Dasar-dasar luar Malaysia yang perlu diketahui

f1 min (12)

Hala tuju dasar luar Malaysia perlu dirancang bersesuaian keadaan semasa, terutama selepas pandemik. Dalam konteks teori disiplin hubungan antarabangsa, negara kecil seperti Malaysia tak mempunyai kuasa autonomi penuh dalam menentukan corak dasar luar perlu melihat struktur sistemik antarabangsa. Pembabitan Malaysia memperjuangkan isu negara membangun dan dunia Islam terserlah sehingga kita dikelaskan antara kuasa pertengahan.

Dasar luar Malaysia bukan semata-mata untuk kelangsungan atau berdikari bagi memelihara keselamatan serta kepentingan nasional, tetapi mampu mencorakkan sendiri hala tuju dasar luar bertepatan kehendak dan kepentingan rakyat.

Antara tumpuan utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah pemulihan ekonomi yang bukan sahaja memerlukan langkah dan pakej terbaik pada peringkat domestik, bahkan pada peringkat global. Isu ekonomi memerlukan pembabitan aktif dan berdaya saing pada peringkat global.

Beberapa hal asas tentang hubungan luar yang perlu diketahui

Malaysia akan terus melaksanakan dasar luar yang bebas, berprinsip dan pragmatik serta berasaskan nilai-nilai keamanan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan. Teras utama dasar luar Malaysia adalah melindungi kedaulatan dan kepentingan negara serta untuk menyumbang secara bermakna ke arah masyarakat dunia yang adil dan saksama melalui perhubungan diplomasi yang efektif.

Dasar luar Malaysia dipengaruhi dan dibentuk oleh tiga faktor utama iaitu lokasi Malaysia yang strategik di Asia Tenggara, ciri-ciri Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan dan demografi penduduk yang unik. Prinsip asas dasar luar Malaysia masih kekal sejak kemerdekaan walaupun pendekatan kepada pelaksanaan dasar luar berubah berdasarkan faktor domestik dan faktor luaran semasa. Penggubalan dasar luar sentiasa berpandukan kredibiliti, konsistensi dan kepaduan yang telah bertindak memelihara kepentingan negara.

image
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim

Keutamaan terus diberikan kepada ASEAN yang merupakan teras kepada dasar luar Malaysia. Penubuhan Komuniti ASEAN pada 2015 telah mempertingkatkan pendekatan dan penglibatan Malaysia dalam hubungan kerjasama serantau. Pengukuhan aspek-aspek hubungan dua hala dan pelbagai hala antara Malaysia dan dunia sejagat akan terus menjadi fokus penting. Kesejahteraan negara adalah berasaskan hubungan mesra dan kukuh dengan negara-negara lain beserta komitmen negara terhadap sistem pelbagai hala.

Malaysia terus mempromosi dasar luar yang pragmatik dan berwawasan supaya dapat memudahkan perdagangan, menarik pelaburan asing serta memacu Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dan aman. Malaysia akan terus berusaha untuk menggalakkan kesederhanaan melalui inisiatif Global Movement of the Moderates (GMM) dan berusaha untuk menyumbang secara positif ke arah penyelesaian konflik secara aman di serata dunia.

Sebagai anggota PBB, Malaysia komited sepenuhnya dalam mewujudkan keamanan, keselamatan dan kemakmuran melalui hubungan pelbagai hala. Sumbangan Malaysia dalam operasi pengaman di bawah PBB adalah testimoni dedikasi negara dalam melaksanakan mandat daripada masyarakat antarabangsa dalam mewujudkan keamanan dan keselamatan global.

Malaysia akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan dan usaha ke arah mencari penyelesaian secara aman kepada pelbagai isu-isu global melalui platform PBB dan forum antarabangsa. Malaysia berpegang teguh dengan prinsip penglibatan bersama dan kerjasama serta menolak sikap pemencilan dan tindakan secara unilateral.

Dari segi kerjasama teknikal dengan negara-negara membangun yang lain, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara lain melalui perkongsian pengalaman dan pengetahuan melalui pelbagai mekanisme dasar luar negara. Ini termasuklah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan melalui pautan seperti Dialog Antarabangsa Langkawi (LID), bantuan kemanusiaan dua hala serta melalui program-program diplomasi awam.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam yang ramai, Malaysia juga memberi kepentingan kepada perpaduan Ummah dan semangat kerjasama di kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

b8afc390 1079 402c 9ffc 92598d8f3da1
Setiausaha Agung OIC dan PM

Status Malaysia sebagai sebuah negara membangun adalah penting bagi Malaysia untuk melibatkan diri secara aktif dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Komanwel, Kumpulan G77 (G77), Kumpulan 8 Negara Membangun (D8), Dialog Asia-Timur Tengah (AMED), Forum Kerjasama Asia Timur-Amerika Latin (FEALAC), Persatuan Lingkaran Lautan Hindi (IORA), Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Melalui pertubuhan-pertubuhan ini, Malaysia telah berusaha untuk menggalakkan Kerjasama Selatan-Selatan di kalangan negara-negara membangun dan dunia Islam. Malaysia juga menyokong dasar “memakmurkan jiran” untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama ekonomi dengan negara-negara jiran melalui rangka kerja seperti Brunei-Indonesia-Malaysia-the Phillippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA), Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMTGT) dan entiti lain.

Selaras dengan objektif mempromosi dan melindungi kepentingan Malaysia di luar negara, sejumlah 110 perwakilan diplomatik di 84 buah negara serta sebuah pejabat persahabatan dan perdagangan telah ditubuhkan. Perwakilan diplomatik Malaysia di luar negara terdiri daripada Kedutaan Besar, Suruhanjaya Tinggi serta pejabat-pejabat Konsulat Jeneral dan Konsulat.

Hubungan luar Malaysia akan membantu masa hadapan negara

Dalam menghadapi persekitaran global yang kompleks serta hubungan antarabangsa yang semakin berkembang. Pendirian Malaysia akan terus berpandukan prinsip-prinsip menghormati kemerdekaan, kedaulatan, keutuhan wilayah dan sikap tidak mencampuri urusan negara lain, penyelesaian masalah secara aman, kewujudan bersama secara harmoni dan hubungan yang saling memanfaatkan. Semua kerjasama di peringkat global akan memastikan Malaysia memiliki masa hadapan yang lebih baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *