Cesar Pelli meninggal dunia, ini cabaran dalam menghasilkan menara berkembar petronas KLCC

Cesar Pelli 200719 2
Cesar Pelli meninggal dunia, ini cabaran dalam menghasilkan menara berkembar petronas KLCC

Minggu lepas tular tentang kematian seorang arkitek terkenal dunia yang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 92 tahun. Dia merupakan pereka bangunan ikonik negara, Menara Berkembar Petronas KLCC. Namanya Cesar Pelli, kalau korang semua nak tahu, banyak cabaran dan dugaan yang telah Cesar Pelli alami sepanjang ingin mewujudkan Menara Berkembar Petronas KLCC ni tau. Biar kami ceritakan.

Via: TN.com

Menara Berkembar Petronas KLCC, hasil buah fikiran Tun M

Menara Berkembar Petronas KLCC yang mempunyai ketinggian sehingga 450 meter dan mencapai 88 tingkat dahulunya pernah jadi bangunan tertinggi di dunia dan kini masih lagi memegang rekod menara berkembar tertinggi di dunia. Menara ni adalah hasil buah fikiran Tun M semasa dia menjadi Perdana Menteri yang keempat, pada ketika itu tiada satu pun negara yang mampu untuk menandingi dan mencabar Amerika Syarikat dari segi menara pencakar langit. Masa tu, Tun M telah bercita-cita untuk meletakkan negara Malaysia di persada dunia berikutan Malaysia masih kurang dikenali di antara 5 negara yang ada di Asia Tenggara. Namun, untuk merealisasikan cita-cita ini bukanlah suatu benda yang mudah.

via: rojaklah.com

Pada tahun 1991, tapak padang lumba kuda Kuala Lumpur telah diambil tanahnya dan mahu digantikan dengan sebuah bangunan pencakar langit sekaligus menukar wajah Kuala Lumpur di mata dunia. Namun, Tun M telah meletakkan syarat yang mana bangunan tersebut mestilah tinggi dan perlu mencirikan Malaysia. Ia bukanlah suatu tugas yang mudah kerana bidang arkitek tradisional Malaysia amat kurang kemampuan pada masa tu.

Via: AIA

Jadi, Cesar Pelli yang merupakan arkitek terkenal dunia dan berpengalaman hampir setengah abad dalam mereka bentuk bangunan pencakar langit telah dipilih untuk mereka bentuk projek ni. Namun, dia sudah tahu apabila menyebut nama Malaysia apa yang mereka maksudkan adalah Islam sebagai agama rasmi dan seni islamik adalah sesuatu yang wajib dia tonjolkan. Disebabkan peraturan Islam melarang penggunaan gambar manusia, Cesar Pelli telah menggunakan rekaan geometri seperti bulatan, tumbuhan dan huruf abjad jawi.

“Saya menelaah setiap buku seni islam, setiap keluaran. Kami ada timbunan buku di sini,” kata Cesar.

Rekaan pereka terkenal dunia Cesar Pelli ditolak berkali-kali…

Tapi, bagaimana hendak tukarkan semuanya menjadi sebuah bangunan pencakar langit? Cesar telah mendapat revolusi idea untuk mereka bentuk dua menara dan menyambungkannya dengan sebuah jambatan di separuh bangunan untuk menjadi simbolik kepada Malaysia baru iaitu sesuatu yang tidak pernah dicuba sebelum ini. Lalu, Cesar pun terbang ke Malaysia untuk menunjukkan ideanya kepada Tun M. Mereka suka akan konsep yang cuba diketengahkan oleh Cesar tetapi tun M tidak rasa ianya cukup untuk melambangkan negara Malaysia.

Via: Arkitek

Berkali-kali Cesar mengubahsuai reka bentuknya dan setiap kali itu juga ianya akan ditolak. Projek itu seolah-olah telah gagal sebelum ianya sempat dilakarkan. Kemudiannya, Tun M sendiri yang mereka bentuk menara yang dia inginkan. Tun M telah membuat satu lakaran agar ianya memberi input berunsurkan Islam yang mana ideanya adalah pelan lantai berdasarkan dua segi empat yang memanca (interlocking). Dalam simbol Islam, ianya melambangkan tertib dan harmoni.

Akhirnya, Tun M gembira namun tidak bagi Cesar kerana dia merasakan rekaan itu tidak dapat membekalkan ruang lantai yang diperlukan dan bagaimana dia boleh melaksanakan rancangannya agar Tun M puas hati? Selepas lapan bulan yang sangat sukar, Cesar Pelli akhirnya berjaya menghasilkan satu pelan yang memuaskan hati semua orang. Dia menghias pelan lantai tersebut dengan separuh bulatan pada penjuru yang mana sekaligus menambahkan ruang tanpa memusnahkan simbolisma.

Via: iluminasi

Disebabkan belanjawan yang ketat pada masa tu, Malaysia hanya benarkan tempoh selama enam tahun pembinaan walaupun ia sebenarnya memerlukan masa sekurang-kurangnya lapan tahun. Untuk memastikan mereka dapat bekerja dengan lebih fokus, para pembina akan dikenakan denda selepas tarikh akhir projek iaitu sebanyak 3.5 juta USD seminggu. Namun, projek ini sedikit luar biasa kerana projek ini diberikan kepada dua syarikat pembinaan yang berlainan.

Tun M percaya persaingan akan memastikan pembinaan berjalan mengikut jadual. Tekanannya amat besar, untuk mengikuti jadual yang telah ditetapkan, pembinaan terpaksa berjalan tanpa diganggu selama 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Satu beban kerja yang sangat memenatkan. Dua lelaki telah dibawa terbang daripada Amerika Syarikat dan akan mengetuai pasukan mereka iaitu Bob Pratt yang mengetuai menara satu dan pesaingnya iaitu Jon Dunsford yang mengetuai menara kedua.

Bangunan dialihkan sebanyak 60 meter agar tidak menjadikan menara condong

Ketika baru bermula, mereka menghadapi masalah besar sebelum baldi konkrit pertama dituang yang mana jurutera mendapati tiada tinjauan yang sepatutnya dilakukan ke atas tapak tersebut. Seluruh tapak itu terpaksa berhenti bekerja. Ahli geologi mula mengorek ratusan lubang gerudi dan mengeluarkan ribuan sampel. Mereka mencuba mencari batuan dasar, sesuatu yang keras untuk menyokong menara besar itu namun keputusan kajian tersebut amatlah teruk sekali.

Terdapat batu kapur keras di sebelah tapak tapi di sebelahnya lagi batu rapuh yang lembut dan jika ia dibina di situ, tanah itu akan menjadi tidak rata. Keberangkalian menara itu akan tenggelam ataupun lebih teruk, runtuh. Pasukan itu mungkin akan berakhir dengan menara condong Malaysia.

Via: sitetitle-wordpress.com

Charlie Thronton yang merupakan jurutera struktur telah mencadangkan sesuatu yang sangat berani iaitu mengalihkan seluruh bangunan sebanyak 60 meter ke atas tanah yang lebih lembut. Ia kelihatan seperti satu idea yang sangat gila namun terdapat pemikiran dan sebab yang jelas di sebaliknya. Mereka merancang untuk memasukkan beberapa cerucuk yang besar sedalam 120 meter ke bawah tanah ke lapisan batu dalam kerak bumi yang mana kemudiannya mereka boleh membina batuan dasar sendiri di atasnya dan bangunan itu akan didirikan di atas permukaan konkrit yang luas.

Pada awal tahun 1993, akhirnya pembinaan bermula. Membina lantai asas merupakan satu tugas yang sangat besar yang mana jika konkrit itu mengering secara tidak rata, seluruh dasar akan retak dan boleh melemahkan kemampuan untuk menyokong bangunan gergasi di atasnya. Jadi, mereka akhirnya terpaksa menuangkan konkrit selama 52 jam tanpa henti. Tiada siapa yang pernah menuang konkrit sebanyak itu dalam satu masa dan ianya merupakan rekod dunia pertama yang dipecahkan oleh Menara Berkembar Petronas.

Mercu kedua-dua bangunan dibuat daripada dua buah negara yang berbeza

Akhir tahun 1995, mereka sudah pun berada di tingkat 70 dan 72 yang mana mereka sudah hampir menyiapkan menara mengikut jadual yang ditetapkan. Namun, masalah menimpa lagi dan kali ini ianya berukuran 25 milimiter di menara satu. Perkara paling teruk telah berlaku di menara satu apabila menara tersebut condong selebar satu ibu jari. Jika menara satu meneruskan pembinaan dengan cara yang sama, ianya akan menjadi bertambah buruk.

Bob Pratt sudah pun mati akal. Ditambah dengan keadaan cuaca yang tidak memihak kepadanya kerana hujan setiap hari pada waktu tengah hari. Namun mereka berhati-hati membetulkan pembinaan dan 16 tingkat seterusnya hanya condong sebanyak 2 milimeter.

Pada Disember 1995, akhirnya pembinaan telah tiba ke saat akhir. Namun, ada lagi satu perkara yang mereka perlu selesaikan sebelum meraih gelaran menara tertinggi iaitu memasangkan mercunya. Mercunya diperbuat daripada 60 meter tiang keluli setinggi 15 tingkat yang mempunyai bola di hujungnya. Kedua-dua mercu dihasilkan daripada luar negara iaitu satu daripada Jepun untuk menara satu dan dari Korea Selatan untuk menara dua.

Mereka berjaya menyiapkan pembinaan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan iaitu selama enam tahun. Ianya merupakan satu pencapaian yang sangat hebat dan membanggakan sekaligus telah menjadikan Menara Berkembar Petronas dan negara Malaysia terkenal di seluruh dunia.

Kita seharusnya bersyukur menjadi seorang rakyat Malaysia

Bukan mudah rupanya untuk menghasilkan Menara Berkembar Petronas ni kan? Kita seharusnya bersyukur menjadi salah seorang daripada rakyat Malaysia kerana terdapat banyak tempat serta budaya yang menarik yang ada dalam negara kita ni.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print