Ingat tak lagi ketika awal PKP dulu, operasi denda orang tak pakai topeng pelitup muka giat dijalankan? Ramai jugak yang kena denda, malah ada yang merasakan denda sampai beribu-ribu tu tak munasabah bagi sebilangan orang yang tak mampu beli topeng pelitup muka.
Sekarang ni bila topeng pelitup muka pun dah murah dan dijual di mana-mana je, dah takde sebab lagi untuk tak pakai topeng pelitup muka. Arahan kerajaan dipatuhi, manakala yang taknak ikut tu demi kesejahteraan orang lain akan terima kecaman ramai. Macam kes baru-baru ni lah – wanita berkulit putih tular tengah mengamuk kat depan kedai berjenama di KLCC. Ramai kecam teruk wanita tersebut, dan lebih teruk, wanita yang sama dirakam sekali lagi menengking seorang pegawai keselamatan.
Digelar ‘Karen Dior’ oleh warganet, ada jugak yang backup kawan dia dan salahkan premis yang halang dia masuk
Minggu lalu, tular satu klip video yang memaparkan sorang wanita berkulit putih tengah mengamuk tak puas hati kat beberapa orang pekerja sebuah premis berjenama di KLCC. Mengikut kefahaman kami, wanita tu marah-marah sebab dia tak dibenarkan masuk ke dalam premis Dior tanpa topeng pelitup muka. Bukan tu je, dia marah-marah sambil merakam peristiwa tersebut dengan harapan bahawa ia boleh jadi bukti dia tak salah.
Sambil menengking, “this is a free country” (ini adalah negara bebas) dengan merujuk Malaysia, ramai warganet kecam teruk wanita tersebut. Digelar sebagai “Karen Dior”, ramai membidas tengkingan wanita tu sebab Malaysia sekarang masih lagi menguatkuasakan pemakaian topeng pelitup muka jika berada di tempat awam. Untuk pengetahuan korang, ‘Karen’ tu merujuk kepada sorang wanita (biasanya berkulit putih) yang seringkali rasa dirinya berhak nak buat onar kat orang lain di tempat awam. Tu slanga Internet, dan kali ni, terpakai buat wanita tu.
Karen Dior tu jugak dipetik mendakwa Malaysia ni negara komunis sebab menguatkuasakan penggunaan topeng pelitup muka. “You can’t stop me, it’s a free country and you don’t own the shop!” (Kamu tak dapat halang saya, ini negara bebas dan kedai ni bukan kamu punya”)
Dalam satu lagi rakaman video berasingan, wanita yang sama jugak dipercayai menengking sorang pegawai keselamatan – juga tanpa memakai topeng pelitup muka. Kali ni, tak tau sebab yang jelas kerana rakaman tu tak memuatkan suara Karen Dior yang dimaksudkan. Namun ketika warganet bersetuju tindakan Karen Dior ni tak betul dan harus dihukum seadilnya sebagaimana rakyat lain, ada jugak usahawan yang backup kawan dia.
Focus Malaysia melaporkan, usahawan wanita terkenal Shaz Abdul Aziz mempertahankan tindakan Karen Dior. Dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya, dia kata:
“Hormat pelanggan kamu. Lagipun, Dior bukan KK Mart. Apa bezanya tak pakai antara topeng pelitup muka di restoran dengan sebuah kedai? Malaysia tolong buat undang-undang dengan adil dan sebaiknya”- seperti yang dipetik Focus Malaysia
Walau bagaimanapun, ada jugak warganet yang sempat berhubung dengan Shaz Abdul Aziz ni dan menjelaskan bahawa Shaz ni tak bermaksud nak pertahankan tindakan Karen Dior. Sebaliknya, para pekerja Dior yang patut tangani isu tersebut dengan cara yang lebih baik. Ni berikutan dakwaan Karen yang mendakwa, salah sorang pekerja Dior tu menyentuhnya dan menolak badannya keluar dari premis diorang.
Identiti Karen Dior berjaya dikenal pasti, didenda RM 3,000 atas dua dakwaan kesalahan
Susulan tularnya rakaman video tu, ramai minta Khairy Jamaluddin cari dan ambil tindakan ke atas Karen Dior ni. Khairy Jamaluddin, selaku Menteri Kesihatan turut bersetuju dengan pendapat ramai bahawa Karen Dior harus diambil tindakan dan dah arahkan siasatan ke atas Karen Dior ni. Sementara pihak polis menyiasat isu ni, warganet kita pun buat siasatan diorang sendiri.
Di Twitter, ramai dah tau siapa sebenarnya Karen Dior ni. Diorang cuma sebut nama depan dia je, iaitu Kerry. Manakala ada jugak yang mengaitkan Kerry dengan usahawan Shaz tu, yang sebenarnya merupakan anggota kerabat diraja Pahang. Ada jugak mendakwa bahawa diorang ni memang dah kenal antara satu sama lain dan dikatakan bahawa Kerry ni pengarah sebuah syarikat pembalakan yang berpusat di Selangor.
https://twitter.com/i/status/1454103103691575297
Identiti penuhnya tak disebutkan dalam Twitter, namun yang pasti, pihak polis dah berjaya temui Karen atau Kerry ni. Berdasarkan laporan FMT, ketua polis Dang Wangi Noor Delhan Yahaya mengesahkan Karen Dior dah dikompaun atas dua kesalahan. Kesalahan pertama, tak daftar masuk guna Mysejahtera. Kesalahan kedua, tak pakai topeng pelitup muka di dalam premis perniagaan.
“Pada pagi 31 Okt, tindakan kompaun di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021 dikeluarkan kepada wanita tersebut berjumlah RM3,000 bagi dua kesalahan yang mana setiap satu kesalahan berjumlah RM1,500,”- seperti yang dilaporkan FMT
Kami harap isu ni akan menjadi iktibar kepada semua, termasuklah golongan kayangan dan mana-mana individu bukan berwarganegara Malaysia agar terus mengikuti peraturan-peraturan yang dikenakan dalam negara. Bak kata peribahasa, “di mana bumi berpijak, di situ langit dijunjung.” Tak harus jadi alasan ‘negara bebas’ atau apa-apa lagi slogan yang lahir dari luar negara, selagi tak menepati peraturan dalam Malaysia ni.