Baru nak gembira Kedah nak jadi Wakanda, tiba-tiba Kedah berperang mulut pulak dengan Pulau Pinang berkenaan isu bekalan air. Sebelum ni, kami dah pernah jelaskan pasal usaha Kedah nak melombong mineral kat Sik, Kedah dan kegusaran Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) jika Kedah nak teruskan jugak usaha tersebut.
Nak dekat 3 minggu dah, baru ‘perang mulut’ nampaknya dah nak reda. Daripada isu lombong mineral, berarah pulak ke isu bekalan air… apa dah jadi antara Kedah dan Pulau Pinang ni?
Kedah dakwa Pulau Pinang belum bayar duit, jangan berani nak campur urusan negeri
Kerisauan agensi bekalan air Pulau Pinang berkenaan usaha Kedah nak melombong tu memang ada logiknya, dan sebenarnya lebih mudah sekiranya kedua-dua pemimpin ni bersemuka baik-baik. Tapi hal ni tak berlaku… Kedah membalas semula ‘kerisauan’ Pulau Pinang tentang bahaya usaha penerokaan mineral tu dengan menyatakan bahawa Pulau Pinang sendiri belum bayar duit untuk kegunaan air dari Sungai Muda.
MB Kedah kata, sejak 2010 perbadanan tak bayar mahupun diberikan jawapan balas lepas berkali-kali hantar surat minta penjelasan. Bagi MB Kedah, perkara ni buatkan Pulau Pinang sendiri tak layak nak campur tangan pun apa Kedah nak buat dengan negerinya sendiri. Setakat ni, Pulau Pinang dikatakan ‘berhutang’ dengan Kedah sebanyak RM50 juta setahun.
“Untuk rekod Pulau Pinang menggunakan 1.1 juta liter padu air sehari berbanding Kedah sebanyak 800,000 liter padu sehari, PBAPP ini sudah jana banyak keuntungan daripada Sungai Muda kerana di sana banyak kawasan industri, sektor pelabuhan dan perkapalan berbanding Kedah,”- Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, seperti yang dilaporkan Harian Metro pada 10 Disember 2020
Ni menimbulkan campur tangan daripada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Dia gesa Pulau Pinang agar bagi sumbangan kepada Kedah untuk membalas semula penarikan niat Kedah nak teroka Sungai Muda. Perkara ni kemudiannya ditolak oleh MB Kedah, menyatakan bahawa sumbangan ni nampak macam Pulau Pinang boleh je bayar sesuka hati mereka. 40 sen, 50 sen pun boleh. Pampasan adalah perkataan sesuai, dan mendesak agar Pulau Pinang agar lunaskan je tuntutan bayar air yang dicedok tu.
Kenyataan ni dijawab semula oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan membalas bahawa Pulau Pinang tak perlu pun nak bayar tuntutan RM50 juta tu sebab negeri tersebut dakwa pakai undang-undang antarabangsa. Walaupun begitu, KM Pulau Pinang setuju tuntut pampasan daripada kerajaan Persekutuan seandainya Kedah wartakan Hutan Simpan Kekal di Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air.
Hak Riparian tegaskan prinsip Pulau Pinang tolak tuntutan bayar, Sanusi nak bagi hadiah cermin kat Ramasamy
Ni dikukuhkan lagi dengan kenyataan Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy berkaitan prinsip Pulau Pinang yang taknak bayar air tu. Konsep hak Riparian diketengahkan olehnya;
“Kerajaan Pulau Pinang konsisten dengan pendirian kami. Kami tidak akan membayar sesen pun kepada Kedah kerana mengambil air mentah dari Sungai Muda. Tiada kemungkinan untuk membuat sebarang sumbangan juga. Tiada rundingan atau perbincangan dengan kerajaan Kedah jika hak air Pulau Pinang tidak dihormati… Tambahan, konsep hak Riparian jelas mengendors hak air Pulau Pinang untuk mengambil air dari bahagiannya di Sungai Muda. Bukannya Pulau Pinang mengambil air dari Kedah. Titik pertengahan sungai menjadi sempadan Kedah dan Pulau Pinang,” – seperti yang dilaporkan Free Malaysia Today pada 24 Disember 2020
Bila cakap pasal sempadan air ni, Ramasamy kata kalau nak diterima pakai jugak hujah “dari mana sungai mula mengalir”, sebaiknya Kedah pun patut bersedia nak bayar ke Thailand jugaklah. Hak Riparian yang disebutkan Ramasamy ni secara umumnya bermaksud kat mana air tu mengalir, maksudnya tu dah jadi hak penghuni sesebuah kawasan tu. Perkara ni bertentangan dengan prinsip yang dihujahkan Kedah, dengan menyebutkan Perjanjian 1985. Sanusi balas;
“Mereka masuk Ulu Muda bawa dron untuk tengok hutan di Ulu Muda, jadi siapa tak hormat siapa? Saya nak hadiah dia satu cermin. Jika dia memberi alasan Kedah ambil air dari sungai yang mengalir dari Thailand, suruh dia buktikan sungai mana sumber dari Thailand, sumber air di Pulau Pinang sudah terbukti dari Ulu Muda, dia pun tahu mengenainya, jadi Pulau Pinang perlu bayar caj air mentah dari Kedah,”- seperti yang dilaporkan Harian Metro pada 24 Disember 2020
Dengan pergaduhan mulut yang terjadi ni, KM Pulau Pinang kata takde pun apa-apa tindakan rasmi yang dibuat oleh kerajaan negeri Kedah dalam sidang media pada 27 Disember lalu. Susulan kenyataan ni, esoknya Kedah terus buat sidang media dan umumkan bahawa kerajaan negeri akan mulakan proses rundingan rasmi berhubung isu tuntutan bayaran caj air mentah kepada Pulau Pinang.
Lebih jauh dari tu, Sanusi jugak mendakwa dia sendiri turun padang untuk cari sendiri kat mana punca air sungai tu disebabkan kenyataan Ramasamy tempoh hari.
“Saya masuk di tengah-tengah Ulu Muda dekat Sungai Kuala Kasai, sebab ada orang ‘pekak’ dakwa Sungai Ulu Muda berpunca dari Thailand, namun saya pi (pergi) tengok sendiri lokasinya, yang sebenarnya Kedah dipisahkan dengan banjaran dengan Thailand. Tak ada sungai dari Thailand ‘ragaih’ (panjat) banjaran bukit tu mai (masuk) Kedah, yang ada tujuh sungai bercantum di Ulu Muda yang akhirnya mengalirkan bekalan air ke Sungai Muda,”- seperti yang dilaporkan Harian Metro pada 28 Disember 2020
Kedah dan Pulau Pinang ada hujah tersendiri, terpulang pada budi bicara di meja rundingan nanti
Drama isu air Kedah-Pulau Pinang setakat ni belum ada kesudahan lagi. Yang pasti, kedua-dua negeri ni mempunyai hujah-hujah tersendiri dan terpaksa memerlukan keduanya untuk duduk di meja rundingan bagi menyelesaikan kemelut ni. Bila kita berbicara pasal bekalan air, semestinya ia menjadi salah satu perkara penting untuk kelangsungan kehidupan dan sosioekonomi sesebuah negeri.
Kedah menuntut Pulau Pinang bayar dengan memetik Perjanjian 1985. Kami tak dapat akses sebarang salinan di laman maya mengenai perjanjian ni, tetapi kami dapat mengenalpasti sebuah kajian yang terbit di Kajian Malaysia pada 2020 tentang perkembangan bekalan air di Kedah. Menurut kajian tersebut, rancangan bekalan air di Kedah dimulakan pada 1968.
Keberjayaan pembangunan air tu menarik minat Perlis dan Pulau Pinang. Pulau Pinang dan Perlis kemudiannya tandatangani Tripartite Agreement pada 21 Jun 1975. Namun begitu, kajian ni hanya menyebutkan bayaran yang perlu dilunaskan oleh Perlis iaitu sebanyak $16,000. Ni tentunya memberi kelebihan kewangan kepada Kedah. Takde penjelasan pulak mengenai Pulau Pinang.
Manakala Pulau Pinang pulak sebut pasal hak Riparian. Sebagaimana yang kami terangkan tadi, hak Riparian yang dituntut Pulau Pinang menyatakan air tu kepunyaan Pulau Pinang dan tak perlu bayar pun kepada Kedah sebab mereka ambil bahagian Sungai Muda yang berada di kawasan sempadan Pulau Pinang je.
Maksudnya, kalau mereka ambil bahagian air Sungai Muda dari kawasan Kedah, barulah layak nak minta bayaran. Siap bagi 8 sebab lagi kenapa Pulau Pinang tak berhutang air dengan Kedah.
Apapun, kami harap isu ni berjaya diselesaikan oleh kedua-dua negeri ni. Pertelingkahan sebegini bukanlah suatu yang pelik, dan mungkin tak dapat dielakkan lagi kerana wujudnya pertembungan pendapat serta prinsip daripada kedua-dua pihak.