Mengapa implementasi Undi18 penting untuk negara

f2

Hari demi hari, ura-ura nak PRU15 semakin hari dah semakin hangat. Yang lebih utama sebenarnya, kita harus bangga apabila tiba waktu pilihan raya umum… ia menjadi pilihan raya umum pertama yang kini merangkumkan peringkat pengundi yang baharu iaitu pengundi muda berusia 18 tahun ke atas. Sebelumnya, kita tak dapat bayangkan anak-anak muda di bawah 21 tahun turun mengundi bersama-sama dengan ibu bapa dan ahli keluarga diorang. Dengan hadirnya kekuatan dan ketinggian semangat Undi18, akhirnya perjuangan tersebut dapat direalisasikan sebelum PRU15.

Tak dinafikan, masih ramai yang kurang faham betapa pentingnya usaha nak implementasikan Undi18. Ramai bergembira dengan wujudnya blok pengundi baharu, namun ada kalangan pengundi dari blok pengundi muda ni sendiri tak faham kenapa diorang perlu mengundi. Baru nak fikir soal SPM dan pilihan untuk sambung kerja atau sambung belajar; dah digesa nak fikir pasal politik pulak. Oleh demikian, kami terpanggil nak kupas persoalan mengenai apa yang penting sangat pasal Undi18 ni.

doc7jdzl06g0c6m6nures9
Via The Star

Fenomena Undi Rosak yang popular, jadikan inisiatif Undi18 lebih relevan

Kalau korang masih ingat lagi, fenomena undi rosak dengan tanda pagar #UndiRosak mendapat populariti dalam kalangan anak muda. Para ahli politik lekas-lekas menjenamakan fenomena tersebut sebagai salah satu propaganda dari pihak pembangkang masa tu, namun kalangan anak muda sendiri tahu bahawa ia tak benar. Fenomena #UndiRosak yang bergentayangan di alam maya ketika tu hanyalah ‘mendedahkan’ kegagalan dan ketiadaan ruang politik untuk anak muda menyuarakan pandangan diorang.

Menurut kajiselidik yang pernah dilaksanakan oleh badan NGO Merdeka Centre dan WATAN, 70% belia berumur 21 hingga 30 tahun seluruh negara kata diorang tak minat politik. Ada jugak yang kata politik ni buat diorang keliru. Beberapa sebab yang dikemukakan sehingga diorang rasa macam ni adalah “diorang takde masa” dan “mengundi takkan cipta perubahan baharu”. Sebab macam ni sebenarnya boleh dikatakan sebagai suatu tanda bahawa diorang sebenarnya kisah je, tapi bila takde ruang yang diyakini dapat merubah keadaan ni… orang pun dah rasa negatif terhadap masa depan diorang.

Notmypm Polis Demo
Via FMT

Kata Azmi Sharom, profesor undang-undang dan kolumnis politik; orang muda ni sebenarnya nakkan perubahan baharu. Pada PRU13, Barisan Nasional tetap jadi kerajaan walaupun dah hilang undi popular. Sejak berdekad lamanya, BN dilihat tak lagi berjaya membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik buat belia-belia muda ni. Ditambah lagi dengan kehadiran Mahathir, yang terus dikenang zamannya sebagai zaman yang menindas perkembangan aktivisme dan suara anak muda khususnya mahasiswa sejak AUKU dikuatkuasakan.

#UndiRosak akhirnya menjadi popular apabila kedua-dua blok pemimpin ni macam tak boleh pakai. Pilihan raya disifatkan cuma arena untuk orang tua berebut kuasa, menyisihkan peranan sebenar sesebuah pilihan raya diperkenalkan di negara ini. Hal ni disebut oleh Masjaliza Hamzah, pengarah eksekutif WATAN masa tu.

“Di peringkat mana anak muda boleh memasuki kekalutan politik ini? Struktur dalam parti politik sendiri tak terbuka atau fleksibel untuk terima anak muda. (Kita) Tiada pilihan raya tempatan untuk membolehkan anak muda ini sertai kerana mereka tidak mempunyai wang atau jentera politik di belakang mereka”- seperti yang dipetik New Naratif

Undirosak Rakyat Malaysia
Via Thereporter.my

Kehampaan anak muda inilah yang menghadirkan idea Undi18. Diperkenalkan oleh dua anak muda yang belajar dari luar negara, diorang cukup bersemangat untuk memperjuangkan hak pengundi muda dengan merendahkan had umur pengundi dan calon bertanding di pilihan raya. Undi18 adalah alternatif yang paling baik untuk memastikan anak muda terlibat langsung dalam politik dan pembangunan polisi yang dapat menyelesaikan isu-isu anak muda masa kini.

Harapan baharu buat anak muda, pendedahan dan pendidikan perlu untuk suburkan kesedaran politik belia

Undi 18 dan kejayaannya diraikan segenap usia apabila pindaan dilakukan untuk memberi ruang penglibatan belia di peringkat pilihan raya. Kali ni bukan sebagai pemerhati dari jauh sebagaimana tahun-tahun lalu; undi anak muda boleh mengubah lanskap politik negara. Secara tak langsung, ini boleh merangsang perubahan politik perkauman dan berunsurkan ketakutan kepada suatu bentuk politik matang yang diperlukan untuk terus maju.

Sebelum ini, kehampaan anak muda melahirkan pelbagai persepsi dan tanggapan buruk kepada golongan anak muda. Anak muda disifatkan tak peduli, tak patriotik dan hanya suka berseronok sementara orang tuanya mengemudi negara. Persepsi dan tanggapan buruk ini harus dikikis, dan perlu dibuktikan dengan penglibatan lebih ramai anak muda ke dalam politik tanah air.

pemimpinanakmuda
Barisan pemimpin muda yang selalu disebut-sebut oleh warganet.. -via Astro Awani

PRN Johor baru-baru ini disebutkan sebagai kertas litmus bagi mengukur jumlah pengundi belia yang turun mengundi. Daripada 54.92 peratus keseluruhan yang keluar mengundi yang direkodkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi muda dianggarkan hanya di bawah lima peratus.

“Antara faktor keadaan ini berlaku mungkin disebabkan rasa protes anak muda terhadap keadaan politik negara dan mereka beranggapan kalau mereka sokong mana-mana parti pun keadaan negara tetap sama.
Mereka berfikiran begitu mungkin dipengaruhi oleh interaksi dengan orang tua mereka dan orang sekeliling. Kalau mereka dpaat informasi yang tidak menarik sebegitu, sudah pasti mereka fikir buang masa sahaja keluar mengundi,”- Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM)
prnjohormskini
Via Kosmo
Pendapat ini mesti diambil kira dalam tujuan memperkasakan demokrasi negara. Pendarasan pendidikan politik mesti dilanjutkan agar makna demokrasi tidak disempitkan kepada percaturan realpolitik tunjang parti politik semata-mata. Kesedaran politik, khususnya tentang peranan pilihan raya perlu disuburkan dalam kalangan anak muda. Anak muda kena faham bahawa zaman sekarang, suara anak muda dapat diterjemahkan menjadi undi sokongan kepada para pemimpin muda dan polisi-polisi yang difikirkan dapat ketengahkan isu anak muda tu sendiri.
Implementasi Undi18 merupakan kemenangan yang besar untuk anak muda. Sekarang ni pulak, tiba masanya kita membentuk anak muda yang berani turun mengundi dan membina semula kepercayaan generasi masa depan bahawa kini, diorang boleh lakukan perubahan kepada negara menerusi pilihan raya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *