PAS harus hati-hati label orang lain kafir

f1 min (5)

Senator MCA, Ti Lian Ker meragui kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa Perikatan Nasional (PN) akan memelihara kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam usaha menarik sokongan orang bukan Islam.

Dalam satu kenyataan, Ti berkata adalah lebih baik Abdul Hadi minta ahli-ahli PAS agar berhenti merujuk orang bukan Islam sebagai ‘kafir’.

“Hadi dah banyak kali bercakap sehingga Gerakan tidak mampu meyakinkan orang bukan Islam untuk mengundi PAS. Kata-kata “bersalut gula” terbaru untuk menegakkan kebebasan beragama dan keadilan tidak akan memadamkan memori orang bukan Islam mengenai Hadi yang memburukkan mereka, memanggil mereka “kafir,” dan juga menjenamakan Umno sebagai kafir kerana bekerjasama dengan MCA, MIC dan lain-lain.

“Adalah malang bagi Gerakan! Mereka bakal memikul tugas yang berat,” kata Ti.

Dia berkata golongan sederhana dalam PAS boleh menunjukkan sikap progresif mereka dengan menghalang rakan seperjuangan mereka menggelar orang bukan Islam di Malaysia atau orang yang tidak mengikut Islam sebagai “kafir”.

“Perkataan ini digunakan berkali-kali dengan cara yang merendahkan dalam saat-saat keterlaluan atau untuk merasa diri lebih baik. Selalunya, nada atau cara yang digunakan dianggap kasar dan bertujuan untuk menyinggung perasaan.

“Di sesetengah negeri, perkataan kafir dianggap sebagai penghinaan perkauman, digunakan secara merendahkan atau menyinggung perasaan,” tambahnya.

“Secara peribadi, saya tak akan merujuk diri saya sendiri atau mahu dirujuk sebagai “Kafir” kerana saya bukan kafir. Saya memiliki kepercayaan saya dan adalah warganegara di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Perlembagaan kita adalah undang-undang tertinggi negara,” kata bekas naib presiden MCA itu.

Ti berkata, parti lain yang didominasi umat Islam, seperti Umno, Bersatu atau Amanah tak menyelar orang bukan Islam dan melabel orang bukan Islam seperti yang dilakukan PAS.

Pada muktamar PAS ke-69, Abdul Hadi dilapor mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam setelah berjaya menguasai sokongan Melayu.

“Kita sudah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu Islam dalam PRU15, maka usaha yang penting dan berat yang mesti dilakukan adalah menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu dalam PRU16,” katanya.

Menurutnya, PAS akan terus memelihara kebebasan beragama dan memastikan keadilan, seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Tuan Ibrahim kata DAP kena belajar maksud kafir

DAP disaran belajar maksud sebenar kafir kerana ia bukan berkait bahasa sebaliknya melibatkan soal akidah, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Konsep kafir ini, saya nampak ada silap faham, bila sebut istilah kafir itu macam benda yang jijik, kotor, jahat, bukan…kafir maknanya menutupi kebenaran, maka Islam datang membuka kebenaran tapi tidak memaksa orang masuk Islam.

“Jadi saya rasa benda ini kena bagi penjelasan, bahawa ada orang kafir baik dengan Islam, tapi dia tetap kafir. Kafir maksudnya bukan Islam, kafir ini istilah akidah, bukan istilah bahasa, bukan budaya tapi akidah,” katanya dalam sidang media di Muktamar PAS.

Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang meminta pimpinan PAS berhenti memanggil bukan Muslim sebagai kafir kerana perkataan itu memberi persepsi buruk kepada kaum lain, selain mendatangkan kesan buruk dan mengganggu keharmonian masyarakat majmuk.

Selain itu, Lim turut menggesa PAS dan Presidennya, Hadi Awang menerima Malaysia sebagai negara sekular yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dalam usaha meraih sokongan masyarakat bukan Islam.

Mengulas perkara itu, Tuan Ibrahim menolak cadangan tersebut sambil menegaskan Malaysia bukan negara sekular, seperti yang mahu diperjuangkan DAP.

“Malaysia bukan negara sekular, kalau Malaysia negara sekular, apa perlu DAP masukkan dalam manifesto dia perjuangkan sebuah negara sekular. Jadi dengan manifesto itu mengesahkan bahawa Malaysia bukan negara sekular, itu manifesto DAP sendiri.

“Tonggak asas dalam pembentukan negara kita termasuk Islam sebagai agama rasmi, kedudukan raja Melayu, bahasa Melayu bahasa rasmi, serta hak istimewa orang Melayu. Itu tonggak asas…tak boleh disentuh, sebarang usaha nak sentuh ia akan timbul polemik, sebab tu kita terima asas itu dan pertahankan,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim memaklumkan “State Government 4” atau SG4 akan menubuhkan jawatankuasa membincangkan isu berkait eksport unsur nadir bumi (REE).

“Kita dapati perlu wujud segera pakar dalam bidang REE. Memang tak cukup, sekarang hampir semua negeri ada REE. Kalau kita tak ada kepakaran, (kita tak tahu) nilai sebenar (REE) itu,” katanya.

Orang Islam yang tak undi PAS bukan kafir

Pemimpin-pemimpin Pas digesa mengeluarkan kenyataan yang jelas bahawa seseorang muslim tidak jatuh kafir sekiranya mengundi calon selain parti tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kepimpinan Pas perlu mengeluarkan kenyataan bagi menjernihkan ahli-ahli di bawah bahawa tak jatuh kafir atau rosak aqidah seseorang apabila mengundi mana-mana parti dalam pilihan raya kali ini.

“Ini penting bagi mengelakkan pertelingkahan dan perbalahan yang membawa kepada kafir-mengkafir sehingga meleraikan ikatan ukhuwwah Islamiah.

“Sesungguhnya berbeza parti hanyalah dari segi ijtihad dan pendekatan politik bukannya perbezaan aqidah serta pegangan agama seseorang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan seorang warga emas menyatakan bahawa sekiranya beliau mengundi UMNO dirinya akan ‘kafir sampai kiamat’.

Klip video tersebut menerima pelbagai reaksi daripada ramai pihak terutama penyokong-penyokong UMNO.

Asyraf Wajdi berkata, video tersebut menunjukkan masih ada ahli yang terlalu fanatik di peringkat akar umbi akibat terpengaruh dengan kepimpinan yang dahulunya menanam satu ideologi dan doktrin mengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan jatuh akidah, kafir serta masuk neraka.

“Kita harus bedakan antara Islam dan parti. Islam adalah agama, Pas adalah parti politik. Dua perkara yang berbeza. Tidak menyertai Pas, tidak mengundi Pas tidak sesekali menjatuhkan kekufuran kita.

“Tidak mengundi UMNO pun tidak menjatuhkan kekufuran kita kerana Islam adalah lebih tinggi daripada parti politik. Walaupun politik merupakan sebahagian daripada agama,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *