MB Terengganu dakwa dipantau rapi, KPN kata tak ada keperluan

f1

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa beliau dilabel sebagai individu di bawah kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) sejak tahun lalu, menyebabkan pergerakannya dipantau rapi oleh pihak tertentu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beliau perlu melalui kawalan ketat setiap kali berada di sempadan termasuk ketika ke Sabah dan Sarawak, malah memerlukan kelulusan khas sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.

“Saya telah dilabel dan ditandai sebagai TCO dalam sistem kawalan sempadan oleh satu pihak cawangan khusus. Seolah-olah saya ini penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket, gangster atau ‘persona non grata’ di tanah air sendiri. Setiap kali keluar masuk sempadan, saya akan ‘ditahan’ dan dibawa ke tepi. Satu panggilan perlu dibuat dan menunggu kelulusan sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan,” katanya menerusi kenyataan di laman sosialnya

ahmad samsuri mokhtar
Menteri Besar Terengganu. Imej dari Media MB Terengganu

Ahmad Samsuri mendakwa, TCO merupakan satu penandaan dalam sistem keselamatan negara terhadap individu yang dianggap berisiko, meskipun tiada sebarang kesalahan sah dibuktikan. Beliau turut percaya pemantauan itu digunakan atas nama ‘keselamatan negara’ atau ‘kestabilan politik’, namun hakikatnya dijadikan alat politik untuk menekan suara tertentu.

“Ke mana saya pergi, siapa saya temui dan apa yang saya perbualkan, semuanya dipantau dan dilaporkan kepada pihak tertentu. Telefon saya juga mungkin dipintas,” dakwanya.

Katanya, isu itu akan dibangkitkan di Dewan Rakyat agar satu Jawatankuasa Terpilih Risikan ditubuhkan bagi mengelak penyalahgunaan kuasa.

“Negara yang benar maju demokrasi dan institusinya, mempunyai ruang kawalan di bawah Parlimen seperti ‘Jawatankuasa Terpilih Risikan’ sebagai kuasa pengawal (oversight) untuk menghalang salah guna kuasa jentera dan aset kerajaan terutama oleh pihak berkepentingan politik dan kewangan. Dalam hal ini, sudah ada rakan ahli Parlimen yang ingin membangkitkan salah guna kuasa TCO dalam sidang Dewan Rakyat akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menyuarakan kebimbangan sekiranya amalan itu berleluasa dan digunakan terhadap orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan bebas serta mana-mana pihak yang mempunyai pandangan berbeza dengan kerajaan.

Pas berpendirian tiada keperluan untuk pantau MB Terengganu

Pas meluahkan rasa kesal terhadap tindakan pihak berkuasa yang melabel dan menandakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai individu di bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO) dalam sistem kawalan sempadan negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan maruah seorang pemimpin.

“Saya pun rasa pelik. Memang di peringkat pimpinan, ada polis pengiring, tetapi ditandakan sebagai TCO dan pihak berkaitan terpaksa membuat pengesahan terlebih dahulu,” katanya.

“Ini bukan soal keselamatan kawal diri. Sebagai Menteri Besar, beliau sepatutnya boleh masuk. Beliau bukan penjenayah. Orang lain masuk tiada masalah, tiba-tiba beliau dikenakan TCO. Sebenarnya tiada isu… isunya kenapa tiba-tiba beliau disekat?” katanya.

Bagi Ketua Polis Negara dan Menteri KDN, Samsuri salah faham

Tiada keperluan untuk meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurutnya, dakwaan Ahmad Samsuri bahawa dirinya diletakkan di bawah status individu dianggap berisiko oleh pihak tertentu walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah adalah tidak benar.

“Istilah kawalan perjalanan TCO (Pejabat Kawalan Perjalanan) yang digunakan beliau (Ahmad Samsuri) dalam posting dimuat naik juga tidak tepat kerana TCO sebenarnya merupakan jawatan pegawai polis yang bertugas di pintu keluar masuk negara.

“Beliau bukanlah seorang penjenayah yang perlu diletakkan dalam SPK bagi individu (penjenayah) dikehendaki yang perlu ditahan di dalam atau luar negara. Malah, jawatannya sebagai seorang menteri besar turut memerlukan perlindungan serta kawalan keselamatan pegawai pengiring yang terdiri daripada pihak polis sendiri maka secara tidak langsung semua pergerakannya diketahui,” katanya

Razarudin berkata, tiada keperluan untuk pihak polis meletakkan Ahmad Samsuri di bawah senarai SPK. Katanya, setiap orang kenamaan (VIP) yang melalui pintu masuk negara akan menggunakan laluan khas selain diiringi pegawai ditugaskan.

tan sri razarudin bin husain @ abd rasid
Ketua Polis Negara. Imej dari RMP GOV

“Selain itu, ia perkara biasa sebagai seorang menteri besar yang ingin ke luar negara ditanya soalan-soalan berkaitan kerana bagi memudahkan pihak polis melakukan kawalan keselamatan di tempat dituju,” ujarnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa tiada keperluan untuk mengintip pergerakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kerana beliau sentiasa ditemani anggota polis bagi tujuan keselamatan.

Saifuddin menjelaskan bahawa sebagai pemimpin tertinggi negeri, Ahmad Samsuri sentiasa didampingi seorang pegawai polis sepanjang masa.

“Tiada keperluan untuk ‘spy’ beliau kerana polis memang sentiasa bersamanya. Saya sendiri pernah tersenarai untuk pengawasan dari tahun 2000 hingga 2004. Saya anggap itu sebahagian daripada tugasan pihak berkuasa,” katanya

Menurut Saifuddin, ketika berada di bawah pengawasan, beliau memberikan kerjasama penuh dan menghormati peranan pihak keselamatan. Katanya, selepas satu tempoh tertentu, namanya dikeluarkan daripada senarai tersebut.

Beliau turut menjelaskan bahawa semua orang kenamaan (VIP) di negara ini secara amnya berada di bawah pengawasan atas faktor keselamatan, namun hanya Ahmad Samsuri yang mempertikaikan perkara tersebut secara terbuka.

Sebagai rekod, Saifuddin merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Kedah dari tahun 2000 hingga 2004 namun tidak memegang jawatan kerajaan ketika itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *