Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengharapkan dua tokoh yang banyak berjasa kepada parti dapat mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk melepaskan jawatan dalam kabinet.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi juga dianggap sebagai ‘ayah’ yang telah memberi mesej jelas kepada kepimpinan bahawa dalam sesuatu pemilihan, akan ada yang menang dan yang kalah.

“Namun, yang menang perlu memikul amanah manakala yang kalah harus dirangkul untuk bersama-sama dalam perjuangan,” katanya.
Shamsul berkata, beliau berharap mesej ‘pujukan’ yang disampaikan presiden parti baru-baru ini dapat dipertimbangkan oleh bekas Timbalan Presiden dan bekas Naib Presiden PKR, agar mereka dapat meneruskan khidmat sebagai menteri.
“Jadi saya harap kedua-dua tokoh yang besar semangatnya kepada parti dapat memikirkan semula keputusan itu. Sebenarnya, tidak ada sebarang masalah besar. Kadang-kadang apabila kita berucap, ada sentimen, emosi dan sebagainya, tetapi saya percaya rakyat menilai kita berdasarkan hasil kerja. Kalau mereka kembali (sertai kabinet) dan memimpin, itu tentunya lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program penyampaian sumbangan beg sekolah kepada pelajar B40 dalam Parlimen Hang Tuah Jaya di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keh Seng, Bukit Baru.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri masih memberi masa kepada dua menteri yang meletakkan jawatan sebelum ini untuk memikirkan secara mendalam sebelum membuat keputusan muktamad. Anwar dilaporkan berkata bahawa beliau berharap Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dapat menyertai semula barisan kabinet pimpinannya.
Sebelum ini, Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dan Nik Nazmi selaku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengemukakan surat peletakan jawatan susulan kekalahan mereka dalam pemilihan parti yang berlangsung bulan lalu. Mengulas lanjut, Shamsul berkata, sekiranya terdapat sebarang pertikaian, perkara itu boleh dibawa ke meja rundingan yang dipimpin sendiri oleh Perdana Menteri.
“Saya yakin dengan kebijaksanaan mereka untuk membuat pertimbangan yang baik dan bersedia ke meja rundingan. Itu yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri bahawa tidak perlu mereka keluar daripada Kabinet,” katanya lagi.
Iswardy Morni berpandangan Nik Nazmi harus kekal dengan pendirian untuk hormati mandat parti
Nik Nazmi Nik Ahmad harus kekal dalam prinsip untuk meletakkan jawatan setelah kalah dalam semua pertandingan peringkat cabang dan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), selari dengan prinsip reformasi yang dipegang. Bekas Setiausaha Koordinasi Penerangan PKR, Iswardy Morni berkata, jawatan menteri bukanlah mandat rakyat, sebaliknya merupakan lantikan Perdana Menteri kerana kedudukan Nik Nazmi dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurutnya, kelaziman yang sama turut berlaku melibatkan pemimpin daripada parti lain.
“Mandat rakyat ialah jawatan dia sebagai Ahli Parlimen. Yang tidak wajar ialah jika dia meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen. Itu tidak wajar,” katanya
Seperti yang dijawab Anwar mengenai status Nik Nazmi dalam Kabinet, memaklumkan tempoh cuti bekas Naib Presiden PKR itu akan tamat minggu ini. Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini dan kerajaan masih memberi ruang kepada Nik Nazmi untuk menyambung tugasnya.
Iswardy menambah, beliau percaya keputusan yang dibuat oleh Nik Nazmi adalah kerana menyedari ahli parti telah menolaknya sebagai pimpinan parti.
“Dengan itu, pimpinan baharu wajar diberi jawatan yang lebih tinggi. (Datuk Seri R) Ramanan, selaku Naib Presiden baharu PKR, patut diangkat menjadi menteri penuh menggantikan Nik Nazmi dan (Datuk Seri) Amirudin Shari pula patut diangkat menjadi Menteri Ekonomi kerana pengalamannya mentadbir Selangor,” katanya.
Nik Nazmi kekal dengan pendirian, gembira dapat berkhidmat untuk rakya
Bagi Nik Nazmi Nik Ahmad, beliau menegaskan bukan sesuatu yang mudah untuk beliau melepaskan jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES). Apatah lagi, katanya, selepas dua tahun, beliau sudah menganggap pasukan NRES, jabatan dan agensi di bawahnya sudah mencapai tahap dream team (pasukan impian) dengan komitmen, kebolehan dan kewibawaan yang luar biasa.
Namun, ujar beliau, keputusan melepaskan jawatan menteri itu dibuat adalah untuk perkiraan yang lebih besar.
“Mandat parti adalah penting untuk reformasi luas. Memang saya ada pilihan untuk kekal, tapi pilihan saya adalah untuk letak jawatan,” katanya menerusi laman sosial Facebook
Sementara itu, dalam hantaran sama, Nik Nazmi turut memetik kata-kata Pengurus Liverpool, Jurgen Kloop ketika mengumumkan peletakan jawatannya.
“I love absolutely everything about this club… I love the staff… But that I still take this decision shows you that I am convinced it is the one I have to take”. Itulah perasaan saya,” katanya.
“Namun, keputusan saya buat ini adalah untuk perkiraan lebih besar. Mandat parti adalah penting untuk reformasi luas. Memang saya ada pilihan untuk kekal tetapi pilihan saya adalah untuk letak jawatan,” katanya.
Nik Nazmi turut memaklumkan bahawa pada minggu lalu Pengerusi Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Shareen Abdul Ghani, mengunjungi pejabatnya di NRES. Ketika itu, katanya, beliau berada di pejabat untuk berkemas dan Shareen kemudian bertanya sama ada terdapat peluang untuk meyakinkannya untuk berubah fikiran.
“Saya cuma tersenyum dan memandang ke sekeliling pejabat. Shareen mengikut pandangan mata saya – melihat rak-rak kosong yang sebelum ini sarat dengan buku, dinding-dinding kosong yang pernah digantung pelbagai gambar, lukisan (dan jersi). Beliau faham dengan keputusan saya. Saya pesan kepadanya untuk menjaga MGTC baik-baik,” katanya.
Nik Nazmi berkata, beliau hadir ke MGTC beberapa bulan lalu untuk menjawab persoalan staf yang risaukan hala tuju agensi itu, secara berdepan.

“Berbincang dengan Shareen, Amin Ramli dan Datuk Dr Ching Thoo, Ketua Setiausaha NRES… kami rasakan penting untuk menjawab isu-isu ini secara jujur dan terbuka. Semoga MGTC terus menerajui implementasi agenda perubahan iklim ke arah matlamat Sifar Bersih 2050,” katanya.
Demikian jawapan ringkas Nik Nazmi Nik Ahmad ketika ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan semula keputusan melepaskan jawatan dalam Kabinet sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, beliau sedia bekerjasama menghulur bantuan untuk menyelesaikan hal berkaitan Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN) yang diluluskan untuk dibawa ke Parlimen.
“Boleh ikuti apa yang saya cakap tadi. Boleh ikuti apa yang saya cakap di Royal Selangor hari itu. Baca apa yang saya cakap. Saya harap saya boleh bantu menteri baharu untuk selesaikan RUU PIN yang telah diluluskan di Kabinet. Jadi, boleh buat konklusi di situ,” katanya.