Isu undang-undang 3R, Pas kata kerajaan sombong

f1

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi teguran kepada semua pihak agak tidak menyentuh isu 3R, susulan tindakan segelintir pihak yang dipercayai menyinggung sensitiviti penganut agama lain.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah memberitahu bahawa Anwar menegaskan tindakan atau pertuturan yang menyentuh isu 3R hanya akan menggugat keharmonian negara.

Jelas Perdana Menteri, perkara yang menyentuh sensitiviti agama, kaum, dan Raja tidak seharusnya berulang.

“Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak agar mengelakkan polemik 3R dalam sebarang bentuk kenyataan atau tindakan serta mengutamakan sikap hormat-menghormati dan kasih-sayang dalam hidup bermasyarakat,” kata Tunku Nashrul dalam Taklimat Harian oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO)

Tunku Nashrul menambah, Perdana Menteri juga menekankan kepentingan seluruh rakyat untuk mendakap kemas prinsip rukun negara selaku asas perpaduan yang harus dihayati dan diamalkan.

Menurut Perdana Menteri, semua rakyat perlu bersama mempertahankan keharmonian dan menolak usaha serta tindakan yang boleh memecah belah perpaduan nasional.

Ahli akademik sarankan undang-undang baharu untuk membendung isu 3R

Kerajaan disaran menggubal undang-undang baharu yang lebih khusus bagi menangani kesalahan berkaitan 3R, iaitu kaum, agama dan institusi diraja, bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani dengan lebih komprehensif.

teo kok seong 768x551
Datuk Dr Teo Kok Seong

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, negara masih bergantung kepada undang-undang sedia ada yang telah lama dikuatkuasakan, namun tiada peruntukan khusus berkaitan kes 3R.

“Saya kira kita perlu perundangan baharu kerana isu 3R ini sesuatu yang baru diperkenalkan sebagai kesalahan khusus oleh kerajaan namun, kita masih menggunakan undang-undang sedia ada untuk menanganinya, sedangkan ia mungkin tidak mencukupi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Kok Seong, antara akta yang digunakan ketika ini termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.

Katanya, terdapat kes di mana perbuatan menimbulkan ketegangan agama dilakukan oleh rakyat Malaysia yang berada di luar negara, malah ada kemungkinan ia turut dilakukan oleh warga asing. Beliau berkata, situasi ini menimbulkan persoalan sama ada undang-undang sedia ada mampu menjangkau tindakan yang berlaku di luar negara.

“Undang-undang sedia ada mungkin boleh digunakan, tetapi ia agak rumit. Jika kerajaan menggubal undang-undang baharu yang lebih khusus dan mengambil kira setiap perinciannya, saya yakin ia akan lebih cekap serta berkesan dalam menangani isu ini. Masyarakat perlu sedar isu penghinaan terhadap agama semakin meruncing dan boleh mencetuskan konflik jika tidak ditangani dengan baik,” ujarnya.

Saifuddin tegaskan bahawa pemimpin pembangkang akan paling ramai dihukum

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa sekiranya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang mencetuskan ketegangan dalam masyarakat, pemimpin pembangkang akan menjadi kumpulan yang paling ramai terlibat.

Beliau mengingatkan agar pemimpin politik tidak lagi menjadikan isu berkaitan agama, kaum, dan institusi diraja (3R) sebagai modal politik kerana ia boleh menimbulkan ketidakstabilan dalam negara.

yf6qpqsb
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

“Saya boleh sahkan bahawa jika tindakan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada, ramai dalam kalangan rakan-rakan Yang Berhormat Takiyuddin (Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan) terkesan. Jika saya atau pihak polis ingin menguatkuasakan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi, atau undang-undang lain, mereka akan menjadi antara yang paling ramai dikenakan tindakan,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Menteri Dalam Negeri di Masjid Ar-Raudhah

Saifuddin berkata, politik seharusnya berlandaskan dasar dan penyelesaian kepada isu rakyat, bukan menggunakan sentimen perkauman atau keagamaan bagi meraih sokongan.

Sebelum ini, Pas melalui Takiyuddin menegaskan bahawa kerajaan perlu bertindak secara adil dan telus dalam menangani isu keharmonian masyarakat. Beliau berkata, sekiranya kerajaan hanya sekadar menafikan tanggungjawab dan menyalahkan pihak lain, ia akan memburukkan lagi persepsi rakyat serta memberi ruang kepada pihak tertentu untuk menimbulkan ketegangan.

Tuan Ibrahim Tuan Man kata kerajaan pada hari ini angkuh

Maklum balas Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menunjukkan sikap angkuh kepimpinan kerajaan hari ini.

Keadaan pemimpin PAS

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia juga mencerminkan Kerajaan Madani berkuasa menentukan sama ada seseorang individu itu layak disiasat dan dihukum atau tidak. Menurutnya, tindakan mengugut dengan berkata ramai pemimpin pembangkang yang akan dikenakan tindakan jika undang-undang agama, kaum, dan institusi diraja (3R) dikuatkuasakan menampakkan bahawa undang-undang ini hanya terpakai kepada mereka selain anggota parti kerajaan.

“Hakikatnya, banyak kenyataan dan tindakan bersifat provokatif yang dilakukan bukan hanya dari rakyat bawahan, tetapi ia juga datang daripada anggota parti kerajaan berjawatan. Mereka sendiri dilihat mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa dan tugas pihak-pihak berkuasa Islam mahupun kepentingan sah umat Islam.” Tak perlu untuk saya nyatakan di sini kerana terlalu banyak tindakan yang mengguris perasaan rakyat dibuat,” katanya dalam satu kenyataan

“Pas sebagai parti gerakan Islam sentiasa menjunjung tinggi keadilan sebagai asas kepada tindakan. Kita mahu semua pihak tanpa mengira latar belakang agama, kaum atau pegangan politik menghormati kebebasan beragama berlandaskan perlembagaan negara Malaysia.

“Pas membuktikan apabila negeri yang diperintah oleh Pas tidak mempunyai kejadian pergaduhan antara kaum pada 1969 walaupun terdapat insiden pergaduhan kaum di negeri-negeri lain ketika peristiwa rusuhan antara kaum pada 1969,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengajak semua pihak agar bertenang dan sentiasa menjaga keharmonian hidup bermasyarakat.

“Bersempena dengan bulan Ramadan, bulan di mana al-Quran diturunkan, mari kita semua jadikan kitab suci ini sebagai panduan dalam melaksanakan urusan bernegara serta bermasyarakat,” ulasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *