Pas dinasihatkan tidak bertanding di Sabah

f1 min (15)

Ketika bahang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah semakin hampir, Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan tidak perlu bertanding pada , kata bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee. Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata, ia selaras dengan pendirian partinya yang mahu parti dari Semenanjung tidak bertanding pada pilihan raya negeri di Sabah.

Beliau berkata, SAPP masih menjadi ahli PN, namun pendirian itu kekal dan beliau sudah menyuarakannya kepada kepimpinan PN agar tak meletak calon pada PRN17 nanti.

Katanya, SAPP pula akan bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana ia juga adalah komponen dalam gabungan parti tempatan Sabah itu.

“Kita masih ‘member’ (ahli) PN dan saya sudah cakap supaya PN tidak bertanding di Sabah pada pilihan raya negeri. Mereka memang marah, Ronald Kiandee (Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee) dan lain-lain, tapi itulah pendirian SAPP. Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 kita sudah umum bahawa SAPP akan bertanding guna lambang GRS, bukan PN. Kali inipun (PRN17) kita sudah maklumkan akan bertanding di bawah GRS, menggunakan lambang GRS,” katanya ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan SAPP 2024

Teck Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik diminta mengulas mengenai hubungan SAPP dengan PN dan halatujunya pada PRN17 nanti. SAPP adalah satu-satunya parti tempatan Sabah yang tidak menarik diri daripada PN selepas kejatuhan kerajaan pimpinan gabungan itu sebelum ini.

Mengenai pendirian SAPP yang menyatakan parti dari Semenanjung yang tidak sepatutnya bertanding pada pilihan raya negeri, beliau berkata perkara itu sudah lama disuarakan. Bagaimanapun, katanya, ia hanya pendirian parti, undang-undang tidak melarang mana-mana parti untuk bertanding atas kemahuan mereka.

“Jadi, rakyat yang akan putuskan siapa mereka pilih. Kita konsisten bahawa parti Semenanjung tidak patut bertanding di Sabah untuk PRN. Namun, undang-undang tidak melarang, jadi tidak perlu marah-marah kerana itu hanya pendirian kita,” katanya.

Kenyataan beliau mengenai perkara itu sebelum ini dikecam parti lawan yang tidak bersetuju dengan larangan parti dari Semenanjung bertanding di Sabah.

Katanya, SAPP melihat kehadiran parti dari Semenanjung sebagai satu bentuk campur tangan kepada urusan negeri walaupun ia digerakkan pemimpin tempatan Sabah sendiri.

Beliau juga menegaskan pendirian SAPP mengenai perkara itu tidak berubah walaupun GRS membuat keputusan bekerjasama dengan parti dari Semenanjung pada PRN17.

Pas tak setuju orang lain tentuka nasib mereka

Mendengar saranan ini, Pas memiliki pendirian keputusan sama ada Pas akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan ditentukan sendiri parti itu bukan pihak lain.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara tersebut hanya akan ditetapkan oleh kepimpinannya.

“Ia (keputusan bertanding atau tidak) bergantung kepada kita yang buat keputusan, bukan mereka yang buat keputusan. Mengenai berapa jumlah kerusi (untuk ditandingi) masih dalam perbincangan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4)

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee supaya Perikatan Nasional (PN) tidak bertanding pada PRN itu akan datang. Abdul Hadi pada Sabtu dilapor berkata, partinya bersedia untuk bertanding di negeri berkenaan.

Sementara itu ditanya kemungkinan akan wujud kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN akan datang, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, perkara itu belum diputuskan.

“Kita akan melihat (gabungan) mana yang lebih baik (untuk bekerjasama pada PRN Sabah),” katanya.

Peluang Pas untuk menang di kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang agak tipis jika tidak bekerjasama dengan parti lain.

Dalam masa yang sama, Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, kekuatan Pas di sana masih belum cukup untuk menandingi parti lain.

“Agak sukar Pas untuk mempunyai potensi menang kerusi di Sabah jika bersendirian kecuali Pas bekerjasama dengan parti lain. (Sebelum ini) Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak menolak untuk bekerjasama dengan parti lain dalam kenyataan baru-baru ini. Ia bermakna kekuatan Pas belum cukup kuat untuk menang kecuali mereka bekerjasama,” katanya

Dalam pada itu, Mohd Izani memaklumkan, penyertaan parti berkenaan dalam PRN Sabah lebih kepada strategi untuk mempromosi Pas kepada pengundi di sana.

Selain Pas ada parti lain tengah hadap kontroversi

Pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) menafikan spekulasi mengenai rancangan parti itu dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk bertanding sendiri pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17). Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata kedua-dua parti itu kekal setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bekerjasama sebagai sebuah gabungan untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.

Katanya, dakwaan kononnya PBS dan STAR bakal bertanding sendiri pada PRN17 adalah usaha terdesak pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab bagi memecah-belah GRS berikutan peningkatan sokongan terhadap parti tempatan untuk terus mengetuai kerajaan.

“PBS dan STAR kekal komited terhadap gabungan tempatan GRS, bekerja bersama sebagai sebuah kesatuan hadapan dalam pertarungan pilihan raya yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan

Kenyataan itu menyusul berikutan satu video tular memaparkan keratan berita yang sudah disunting yang antara lain mendakwa kononnya PBS dan STAR merancang untuk bertanding secara solo.

Ketika ini, PBS dan STAR adalah antara parti yang menganggotai GRS bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *