Kes kematian Zulfarhan, saksi pernah tulis surat layang tapi kantoi melalui WhatsApp

Lala
Kes kematian Zulfarhan, saksi pernah tulis surat layang tapi kantoi melalui WhatsApp

Kes kematian Zulfarhan boleh dikatakan merupakan salah satu kematian yang mendapat perhatian hampir seluruh rakyat Malaysia. Manakan tidaknya, kes kematian ni begitu mengerikan. Lebih-lebih lagi, kematiannya disebabkan oleh rakan-rakannya yang kini diarahkan untuk membela diri. Cuba bayangkan kalau keluarga korang yang korang fikir tengah belajar kat universiti rupa-rupanya sedang dibuli oleh rakan-rakannya yang lain, mesti korang akan sakit hatikan? Apa-apa pun, semalam…

18 penuntut UPNM diminta untuk membela diri, seorang dibebaskan

Mahkamah Tinggi semalam perintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) untuk membela diri bagi kes membabitkan kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, dua tahun lalu. Hakim Datuk Azman Abdullah buat keputusan tu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Selepas meneliti dan menilai secara maksimum keterangan saksi sepanjang kes pendakwaan, mahkamah memerintahkan 18 tertuduh terbabit membela diri,” – Datuk Azman, seperti yang dilaporkan Astro Awani

Seorang lagi tertuduh, Muhammad Akmal Akif Alias dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan Zulfarhan. Terdahulu, Azman memerintahkan tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya bagi mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba pada kejadian 21 Mei 2017.

Via Metro

Enam tertuduh, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi hingga jam 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Siswa UPNM. Via The Malaysian Insight

Ada 12 penuntut lain yang semuanya berumur 23 tahun yang turut diperintahkan untuk membela diri. Diorang didakwa mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun – sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim, manakala antara peguam yang mewakili semua tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dillon, AG Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus dan Datuk Hazman Ahmad.

Siswa UPNM pernah hantar surat layang untuk selamatkan Zulfarhan, tapi kantoi

Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi, penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Awam UPNM kata dia ada menulis surat tersebut setelah melihat pegawai kadet laut tu terbaring dengan seluruh badannya menggelembung dipenuhi tompok kehitaman dan darah pada kulitnya di bilik 4-10 asrama penginapan UPNM pada 6 petang, 22 Mei 2017.

Via Giphy

Katanya pada hari tersebut, dia telah pergi ke bilik itu untuk menemui Muhammad Izzul Akhtar, seorang daripada ahli bilik tu berkaitan tugasan kuliah bagaimanapun Muhammad Izzul Akhtar takde kat bilik tu.

“Saya cari Izzul, dia tiada, ketika saya hendak keluar, saya ternampak Osman (Zulfarhan Osman) di atas katil, di hujung bilik, ditutup dengan kain pelikat pada bahagian pusat ke lutut,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Othman Abdullahm, seperti yang dilaporkan AWANI

Saksi pendakwaan ke-23 itu kata dia kemudian terus balik ke biliknya di asrama 4-06 dan berbincang dengan seorang rakan sebiliknya yang dikenali sebagai Akmal Akif untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Pada mulanya kami ingin buat laporan secara berdepan dengan jurulatih tetapi takut identiti kami akan dibocorkan, jadi kami memikirkan untuk buat surat layang,” katanya memberitahu Akmal Akif mencadangkan untuk menulis surat layang itu manakala dia telah menulisnya di atas kertas A4,” – Seperti yang dilaporkan AWANI

Katanya surat layang pertama tu diselitkan kat pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera pada 23 Mei 2017 dan surat layang kedua diletakkan di bawah pintu bilik seorang jurulatih pada keesokan harinya.

Muhammad Aiman Aufa kata surat layang pertama yang ditulis;

“Kalau ada hati perasaan, ada sifat perikemanusiaan, saya minta sangat-sangat pergi ambush bilik 4-10, Blok Satria (depan masjid). Dalam tu ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!!’ – Hamba Allah, seperti yang dilaporkan AWANI

Via The Vocket

Tapi surat tu diketahui oleh semua ahli bilik 4-10 selepas jurulatih memasukkan surat tu ke dalam mesej melalui aplikasi WhatsApp. Saksi tu berkata penyebaran surat tu telah menyebabkan usahanya untuk memberitahu pihak atasan bahawa Zulfarhan Osman didera gagal apabila seorang daripada penghuni bilik 4-10, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal yang merupakan tertuduh pertama  terlebih dahulu memindahkan Zulfarhan Osman ke bilik 4-06 dengan alasan menumpangkan mangsa kat bilik berkenaan untuk sementara waktu.

Semoga keadilan akan tertegak, dan jadi pengajaran untuk semua orang…

Dengan keputusan mahkamah semalam yang minta kesemua tertuduh untuk membela diri, nampaknya ia perkembangan yang positif untuk keluarga arwah Zulfarhan. Lepas ni bakal berlangsung perbicaraan, dan kami percaya perbicaraan tu akan dapat perhatian ramai orang. Moga-moga keadilan akan tertegak untuk arwah, dan kami harap jugak benda ni akan jadi pelajaran kepada kaki buli kat sana supaya berhenti membuli!

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top