Isu PKR Sabah, Anwar akan putuskan

f1

Bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Christina Liew mengambil pendirian sama menyerahkan keputusan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan yang melanda.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, walaupun ada ketua cabang yang telah menawarkan diri bersedia untuk mengalas tanggungjawab sebagai Pengerusi MPN Sabah baharu namun keputusan tetap terletak ditangan presiden parti.

“Jadi kita tunggu Perdana Menteri atau presiden parti datang untuk selesaikan sebab menurut perlembagaan parti pelantikan Pengerusi MPN negeri adalah kuasa presiden setelah berbincang dengan semua ketua cabang.

“Perdana Menteri akan datang pada 20 April depan untuk hadiri majlis rumah terbuka jadi diharap presiden dapat menyelesaikan isu ini,” katanya

Christina yang juga Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu dalam pada itu mengaku bahawa beliau antara 15 ketua cabang yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menolak kepimpinan Datuk Sangkar Rasam.

“Kita sentiasa melihat kepada peluang seseorang itu untuk terus maju jika mereka rasa ada sokongan majoriti, tetapi jika majoriti itu masih tidak dapat memenuhi syarat kita biarkan presiden untuk memilih kerana itu kuasa beliau,” katanya.

Sebelum ini, 15 ketua cabang PKR di Sabah sebulat suara menolak kepimpinan Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah menerusi SD yang ditandatangani mereka. Bagaimanapun, Sangkar ketika ditemui pemberita menolak wujudnya pergolakan dalaman PKR Sabah sebaliknya menganggap ia hanya krisis keluarga yang boleh diselesaikan secara bersama.

Beliau setakat ini masih kekal memegang jawatan sebagai Pengerusi MPN Sabah yang sah mengikut perlembagaan parti.

Nik Nazmi kata Presiden akan selesaikan isu dalaman Sabah

Krisis dalaman kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah berada dalam perhatian pimpinan parti berkenaan termasuk Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika ditemui memaklumkan, keadaan di Sabah masih terkawal namun sebarang keputusan pihak pimpinan akan dimaklumkan kemudian.

“Presiden dalam tempoh membuat rombakan pimpinan negeri dan kita telah selesai di enam negeri seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor. Selanjutnya (rombakan pimpinan) di negeri-negeri akan dimaklumkan,” katanya ketika ditemui pemberita

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum memutuskan kedudukan Pengerusi Majlis Pimpinan Sabah (MPN), Datuk Sangkar Rakam berkaitan kemelut kepemimpinan yang dihadapi PKR Sabah.

Presiden PKR itu, bagaimanapun berkata beliau akan membuat keputusan dalam masa terdekat selepas berunding dengan semua Ketua Cabang PKR di negeri ini.

Katanya, Ketua Cabang juga sudah memberi pandangan mengenai soal kepemimpinan tetapi keputusan mengenai kedudukan Pengerusi MPN hanya dibuat selepas konsultasi di peringkat pusat.

“Mengenai pimpinan, mereka telah beri pandangan pelbagai tentang kedudukan dan saya akan beri keputusan dalam masa singkat setelah berunding dengan Ketua-Ketua Cabang,” katanya ditemui pemberita selepas mempengerusikan Perjumpaan Khas MPN Sabah

Perjumpaan yang bermula pada jam 8.30 pagi itu dihadiri semua Ketua Cabang di Sabah, termasuk Pengerusi MPN Sabah, Datuk Sangkar Rasam dan Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang juga Ketua Cabang PKR Kota Belud.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

PKR Sabah berdepan kemelut kepemimpinan apabila 15 Ketua Cabang diketuai Ketua Cabang Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah pada awal bulan lalu mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sangkar sebagai Pengerusi MPN Sabah dan meminta beliau mengundurkan diri.

Anwar berkata, beliau akan mempertimbangkan nama yang dicadangkan untuk jawatan Pengerusi MPN itu, namun enggan mendedahkan jika ada nama yang digugurkan.

“Mereka bagi pandangan dan saya akan pertimbangkan dan kita akan rujuk kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Ada banyak, berbelas nama (dicadangkan),” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau terkesan apabila perjumpaan berkenaan turut mengemukakan dua hala tuju penting untuk Sabah.

Katanya, yang pertama MPN Sabah menggariskan keperluan untuk memesatkan program menangani masalah kemiskinan Sabah dengan menoktahkan kemiskinan sebagai keutamaan.

“Kedua adalah bagi memastikan supaya kerjasama persekutuan dengan negeri dalam pengurusan pendaftaran rakyat yang belum mendapat pendaftaran kewarganegaraan, tetapi tentunya ia mengikut syarat yang ditentukan negara.

“Jadi, saya terharu kerana fokus itu, masalah kemiskinan dan masalah orang yang tidak mempunyai kartu (dokumen) yang sah,” katanya.

Beliau berkata, perjumpaan itu turut membincangkan mengenai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk meningkatkan kekuatan akar umbi dan peringkat ranting PKR.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *