Baru-baru ni viral video polis memukul beberapa orang yang ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Disebabkan benda ni, polis katanya akan ambil tindakan sewajarnya terhadap seorang pegawainya yang dilihat secara agresif menyebat enam remaja lelaki kerana ingkar PKP dalam satu kejadian di Kunak.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass kata, jika dilihat dari sudut penguatkuasaan, tindakan pegawai itu memang tak wajar, namun dari segi moral, itu adalah umpama seorang yang lebih tua memberi pengajaran kepada orang muda yang ingkar arahan.
Walaupun ada netizen yang puji tindakan polis tu, dia tetap akan dikenakan tindakan
Sebenarnya, sebelum kejadian tu pegawai terbabit dah tegur kumpulan remaja tu sebanyak dua kali tapi budak-budak ni cuma ketawa dengan teguran pegawai tu sambil hisap rokok. Budak-budak ni memang nak mendapatlah agaknya, orang dah tegur baik-baik tapi diorang buat tak tahu.
Kejadian tu berlaku di Kampung Pangi Tengah, Kunak, Sabah – ketika pasukan polis sedang membantu menyampaikan bantuan kepada penduduk kampung sebelum terserempak dengan kumpulan remaja yang sedang berkumpul.
Pesuruhjaya Polis Sabah kata, selepas selesai agihkan bantuan tu, pihak polis terserempak lagi dengan kumpulan remaja tu yang masih tak dengar teguran menyebabkan pegawai tu bertindak menyebat semua remaja terbabit.
Video tu dapat pelbagai reaksi di media sosial terutamanya netizen yang puji langkah pihak berkuasa yang tegas dalam laksanakan tugas memastikan rakyat mematuhi PKP. Tapi, ada jugak yang mempersoalkan tindakan memukul tu kerana dikatakan boleh datangkan kecederaan kepada mangkuk yang tak dengar arahan tu.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, di peringkat jabatan; tindakan akan diambil ke atas pegawai tu, manakala kumpulan remaja tu sebenarnya bernasib baik kerana diorang tak ditangkap sebaliknya polis hanya beri pengajaran moral kepada mereka.
Menurut Menteri Dalam Negeri, ketegasan pihak polis untuk lindungi masyarakat dari COVID-19
Ketegasan anggota polis ketika laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk lindungi masyarakat daripada terdedah kepada jangkitan COVID-19, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dia kata, setiap anggota polis akan gunakan budi bicara dalam laksanakan PKP dan diorang yang didapati langgar perintah tu diberikan nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan tegas diambil terhadap yang masih berdegil dan ingkar.
https://www.youtube.com/watch?v=-tfpwzF1vQk
Hamzah kata, sokongan supaya anggota polis bertindak tegas terhadap mereka yang ingkar PKP amat dihargai terutama dalam kes melibatkan seorang pegawai polis di Kunak, Sabah yang didakwa merotan lima remaja lelaki kerana didapati ingkar PKP.
“Pegawai itu sudah bersama PDRM (Polis Diraja Malaysia) selama 15 tahun dan saya tengok dia anggota yang baik, tegas. Tetapi apabila berlaku perkara seperti ini sudah tentu ikut SOP (Prosedur Operasi Standard) kita akan buat siasatan dalaman,” – Hamzah, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Bagi pesalah PKP, Jabatan Penjara mintak Mahkamah tak hantar diorang ke penjara
Jabatan Penjara mintak Mahkamah supaya berhenti jatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang langgar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Langkah tu, katanya akan sebabkan kesesakan di penjara dan “mustahil” untuk laksanakan langkah jaga jarak antara satu sama lain.
Perkara tu dimaklumkan dalam surat oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara Zulkifli Omar yang ditujukan kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh. Ketika dihubungi oleh MalaysiaKini, Jabatan Penjara sahkan bahawa surat tersebut sahih tapi sedang siasat sumber kebocoran dokumen itu.
Jabatan Penjara juga berpendapat bahawa adalah satu masalah besar jika berlaku penularan Wabak Covid 19 di penjara kerana selain penjarakkan sosial (social distancing) yang mustahil dapat dilakukan penjara juga bakal menjadi tempat penularan wabak Covid 19 yang tidak terkawal dan boleh mengancam nyawa banduan mahu pun kakitangan,” – Dipetik dari MalaysiaKini
Zulkifli cadangkan supaya pesalah pesalah pelanggaran PKP ni dikenakan Perintah Kerja Sosial di bawah Akta Kehadiran Wajib 1954 yang mana mereka dikenakan hukuman menjalani perintah khidmat masyarakat tanpa perlu menjalani hukuman pemenjaraan.
Perlu ada satu mekanisme menghukum pesalah PKP, tapi kena ambil kira pandangan Jabatan Penjara
Kita faham je apa tujuan polis yang minta kita duduk di rumah, diorang nak kita terhindar daripada risiko terkena jangkitan COVID-19. Memandangkan ia adalah pengalaman pertama kebanyakan kita (termasuklah polis) menghadapi situasi PKP ni, benda-benda pergeseran di antara polis dan orang awam memang akan berlaku.
Jika ia berlaku, sebaiknya ia diselesaikan dengan cara baik. Benda boleh bincang, buat apa nak gaduh, kita tengah hadap krisis kot. Apabila seseorang tu didapati bersalah melanggar PKP, kami rasa baik kita teliti pandangan dari Jabatan Penjara yang mintak supaya diorang ni buat kerja kebajikan sosial je, bukan dimasukkan ke penjara – kerana risiko akan membawa virus COVID-19 ke sana.