Susulan artikel kami yang tersiar pada minggu lalu tentang pembongkaran sebuah akaun media sosial bernama ‘Edisi Siasat’, kami terpanggil nak korek semula kes yang berlaku pada 3 bulan lalu – kes kecurian barang bernilai RM25 juta di tangan SPRM, oleh tangan beberapa pegawai SPRM sendiri. Ni suatu yang mengejutkan dan mengecewakan kami kerana SPRM ni dahulunya diharap untuk menyiasat penyeleweng, bukannya diorang pulak jadi penyeleweng.
KP SPRM, Azam Baki antara orang yang paling kerap didakwa oleh Edisi Siasat sebagai orang yang dah banyak terima rasuah. Disusuli dengan kes 3 bulan lalu, Azam Baki masih lagi aktif ke sana sini walaupun ada pihak gesa agar dia direhatkan atau digantung sementara sehingga kes siasatan kecurian barang RM25 juta tu selesai.
Tiga pegawai kanan disiasat larikan wang RM25 juta milik bekas KP Organisasi Perisikan Luar Malaysia, rupanya suspek edar dadah
Nampaknya dalam kalangan pihak penguatkuasa sendiri, ada jugak kes macam ni. Pada 20 September lalu, SPRM mengesahkan diorang tahan pegawai diorang sendiri bagi berhubung dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urusan kes sorang bekas ketua jabatan suruhanjaya tu.
SPRM dalam kenyataan rasminya berkata, diorang akan siasat secara menyeluruh dan berharap semua pihak tak buat spekulasi kerana dikhuatiri jejaskan siasatan. Namun penahanan ni ada kena mengena dengan sebuah laporan tentang kecurian wang tunai milik sorang individu yang disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.
Wang tunai tu didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya. Walau bagaimanapun, individu disiasat terbabit dikatakan dah dilepaskan tanpa bebas oleh mahkamah dan nak tuntut semula wang tunai yang dirampas. Namun begitu, dia dapati wang miliknya yang ada dalam simpanan SPRM tu adalah wang palsu. Individu tu kemudiannya buat satu laporan polis ke atas kecurian wangnya ketika di tangan SPRM.
Kemudian pada 23 September lepas, barulah kita tau empunya siapa wang berjuta tu. Astro Awani melaporkan, pemilik wang berjuta tu ialah bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikian Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid. Tiga pegawai tadi direman selama enam hari bagi membantu siasatan. Kemudian pada 23 September tu pulak, sorang pegawai kanan disyaki terlibat dalam kes tu. Susulan perkembangan kes ni, Hasanah dan tiga orang pegawai tu akan dipanggil semula untuk lengkapkan siasatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kata PDRM dah buka satu kertas siasatan berhubung laporan polis yang diterima dan dibuka di bawah klasifikasi Kertas Enkuiri Polis (KEP). Kertas enkuiri ni secara amnya adalah siasatan dalaman dan biasanya dilakukan apabila ada kena mengena dengan pegawai penguatkuasa atau menteri. Salah satu kes hangat yang pernah diklasifikasikan KEP adalah kes Wang Kelian dahulu.
Kemudian baru-baru ni, siasatan lanjut mendapati bahawa suspek utama kes ni adalah sorang pegawai SPRM jugak. Pada 20 Oktober lalu, Malaysiakini melaporkan suspek tu kini disiasat atas tuduhan mengedar dadah. Polis mulanya buka kertas siasatan berhubung dakwaan suspek memiliki pil Erimin 5, sebelum menemui petunjuk bahawa pegawai SPRM berkenaan mungkin terlibat dalam aktiviti mengedar bahan terlarang itu.
“KIta tahan di bawah Seksyen 3(1) LLPK untuk buat siasatan. Ada dua saksi yang kita tangkap. Jadi daripada situ kita nampak ada macam unsur-unsur pengedaran dadah berlaku. Dia (suspek) asalnya kita tangkap kerana memiliki pil Erimin 5 dan ujian air kencing positif kerana salah guna dadah, susulan laporan yang dibuat oleh SPRM. Kami mengesyaki dia terlibat dalam mengedar pil Erimin 5 dan juga methamphetamine,”- Razaruddin Husain, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Menurut Razarudin lagi, pihak polis percaya suspek mungkin terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah selama lebih setahun. Sambungnya lagi, apabila kertas siasatan selesai… diorang akan serahkan kepada KDN untuk tindakan lanjut. Selain tu, dia jugak disiasat atas kesalahan berkaitan senjata api dan disyaki memiliki peluru lebih daripada yang sepatutnya serta memiliki senjata api palsu.
Ada pihak minta Azam Baki digantung atau direhatkan sementara, tapi sekarang dah dapat Tan Sri
Susulan kes kecurian RM25 juta tu, Azam Baki jadi sasaran ramai pihak agar digantung atau direhatkan. Ni kerana hal tu berlaku ketika dia jadi KP SPRM. Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata:
“Pendakwaan ini satu perkara yang sangat serius. Sekiranya ia benar-benar berlaku, perbuatan pegawai kanan SPRM terbabit melanggar peraturan kerja sebagai penjawat awam yang diamanahkan menjaga satu jumlah wang yang sangat besar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan beliau perlu direhatkan sepanjang siasatan kes ini dijalankan kerana sebagai ketua wajib tahu apa yang berlaku di bawah pengawasannya. Bukan Azam sahaja mesti direhatkan sementara waktu, malah pegawai atau seluruh anggota SPRM yang terlibat juga perlu dikenakan tindakan sama,”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Lanjutnya lagi, sekiranya KP SPRM tu tak direhatkan daripada jawatan sedia ada, boleh jadi kemungkinan ada maklumat yang tak sampai kepada badan penyiasat. Idea ni turut dikongsi oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Madius Tangau. Bukan setakat orang politik je, Rasuah Busters pun setuju.
“Harapkan pagar, pagar makan padi! Inilah perumpamaan yang tepat buat kes terbaharu melibatkan kecurian barang kes wang tunai AS$6 juta oleh pegawai dalaman SPRM sendiri. Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki harus dipertanggungjawabkan dan digantung tugas sepanjang siasatan berjalan,”- Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, Ketua Pasukan Rasuah Busters, seperti yang dilaporkan Malaysia Dateline
Ini mengingatkan kami pada dakwaan-dakwaan akaun Edisi Siasat. Azam Baki jugak kerapkali disebut sebagai orang yang harus disiasat dan didakwa banyak terlibat dalam rasuah. Sama ada benar atau tak, kami harap siasatan telus akan dijalankan. Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kata kuasa merehatkan mana-mana pihak bukan bidang kuasanya. Tetapi hal tu akan dibawa untuk perhatian Perdana Menteri.
“Maklumat yang ada di tangan SPRM. Jadi, kalau dibuat laporan polis, polis mampu atau tidak menyelidik semula semua maklumat-maklumat yang ada pada SPRM. Maknanya, agensi yang lebih baik dan mempunyai maklumat terperinci adalah SPRM itu sendiri. Dalam keadaan sedemikian tiga orang itu dapat ditangkap dan terus dibawa ke mahkamah untuk direman,”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Sementara gesaan dan dakwaan yang terpalit ke atas Azam Baki, nampaknya tak mengugat kredibiltinya. Pada 13 November lalu, Azam Baki antara penerima Darjah Panglima Setia Mahkota sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tan Sri Azam Baki jugak dilantik jadi Ahli Lembaga Gabenor Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) bagi tahun 2021-2024. Menurut BH Online, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan lantikan tu dibuat dalam mesyuarat tahunan IACA ke-10 yang diadakan di Vienna, Austria. Sebelum ni, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed jugak pernah dilantik Ahli Lembaga Gabenor IACA pada 2012 bagi penggal selama 6 tahun.
Kami harap kes ni ada kesudahannya dan dijadikan suatu pengajaran buat pihak penguatkuasa tentang keupayaan diorang terhadap perlakuan jenayah. Undang-undang tak dimaktubkan untuk melindungi segelintir dan menghukum segelintirnya pula. Kami turut berharap nama Azam Baki ni dapat dibersihkan semula sekiranya benar dia tak buat salah, kerana ni akan menjejaskan kredibiliti SPRM tu sendiri, yang dahulunya diharap membasmi hal-hal berkaitan rasuah dan penyelewengan.