Ekoran pandemik yang memberi kesan teruk kepada ratusan syarikat seluruh negara, kerajaan lancarkan beberapa siri program insentif untuk kurangkan impak ekonomi yang kena ditanggung oleh majikan-majikan. Salah satu program dalam pelan tersebut adalah Penjana Kerjaya. Sepatutnya insentif ni merupakan satu peluang kepada majikan untuk tak takut-takut nak ambil pekerja sebab kerajaan akan beri insentif kalau tawarkan peluang kerja untuk diorang.
Walau bagaimanapun, ramai majikan didapati salah guna program ni. Dikatakan, diorang buat tuntutan palsu… konon ada ambil pekerja, sedangkan takde pun ambil pekerja untuk syarikat diorang. Ada jugak tuntutan diorang ni sehingga RM100 juta. Bila SPRM siasat, rupanya ini salah satu cara diorang seleweng dana Penjana Kerjaya untuk keuntungan syarikat diorang je.
Penjana Kerjaya sepatutnya kukuhkan ekonomi negara, tapi mudah disalahguna
Demi merancakkan lagi ekonomi negara, kerajaan perkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diperkenalkan pada tahun 2020. PENJANA fokus pada 3 teras: nak perkasakan rakyat, lonjakkan perniagaan dan rangsang ekonomi. Dalam teras-teras yang disebutkan, masing-masing ada program khusus bagi mencapai objektif teras yang tergaris. Penjana Kerjaya masuk di dalam teras pertama tu.
Penjana Kerjaya ni sepatutnya jadi satu pendekatan menang-menang. Majikan dapat wujudkan pekerjaan dan tingkatkan peluang pekerjaan di syarikat diorang. Para pencari kerja pulak boleh mendaftarkan diri diorang dalam laman sesawang My Future Jobs Perkeso. Majikan akan diberi bantuan untuk daftarkan kerja kosong atau pengambilan pekerja di syarikat diorang.
Kemudian mulai Julai 2020, majikan yang ada ambil pekerja melalui program ni mesti daftarkan dulu para pekerja dengan Perkeso untuk caruman wajib. Majikan pun boleh pilih nama pekerja yang diambil untuk kelulusan bayaran insentif. Bayaran tu akan dibuat pada bulan berikutnya, setelah caruman Perkeso dan elaun mobiliti untuk pekerja yang layak. Elaun mobiliti ni adalah bayaran one-off kepada pekerja yang kena berpindah dari lokasi
Majikan hanya perlu mohon insentif untuk setiap pekerja yang diambil bekerja sekali je, dan pembayaran insentif selama 6 bulan akan dimasukkan secara automatik. Bahkan, majikan boleh masukkan pekerja baharu ni dalam latihan kemahrian dan peningkatan kemahiran yang ditawarkan dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).
Dalam program insentif ni pulak, ada dua kategori: #MyApprentice dan #HireMalaysia. #MyApprentice menjanjikan RM600 untuk pengambilan perantis terutamanya dalam kalangan lepasan graduan baharu atau sekolah. RM1000 lagi untuk majikan jika ambil perantis OKU dalam kalangan lepasan graduan baharu atau sekolah. Untuk #HireMalaysia, RM800-1000 diberikan dan bergantung pada umur pekerja.
Bila kita perhatikan, program Penjana Kerjaya ni memang berfokuskan nak tolong kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja baharu. Walaupun begitu, insentif lumayan ni sesekali menarik pihak-pihak yang tak bertanggungjawab. Kerajaan tak letak had pekerja yang boleh diambil bekerja, mahupun yang dikekalkan kerjanya dalam tempoh selepas 6 bulan. Jadi secara teorinya, sesebuah syarikat boleh je ambil atau berikan nama pekerja lain berkali-kali selepas tempoh 6 bulan tu.
Tuntuan palsu lebih RM1.2 juta, puluhan eksekutif dipercayai seleweng dana Penjana Kerjaya
Baru-baru ni, sepasang suami isteri dilaporkan dah direman bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dana insentif Program Penjana Kerjaya bernilai lebih RM1.2 juta. Kedua-dua suspek berusia 54 dan 49 tahun ni merupakan pemilik sebuah syarikat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sebelum tu, sepasang suami isteri lagi ditahan untuk bantu siasatan tuntutan palsu insentif Penjana Kerjaya antara 2020 hingga 2022 di Melaka. Penahanan diorang ni ada kena mengena dengan operasi Op Hire yang dilancarkan SPRM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk siasatan isu tuntutan palsu dan seleweng dana insentif Penjana Kerjaya di beberapa negeri seluruh negara.
Lebih ramai lagi ditahan sepanjang tempoh sehingga 18 Julai tahun ni. Beberapa syarikat dan individu dahpun dikesan dan berkemungkinan akan ada tangkapan lain selepas ni. Menerusi Op Hire yang dijalankan, SPRM dilapor tahan 37 individu yang buat tuntutan palsu. Antara yang ditahan terdiri pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera-jurutera melibatkan 26 lelaki dan 11 wanita berusia antara 28 hingga 70 tahun daripada 64 buah syarikat berstatus sendirian berhad.
SPRM dah kenal pasti bagaimana modus operandi syarikat-syarikat ni. Mula-mula majikan ni dipercayai ambil data daripada orang luar atau berpakat dengan pembekal latihan untuk buat tuntutan palsu dengan insentif yang ditawarkan. Nama dan butiran yang diperlukan untuk tuntut insentif akan diberi, kemudian dihantar ke Perkeso. Kebanyakan pekerja yang dikatakan bekerja dengan majikan-majikan ni rupanya tak pernah kerja pun kat syarikat terbabit.
Ada jugak suspek, berpangkat ketua kerani kanan dipercayai minta wang sogokan sejumlah RM5,000 untuk bantu dalam urusan tuntutan insentif pengambilan pekerja. Bukan tu je, orang-orang yang ada kaitan dengan Perkeso dan politik pun dikatakan terlibat dalam operasi penyelewengan ni. 3 lagi ditahan pada 16 Julai, yang mana sorang di antaranya tu kakitangan Perkeso jugak. Sekarang 40 suspek dah ditahan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang merupakan Timbalan Presiden MIC mengiyakan wujudnya desas-desus bahawa ada ahli MIC terlibat dalam kes penyelewengan dana Penjana Kerjaya.
“Saya setakat ini tidak ada sebarang maklumat (mengenainya) tapi saya tidak boleh nafikanlah penglibatan individu, tapi itu tidak ada kaitan dengan MIC,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian
Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy antara nama yang dikatakan terlibat dalam kes tersebut. Walau bagaimanapun, dia jugak nafikan sekeras-kerasnya dan berikrar akan ambil tindakan undang-undang. Dia jugak dah buat laporan polis berkenaan hal tersebut. Dipetik dari Malaysia Gazette:
“Ada individu cakap saya kena tangkap, saya telah menyeleweng dana masyarakat India serta tuduhan-tuduhan lain. Pada saya, semua ini tidak berasas dan saya tidak akan sesekali berdiam diri kepada mana-mana pihak membuat fitnah atau menjejaskan nama keluarga saya mahu pun MIC.
Saya telah membuat laporan polis dan juga sedang berkira-kira untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dikenalpasti menyebarkan fitnah terhadap saya tanpa bukti,”- Datuk Mohana Muniandy, seperti yang dilaporkan Malaysia Gazette
Sementara tu, Perkeso ambil tindakan menggantung bayaran program tu berjumlah RM423 juta. Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed kata, tindakan tu diambil kerana ada majikan kemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana Penjana Kerjaya sejak bulan Mei tahun lalu.
“Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang diamanahkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif Kerajaan semasa tempoh pandemik Covid-19, Perkeso memandang serius isu penyelewengan ini kerana bantuan kewangan kerajaan bertujuan untuk meringankan beban pihak yang layak serta benar-benar memerlukan, mengikut syarat dan kaedah yang ditetapkan.
Tindakan penggantungan bayaran tersebut dibuat berdasarkan penganalisian data dan pemantauan berterusan oleh Bahagian Anti Fraud, Etika & Integriti (AFEI), Perkeso,”- seperti yang dilaporkan Kosmo
Kes ni menimbulkan dukacita buat kita. Matlamat kewujudan program sebegini ditumpukan untuk membantu majikan dan pekerja, namun sebaliknya, ia diseleweng pulak demi keuntungan peribadi pihak yang tak bertanggungjawab. Orang dalam Perkeso pun jadi suspek, begitu jugak dengan orang-orang politik dalam kem kerajaan sekarang dan barisan eksekutif syarikat-syarikat yang lain.
Kita tak pasti bagaimana nasib para pencari kerja yang lain, khususnya yang tak tahu menahu bahawa diorang ‘diambil bekerja’ sedangkan tak pernah dimaklumkan pun. Data diorang disalahgunakan oleh pembekal tenaga kerja. Walhal boleh je pun jikalau syarikat tu gunakan sebaiknya insentif ni untuk benar-benar memberi kerja kepada para pencari kerja ni.