cakap, ia lebih mendekati pada esei peribadi dan pandangan umum je terhadap keadaan di Marikh.

Orang kata satu lagi red flag ler, sebab projek Artemis Challenge yang didakwanya tu bukan untuk ‘ke Marikh’. Ia untuk mendarat kat Bulan sebenarnya, menurut NASA. Dia tulis “tesis” ni bertemakan ‘solusi’ di Marikh.

Satu benda lagi – Turnitin tak boleh diakses secara percuma dan biasanya kat Malaysia ni, institusi pendidikan tinggi selalu kena guna fungsi tersebut. Bila dah hantar kat dalam katalog data Turnitin, data esei atau tesis tu akan tersimpan supaya boleh semak jika ada orang pada masa depan salin pulak macam kes ni. Benda ni dicipta untuk elakkan plagarisme

Kalau nak ikut akal, tak sempat pun Azhar nak hantar ke Turnitin lagi. Pertandingan SUIT tu sendiri dibuat kat Amerika Syarikat dan hanya terbuka untuk pelajar sana je, dimana ia dilakukan secara berkumpulan. Takde main hantar esei dalam talian pun. Dahlah benda tu cuma berlangsung pada 20-24 April je. Tup-tup keluar result 30 April (atau 29 April, ikut waktu Amerika). Waktu PKP pulak tu…

Suit Syarat Nasa
Sah-sah Azhar tak lepas, sebab dia orang Malaysia dan ni kerja berkumpulan- Via NASA

Ada jugak warganet tunjuk benda ni kat dia dan mintak penjelasan lebih. Katanya, dia tak ikut satu level dengan budak universiti. Dia kata dia cuma ikut gred 9-12 punya je. Bila semak semula, gred 9-12 ni dalam lingkungan umur 13 hingga 18 tahun. Azhar pulak anak muda berusia 20 tahun… Bab ni tak kira dah pertandingan apa dia masuk pun; kalau terlebih umur DAN MENANG, tak ke terbatal jugak nanti?

Azhar Ali Grade 9 12 1
Via Twitter

NUS nafikan biasiswa ada kaitan dengan NASA, program ijazah sarjana muda tu pun tak wujud

Untuk ni, kami hanya perlu rujuk surat tawaran biasiswa dan program pengajian kat National University of Singapore (NUS). Secara visualnya, kes surat tawaran tu pun lebih kurang je macam kes poster infografik tu. Nampak… pelik.

Sorang warganet berjaya dapatkan surat tawaran tersebut, dan pada waktu ni, Says.com adalah media yang pertama mula persoalkan kesahihan cerita tu taknak kongsi imej surat tu kerana “faktor kerahsiaan”. Untuk tu, pengguna Twitter bernama Asri, @MohdAsriDungun dah tolong padamkan butiran sensitif Azhar.

Offer Letter Nus Scam
Ni kalau percaya lagi, tak tau dah..

Kami dah banyak tandakan masalah kat surat tersebut, dengan membandingkan contoh surat rasmi dari NUS sendiri. Format surat pun lari dan tak justify perenggan, lepas tu takde tandatangan rasmi R. Rajaram sebagai ahli rasmi pentadbiran NUS. Alamat universiti tiba-tiba pulak pakai saiz besar, tak macam saiz keseluruhan teks surat tersebut.

NUS dah wujud. Biasiswa NASA tu pun wujud. Tapi ia takde pun kena mengena dengan NASA yang di Amerika tu. Korang boleh semak sendiri kat NASA SUIT tu, khas untuk Artemis Challenge di mana semua universiti yang bertanding adalah universiti dalam Amerika Syarikat dan bukanlah entiti persendirian atau perseorangan je.

Prize Funding Luar Us
NASA tak dibenarkan bagi dana hadiah pun untuk yang kat luar Amerika.. -Via FAQ NASA Solve

Untuk hal ni, biasiswa NASA adalah NUS Award for Study Abroad. NASA Scholarship yang ada untuk pelajar asing pulak menyatakan bahawa tu hanya untuk pelajar sedia ada. Bukan untuk yang baru je nak masuk.

Tambah lagi, program pengajian “Mathematic/Applied Mathematic For Cosmology” tu tak wujud pun. Kami simpulkan benda ni macam program gabungan suka hati je antara dua Jabatan yang berbeza kat NUS iaitu Jabatan Fizik dan Jabatan Matematik.

Astrofizik Nus
Via Department of Physics, Faculty of Science NUS

Kalau betul nak masuk jurusan kaji alam semesta ni, alternatif terbaik adalah dengan ambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Fizik dengan pengkhususan Astrofizik. NUS akhirnya menepis dakwaan bahawa Azhar ada ditawarkan tempat kat NUS.

“Kami ingin menjelaskan bahawa Universiti tidak hantar surat tawaran kemasukan kepada Encik Muhammad Azhar Bin Muhammad Ali. Tambahan lagi, Universiti tidak menawarkan jurusan ‘Mathematics/Applied Mathematics for Cosmology’.

NUS Awards for Study Abroad (NASA) Scholarships membantu (memberi) peluang belajar ke luar negara untuk para pelajar ijazah sarjana muda NUS. Ia tidak ditawarkan dengan kaitan bersama National Aeronautics and Space Administration (NASA).” – Kenyataan NUS seperti yang dilaporkan oleh Says.com pada 3 Mei

Subjek Astrofizik Nus
Antara subjek menarik untuk para peminat astrofizik.. Via NUSMods

Angkara media tak semak betul-betul fakta cerita, akhirnya satu negara tertipu

Antara media dengan menteri, ramai lebih percaya saluran media ni sebagai penyampai informasi yang betul kepada rakyat. Apa-apa yang jadi, berita sentiasa jadi rujukan awam. Namun dalam hal ni pulak, akhirnya satu negara tertipu kerana media yang selalu dipercayai ramai pun boleh buat silap.

Scam
Via Berita Harian

Nasib baiklah cerita ni cepat diperbetulkan semula hasil kerjasama dari warganet yang giat menyelidik dan merungkai kisah ni. Memandangkan kini Azhar pulak kata dia adalah mangsa penipuan, kami taknak lah tuduh serkap jarang bahawa dia yang buat semua ni semata-mata nak populariti je.

Penipuan macam ni selalu je berlaku kat alam maya. Yang pasti, banyak hikmah yang dapat dipelajari dalam kes ni iaitu sentiasa periksa betul-betul maklumat tu sebelum kongsi (atau laporkan) dan hati-hati apabila daftar apa-apa pertandingan dalam talian ye…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *