Malaysia didakwa tak serius dalam COP26, tolak perjanjian henti tebang hutan

kilangasap1

Bermula 31 Oktober lalu, sebuah persidangan alam sekitar antarabangsa iaitu COP26 tengah berlangsung kini di Glasglow, UK. Dalam tempoh 2 minggu tu, negara-negara di seluruh dunia dijemput hadir ke persidangan alam sekitar tersebut. Tujuan utama persidangan ni sebenarnya bagus jugak; matlamat utama diorang adalah nak turunkan suhu global dunia akibat perubahan iklim.

Namun demikian, ada jugak yang mendakwa Malaysia ni macam tak serius je nak tangani perubahan iklim khususnya bila Malaysia cuma hantar satu wakil je. Tu pun bukan Menteri Alam Sekitar. Tambah lagi, Malaysia jugak antara negara Asia Tenggara yang tolak hasrat hentikan penebangan pokok.

cop26
Via Iberdola

COP26 adalah ‘sambungan’ kepada Perjanjian Paris pada 5 tahun lalu, fokus 4 matlamat utama

COP26 adalah akronim kepada Conference of the Parties, dan merupakan persidangan ke-26 yang telah dilangsungkan oleh PBB. Lebih umum, nama kat dalam logo rasmi dia pulak kali ni adalah Persidangan Perubahan Iklim 2021, dan berlangsung dari 31 Oktober hingga 12 November di bawah presiden Alok Sharma. Sepatutnya diorang buat pada tahun lalu, tetapi disebabkan pandemik, diorang tangguh ke tahun ni pulak.

Ia jugak boleh dikatakan sebagai sambungan kepada Perjanjian Paris yang dahpun dilangsungkan pada 2015. Ketika tu, ia dijolok sebagai satu-satunya perjanjian alam sekitar yang setakat ni, dimeterai oleh hampir semua negara di seluruh dunia bagi mengurangkan pelepasan gas karbon.

paris agreement
Via Unpri

Matlamat jangka panjang dalam Perjanjian Paris adalah untuk memelihara suhu dunia di bawah 2 celcius di atas tahap pra-industrial. Sebolehnya, turut mengehadkan peningkatan suhu sehingga 1.5 celcius kerana ia difikirkan boleh kurangkan impak perubahan iklim.

Ni berbeza dengan Protokol Kyoto 1997, di mana setiap negara tak kiralah dah maju atau masih membangun, untuk buat laporan rancangan diorang sendiri bagi mengurangkan pelepasan gas karbon. Dalam Perjanjian Paris, satu mekanisme telah diperkenalkan iaitu mekanisme sehala. Setiap negara kini bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan sesama negara lain bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di bawah konsep Nationally Determined Contribution (NDC).

ndc perjanjian paris
Kesesuaian NDC mengikut piawaian Perjanjian Paris.. -Via Down To Earth

NDC ni takdelah nak ikat sesebuah negara untuk tunduk kepada kehendak perjanjian antarabangsa. Namun ia lebih kepada tanggungjawab moral sesama negara lain di seluruh dunia. Di bawah NDC, sesebuah negara perlu merangka pelan tindakan alam sekitar, termasuklah sasaran nak kurangkan pelepasan gas rumah hijau serta senarai kaedah atau polisi yang dikuatkuasakan bagi mencapai matlamat tersebut.

Dalam COP26, digariskan empat matlamat utama:

  • Mencapai net sifar menjelang pertengahan abad ke-21 dan elak suhu dunia naik sekurangnya 1.5 darjah celcius
  • Memelihara dan melindungi habitat semulajadi dan komuniti sekitarnya
  • Memperkukuh kewangan, dan negara maju perlu tunaikan janji dengan memperuntukkan sekurangnya 100 bilion dolar bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau
  • Menetapkan dan mengemaskini semula mekanisme Perjanjian Paris, memperkenalkan ‘Paris Rulebook’ serta mempertingkat kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil.
suhu penting cop26
Naik suhu dunia, iklim seluruh dunia tak seimbang.. -Via Al-Jazeera

Besar hasrat COP26 kali ni. Ye lah, tujuan yang besar jugak memerlukan usaha (dan kewangan) yang besar. Sementara para pemimpin negara ke persidangan alam sekitar, ramai jugak para aktivis yang menyelar pilihan pengangkutan para pemimpin utama dunia. Misalnya, Presiden Joe Biden dikritik kerana dia naik jet kerajaan untuk ke persidangan tersebut sedangkan diketahui ramai, pesawat jet melepaskan gas karbon yang agak tinggi selain menggunakan minyak fosil.

Arab Saudi, Australia didedahkan cuba lobi agar berhenti tekankan isu minyak fosil, Malaysia pulak taknak meterai perjanjian tebang hutan

Dalam persidangan antarabangsa ni pun, rupanya banyak jugak kisah gelap yang berlaku di sebalik tabir. Misalnya baru-baru ni, BBC melaporkan berlakunya pendedahan berdasarkan maklumat dokumen yang dibocorkan perihal bagaimana sebenarnya respon para negara dalam persidangan tu.

Arab Saudi, Jepun dan Australia antara negara yang minta PBB jangan tekankan soal perlunya bergerak keluar daripada minyak fosil. Sebagaimana yang kita tahu, Arab Saudi misalnya memang banyak bergantung kepada minyak fosil sebagai sumber kewangan utama diorang. Istilah yang lebih tepat, petrodollar.

dokumen bocor dedah bbc cop26
Tajuk berita BBC berkenaan pendedahan tersebut

Malah, ada jugak sesetengah negara kaya, termasuklah Switzerland dan Australia mempertikai kenapa beri wang banyak kepada negara yang lebih miskin untuk diorang bergerak ke teknologi hijau.

Rencah pertembungan konflik tak terhenti setakat tu je. Benarnews melaporkan, negara-negara Asia Tenggara jugak taknak meterai perjanjian hentikan penebangan hutan. Malaysia, Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand masing-masing tolak perjanjian tersebut kerana ekonomi pertanian kita masih perlukan tanah baharu. Penebangan hutan masih dilihat perlu, dan meratifikasinya bererti kita dah tak boleh tebang pokok serta guna tanah tu.

krisis iklim cop26
Penebangan pokok salah satu yang ditumpukan dalam COP26.. -Via Al-Jazeera

Tambah lagi, Malaysia sendiri tak hantar Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk hadir bersama-sama rakan sejawatan lain. Memetik sebuah surat terbuka dari pembaca Malaysiakini berkenaan isu ni;

“Sepatutnya menteri itu mengambil peluang ini untuk membuktikan bahawa PAS sedang mengetuai satu pelan tindakan yang mampu membawa negara Malaysia lebih lestari dan mampan dan menjuarai isu-isu alam sekitar sesuai dengan warna rasmi parti.

Mungkin PRN Melaka lebih penting bagi semua pimpinan Keluarga Malaysia dari pergi berbincang dengan pimpinan seluruh dunia yang lain mengenai usaha menangani perubahan iklim.”- seperti yang dipetik dari Malaysiakini

Sambungnya lagi, delegasi Malaysia ke COP26 tu diberikan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dr. Zaini Ujang. Dr. Zaini Ujang tu pun sendiri sudah cukup ternama; selain jadi orang akademik, dia jugak dah banyak buat kajian berkenaan alam sekitar dan ekologi, di samping jadi penulis awam. Intelektual seperti Dr. Zaini Ujang memang layak mewakili Malaysia ke persidangan antarabangsa.

zaini ujang cop26
Dr. Zaini Ujang bersama delegasi Malaysia di COP26.. -Via Twitter

Walaupun begitu, kita pun nak jugak sorang Menteri yang jadi wakil Malaysia ke persidangan antarabangsa. Jika hal seperti ni pun tak mampu dilaksanakan oleh Menteri Alam Sekitar, bagaimana kita nak perlihatkan tahap keseriusan kita dalam kerjasama alam sekitar bersama komuniti dunia?

Melalui Bajet 2022, negara menetapkan sasaran bahawa kita bakal capai Negara Karbon Neutral 2050. Kita jugak akan perkasakan biogas dan biofuel berasaskan minyak sawit, selain mengurangkan kebergantungan negara kepada petroleum dan gas asli. Tentulah besar harapan kita sekiranya perkara ni benar-benar dipandang serius.

Para aktivis alam sekitar pulak rata-ratanya skeptikal dengan matlamat yang diletakkan ni kerana takde penjelasan khusus dan lebih mendalam tentang pelaksanaan dasar-dasar tu. Sebaliknya, ia serupa cuma slogan-slogan bersifat retorik je.

orang asli kuala langat hutan
Orang Asli bantah kawasan hutan simpan Kuala Langat dimajukan.. -Via Malaysiakini

Dalam satu sudut, persidangan antarabangsa ni memberikan kita ruang untuk berfikir semula mengenai kemampuan kita untuk menyelamatkan alam sekitar yang masih ada di dalam Malaysia. Bukan tu je, beberapa hal lain seperti penggunaan kereta dan pesawat serta kebergantungan terhadap sumber-sumber semulajadi negara perlu diperhatikan semula jika kita benar-benar peduli tentang alam sekitar serta seruan nak elakkan peningkatan suhu dunia.

Kemaskini: Menteri Alam Sekitar, Tuan Ibrahim datang lewat seminggu ke COP26. Datang jugak,cuma lambat je lah. Sementara tu, Malaysia bidas semula dakwaan Washington Post berkenaan Malaysia ‘mengada-adakan laporan pengurangan gas karbon’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *