Najib dapat DNAA, Rafizi persoal etika pendakwa raya

f1 min (14)

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gembira kerana tidak lagi dibebani dengan kes mahkamah yang terlalu banyak. Demikian kata peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat melepaskan dan membebaskannya (DNAA) atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) RM27 juta yang membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, membuat keputusan membenarkan permohonan Najib minggu lalu untuk mendapatkan DNAA selepas mendapati tempoh masa yang tidak menentu dan tidak pasti yang menyebabkan bekas perdana menteri itu terpaksa berdepan pertuduhan tanpa sebarang penyelesaian.

“Beliau gembira kerana tidak lagi terlalu banyak kes yang tergantung di kepalanya, memandangkan permohonan telah meminta DNAA dibuat beberapa kali sebelum ini. Kini, beliau boleh menumpukan perhatian pada kes 1MDB (1Malaysia Development Bhd),” katanya ketika sidang akhbar

Ditanya mengenai pendekatan pihak pendakwaan mengenai perintah DNAA berkenaan, Muhammad Shafee berkata, timbalan pendakwa raya tidak boleh merayu terhadap keputusan berkenaan. Beliau berkata, ia disebabkan pendakwaan masih boleh meneruskan kes sekiranya bersedia di masa depan.

“Pastinya kami berharap mereka tidak melakukannya, kerana kes ini telah cukup memprejudis Datuk Seri Najib, jadi saya harap Peguam Negara dapat menggunakan kuasa dan budi bicara untuk menutup kes ini. Najib memang dilepaskan tanpa dibebaskan atas kes AMLA sebanyak RM27 juta dana SRC, tetapi kerana beliau masih perlu menjalani hukuman penjara, bagi kes menyeleweng dana sama membabitkan RM42 juta,” katanya.

Pada Jumaat, bekas Ahli Parlimen Pekan itu diberi perintah DNAA oleh Mahkamah Tinggi, atas tiga pertuduhan itu, selepas membenarkan permohonan yang dibuat pada 11 Jun lalu. Pada 11 Jun lalu, Najib gagal dalam permohonannya untuk menggugurkan tiga kes ini selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan pada 31 Julai 2023.

51750397200 najibrazak
Najib Razak. Via Awani

Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memohon mahkamah menetapkan tarikh lain bagi perbicaraan kes tersebut.

Bagaimanapun, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, mengulangi permohonan supaya anak guamnya diberi perintah DNAA memandangkan kes ini telah berlanjutan sejak 2019 yang mana penangguhan sudah menjangkau enam tahun.

Pada 3 Februari 2019, Najib didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bekas ahli politik itu, sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International. Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Pemimpin Umno gembira Najib dapat DNAA, tapi bukan Rafizi

Rata-rata pemimpin UMNO menzahirkan rasa syukur susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Najib Tun Razak atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di laman Facebook memuat naik kenyataan ringkas berhubung perkara itu. Selain itu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh dan Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid turut berkongsi perkara sama di laman sosial masing-masing.

Bagi Rafizi, pendakwa raya perlu segera memfailkan semula pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd, selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri itu.

Dalam satu kenyataan, Rafizi berkata, kelewatan pihak pendakwaan menyediakan dokumen sejak 2019 adalah satu kegagalan yang perlu dijelaskan, lebih-lebih lagi apabila kes ini melibatkan skandal besar yang telah pun menyaksikan sabitan bersalah dalam kes pertama membabitkan SRC.

“Saya menyeru supaya pihak pendakwa dapat mengesahkan bahawa Kamar Peguam Negara akan memfailkan semula pertuduhan dengan secepat mungkin dan menyiapkan dokumen-dokumen dengan sewajarnya, agar kes ini dapat berjalan dengan segera. Ramai rakyat Malaysia tidak mahu melihat kes ini berlalu begitu sahaja atas kegagalan pendakwa yang mewakili kerajaan untuk menyiapkan dokumen bukti ke mahkamah, berhubung satu skandal iaitu SRC yang telah pun dijatuhkan hukuman bersalah,” katanya.

Malah, Rafizi juga mempersoalkan mengapa kes berkenaan masih tergantung sejak lebih lima tahun lalu walaupun menghormati keputusan Hakim K Muniandy yang membenarkan permohonan DNAA serta hak Najib untuk membuat permohonan tersebut. Beliau juga menyifatkan penyelewengan melibatkan SRC sebagai kes yang mempunyai bukti aliran tunai paling jelas berdasarkan pengalamannya mendedahkan skandal 1MDB dan SRC sebelum ini.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan terus memantau perkembangan kes ini agar ia tidak dilupakan oleh pihak berkuasa mahupun masyarakat,” ujarnya lagi.

Akmal Saleh tempelak Rafizi, katakan tiada dokumen sebab tiada bukti

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mempersoalkan kes dana SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kegagalan pihak pendakwa raya menyediakan dokumen penting bagi meneruskan perbicaraan kes menunjukkan tiada bukti kukuh untuk menyokong pertuduhan.

akmal saleh umno
Dr Akmal Saleh. Sinar Harian

Menurutnya, hal ini berkemungkinan berpunca daripada pertuduhan yang bersifat dendam semata-mata.

“Jawapannya mudah sahaja, tiada apa-apa bukti kukuh untuk pihak pendakwaan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 dahulu melakukan pendakwaan. Malah, perbicaraan tidak dijalankan selama enam tahun. Dokumen pun sehingga ke hari ini belum diperoleh. Mungkin ini satu pertuduhan bersifat dendam semata-mata terhadap Najib yang dianiaya selama ini,” katanya

Dr Muhamad Akmal berkata demikian sebagai respons kepada Rafizi berhubung kenyataannya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Difahamkan, keputusan itu dibuat kerana pihak pendakwa belum bersedia memulakan perbicaraan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *