Berpolitik boleh je dalam agama, tapi budaya takfiri dan ghuluw perlu ditolak

Prk Permatang Pauh Penyokong Pas Bergaduh

Pernah tak korang dilabelkan kafir atau munafik kerana menyokong mana-mana parti politik? Bagi ‘orang-orang lama’ yang dah bergelumang dengan politik, benda ni bukanlah sesuatu yang asing. Jangan masuk ke dunia politik kalau korang belum bersedia untuk menerima pelbagai label. Kalau hati tisu, jual ais krim, sebab jarang orang benci orang yang jual ais krim. Cuma, budaya menyamakan parti politik dan agama adalah sesuatu yang keterlaluan, dan sepatutnya dielakkan kerana akan membawa bencana kepada umat Islam…

Ustaz Ahmad Fauwaz nasihatkan rakyat kita supaya menjauhi politik ‘Ghuluw’

Masyarakat di seluruh negara dituntut agar jauhi politik ‘Ghuluw’ atau berlebih-berlebihan sehingga mengakibatkan ‘kerosakan’ kepada negara, kata Ahli Persatuan Ulama Sedunia, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor. Dia kata dalam keghairahan berpolitik, ahli politik kat negara ni dinasihatkan untuk berikan keutamaan kepada gagasan Rahmatan Lil Alamin yang bawa kepada perpaduan, kesejahteraan serta kesatuan dan bukannya merosakkan negara semata-mata untuk mencapai kepentingan peribadi.

Via Dunia Ekspress

“Masyarakat perlu bekerjasama dalam melakukan perkara pokok ini (Gagasan Rahmatan Lil Alamin) tanpa mengganggu perkara berhubung soal parti masing-masing. Gagasan ini bergerak selari dengan perlembagaan dan naratif semasa yang mampu membawa kepada keharmonian negara,” – katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Politik Ghuluw: Barah dalam Masyarakat’, seperti yang dilaporkan oleh Bernama

Ahmad Fauwaz akui bahawa politik Ghuluw ini memang wujud tanpa disedari dan ia perlu dirawat oleh para ulama sebelum berlaku pergeseran yang lebih besar antara parti politik di negara ini. Politik mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam sehingga Imam Al-Ghazali pernah menyebut bahawa pemerintahan, raja dan agama adalah saudara kembar yang saling berhubung kait antara satu sama lain.

Via Telaga Biru

Dia kata – terdapat penyakit yang menimpa parti politik dan pemerintah iaitu penyakit ‘Ghuluw’ yang kadang-kala membawa kepada keruntuhan keamanan masyarakat dan pemerintah sehingga membinasakan negara.

Abang kepada ustaz Ahmad Fauwaz pernah ceritakan tentang ayahnya, dua tahun lepas…

Selepas kematian Datuk Fadzil Noor, presiden PAS yang mengemudi parti tu ketika krisis politik terburuk negara pada lewat 1990-an, anaknya mengenang kembali ayahnya sebagai seorang bersikap terbuka baik kat rumah dan pentas politik.

“Beliau terkenal dengan sikap terbuka dalam pendekatan politiknya dengan menggalakkan pelbagai profesional sertai parti, begitulah beliau sebagai bapa, berikan kami pilihan. Beliau tidak takfiri (mengafirkan) dan boleh berhujah dengan baik,” kata Faiz, merujuk amalan suka melabel umat Islam lain sebagai sesat. Di rumah juga begitu, kami tidak dilarang berhujah atas apa-apa isu termasuk isu politik ketika itu.” – Faiz Fadzil, seperti yang dilaporkan FMT

Via Berita Harian

Fadzil, yang menjawat presiden PAS selama tiga tahun, meninggal dunia pada 23 Jun, 2002, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras. Jenazahnya disambut ratusan ribu orang yang membanjiri perkarangan HUKM, sehingga memaksa solat jenazah dilakukan berulang kali.

Perubahan gaya kepimpinan menyebabkan ramai orang masuk PAS

Fadzil kerap dikaitkan dengan kehadiran PAS di arena perdana politik, selepas parti itu sekian lama dikenali sebagai “parti lebai” yang hanya mempunyai sokongan di kawasan luar bandar. Sejurus selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, Fadzil merupakan antara orang pertama menziarahi bekas Timbalan Perdana Menteri tu di kediamannya di Bukit Damansara.

Keterbukaan Fadzil dalam memimpin PAS menyaksikan keahlian PAS naik mendadak, ditambah pula dengan kemasukan profesional dan bekas ahli Umno yang kecewa layanan terhadap Anwar. Faiz kata ayahnya tak taksub dengan sesuatu pemikiran, dan dapat bezakan antara PAS dan Islam.

Sejak perubahan kepimpinan tu, PAS dilihat lebih tegas dengan langkah memperkenalkan hukum hudud di samping mendekatkan diri dengan Umno atas kepentingan Melayu dan Islam. Faiz berkata perkembangan mutakhir ini berlawanan daripada apa yang diimpikan ayahnya.

Via Utusan

Kata Faiz, ayahnya bijak mengambil peluang politik, dan berbaik dengan semua pihak termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama yang ketika itu menentang pentadbiran Barisan Nasional di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Beliau berbaik dengan mereka bukan atas nama political mileage, tetapi demi membina kekuatan lawan rejim Umno. Beliau bina PAS yang progresif dan apa yang berlaku kepada PAS sekarang adalah satu putaran ke belakang pra-kepimpinan beliau.” – Faiz Fadzil, seperti yang laporkan FMT

Faiz kata legasi ayahnya yang paling besar ialah tahaluf siyasi, yang membolehkan PAS mengadakan kerjasama dengan DAP walaupun kedua-dua parti itu berlawanan ideologi.

Perlu dibezakan agama dan politik, jangan berlebihan dan kafirkan orang

Kami tak kata agama larang untu orang berpolitik, penting untuk kita terlibat secara langsung atau tak langsung dengan perkembangan politik negara. Cuma, bila dah stok berpolitik tu, korang janganlah terlalu berlebihan atau lebih teruk nak kafirkan orang lain. Sederhana je dalam politik, kalau nak bergaduh pastikan korang bergaduh guna hujah lawan hujah, barulah power.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *