Isu ‘ribbon’ pakaian seragam Latheefa, ini penjelasan tentang situasi sebenar

Baru-baru ni media sosial kecoh apabila tengok Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gunakan Baju Seragam SPRM tapi ada banyak ‘ribbon’ kat pakaian dia. Ramai yang mempersoalkan benda ni, sebab dia baru je berkhidmat, baru nak dekat sebulan. Kalau sekali imbas, memang akan menggerunkan sebab ribbon penghargaan atau perkhidmatan ni selalunya akan jadi refleksi kepada jasa-jasa yang dah ditaburkan.

Walaupun benda ni nampak macam hal kecil, tapi sebenarnya ia melibatkan banyak hal – etika, perasaan orang yang dah lama berkhidmat dan imej SPRM. Kalau siapa-siapa je boleh pakai apa-apa ribbon, tak adil lah untuk mereka yang betul-betul dah berjaya pada negara…

Ini yang kami maksudkan. Via Sinar Harian

Benda ni telah digunakan oleh UMNO, mereka nak ribbon penghargaan tu diperincikan

Politik kat Malaysia ni simple je, dan pattern dia lebih kurang dengan negara-negara lain. Apabila kerajaan buat salah, pembangkang akan tegur atau jadikan isu. Tapi dalam demokrasi memang patut jadi macam tu pun, bukan lompat parti kalau kalah PRU. Atau mungkinkah mereka lompat parti politik sebab takut berhadapan dengan siasatan SPRM. Agak-agaknya, SPRM di bawah KP yang baru ni akan siasat tak geng-geng katak si katak lompat ni?

Umno meminta SPRM memperincikan bintang kebesaran Latheefa Koya yang mula dipertikaikan pengguna maya. Kata Annuar Musa dalam twitternya – mungkin atas prinsip integriti, accountability dan transparency badan yang penting ini, SPRM boleh perincikan bintang kebesaran KP SPRM yang beliau pakai pada pakaian rasmi SPRM.

Kalau korang jumpa Annuar Musa, tolong beritahu dia ejaan ‘rasmi’ adalah rasmi, bukan resmi. Maksud resmi adalah sifat semula jadi bagi sesuatu, contohnya resmi padi yang selalu tunduk ke bumi. Persoalan yang paling penting dalam isu ni adalah berkaitan jumlah pingat dipakai Latheefa serta berkaitan bar perkhidmatan yang yang hampir penuh.

Ada pengguna sosial media yang bangkitkan isu ni dengan lebih terperinci

Kata seorang pengguna FB dengan nama Ahmad Arif, kalau pegawai tentera atau polis – apa yang tersemat kat dada tu merupakan ‘ribbons’ atau pingat yang diterima di dalam perkhidmatan. Ia bukan hiasan uniform semata-mata, tapi pengiktirafan terhadap khidmat cemerlang, terpuji, berani atau setia.

Itulah sebab pingat terkanan dalam senarai bintang Persekutuan bukanlah SMN atau SSM yang membawa gelaran Tun, tetapi Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang hanya dianugerahkan atas dasar keberanian luar biasa dalam menjalankan tugas demi negara, dan semua penerimanya layak kita gelar ‘hero’.

Pengguna media sosial ni siap menyemak sendiri kat laman web istiadat.gov.my dan nama KP SPRM ni tiada tersenarai menerima apa-apa pingat atau darjah kebesaran negeri (yang bergelar) mahupun Persekutuan. Kalau dihitung secara kasar, ada lima barisan pingat di uniformnya. Ketua Polis Negara terkini pun hanya ada tiga baris sahaja.

Tapi dia juga menambah supaya orang tak tersalah faham dengan tulisannya. Dia tahu KP baru SPRM merupakan orang yang tidak berpengalaman dalam pemakaian uniform. Tulisan tu dia tujukan kepada pegawai yang menyediakan uniform. Boleh saja ini merupakan kes terlepas pandang dalam keghairahan melaksanakan arahan untuk menyediakan uniform tu.

Macam mamat ni terlebih teruja sampai patah benda tu. Via Giphy

Semalam Latheefa dah respon, katanya dia cuma minat nak fokus pasal rasuah

Bila dia cakap pasal rasuah, soalan yang kami paling tertanya-tanya; adakah dia berani untuk siasat Taib Mahmud atau geng-geng Azmin Ali yang dikaitkan dengan dirinya. Tapi nampaknya baru-baru ni SPRM dah keluarkan kenyataan bahawa Azmin Ali takde isu rasuah.

Okay berbalik kepada isu ribbon tadi, Latheefa Koya semalam tampil jawab kritikan berhubung butiran pada pakaian seragamnya. Dalam kenyataan medianya, Latheefa berterima kasih kepada pihak yang menunjukkan “minat tinggi” terhadap pakaian seragamnya dan mengaku bahawa dia baru sahaja mempelajari berkenaan lencana pangkat, bar ribbon dan pemakaian seragam.

Kata Latheefa, ini demikian kerana keutamaannya sejak mengambil alih tugas adalah dalam menangani kes rasuah.

“Prioriti segera saya sejak mengambil alih tugas adalah melibatkan beberapa kes rasuah yang serius dan bukanlah butiran pemakaian seragam saya,” katanya.

Latheefa. Via The Star

Kata Latheefa, bar ribbon yang dikepilkan pada pakaian seragamnya adalah berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM Bab A (Dasar), Bil 1 Tahun 2012, yang telah mengarahkan bahawa seseorang Ketua Pesuruhjaya berdasarkan jawatannya dikehendaki memakai bar ribbon.

Benda ni tak salah, tapi nampaknya KP SPRM patut rasa janggal pakai banyak ribbon

Sekurang-kurangnya sekarang kita semua boleh setuju yang ‘ribbon’ polis dan tentera (dan mungkin bomba dan penjara) semuanya dipakai atas dasar penghargaan sumbangan atau kesetiaan, manakala untuk KP SPRM ianya atas dasar menjawat jawatan tersebut semata-mata, dan tiada nilai tambah melainkan penyeri pakaian seragam.

Sekiranya KP SPRM berbangga dengan peruntukan arahan tetap tersebut, dan tidak merasakan ada perkara yang janggal untuk mempunyai lebih ‘ribbon’ daripada Kanang anak Langkau tanpa perlu berbuat apa-apa, tiada ada yang kita sebagai rakyat marhaen boleh lakukan. Semoga juga dia benar-benar akan bekerja untuk menyeret mereka yang terlibat dengan rasuah tanpa mengira bulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *