Sejak dari awal perlaksanaan PKP dulu, banyak kali isu kebenaran pulang untuk para penuntut IPT ni diangkat. Masa tu jugak, ramai yang kecewa dengan Menteri Tik Tok sebab dilihat tak peduli dengan kebajikan mahasiswa.
Dalam tempoh fasa lalu, ramai jugak yang tak setuju mahasiswa pulang. Kalau boleh, sekurang-kurangnya pergerakan pelajar tu dipantau ketat supaya elak penularan wabak tu berlaku di sekitar kampung mereka pula. Akhirnya kerajaan dengar suara mahasiswa yang nak pulang ke rumah, tapi ada syarat ye…
Boleh pulang bermula 27 April, tapi hanya untuk destinasi zon hijau
Buat masa ni, kerajaan tak benarkan penuntut IPT yang nak pulang ke kawasan zon merah dan kuning. Hanya mereka yang nak menuju ke zon hijau je dibenarkan pulang. Ibu bapa tak dibenarkan ambil dari kawasan kampus, dan hanya IPT je boleh urus perjalanan penuntut IPT hinggalah sampai ke rumah.
Mereka akan pulang menaiki bas, dengan kapasiti penumpang dihadkan separuh bagi memastikan penjarakkan sosial. Waktu perjalanan pula dihadkan dari 9 malam hingga 9 pagi, supaya lebih terkawal dan tidak melibatkan pergerakan besar-besaran.
Mana-mana penuntut IPT yang ada kereta tu pun cuma dapat kebenaran keluar dari kampus jika menuju ke kawasan zon hijau dan tak memandu merentas negeri. Selain tu, mereka kena bergerak seorang diri je. Tak boleh bawa tumpang kawan lain. Kalau destinasi korang memerlukan korang untuk merentas negeri, maka korang terpaksalah naik bas yang disediakan IPT masing-masing.
Jika korang nak pulang ke rumah keluarga yang berada di zon hijau, haa tu boleh. Kata Menteri Kanan, Ismail Sabri:
“Untuk peringkat awal ini kita benarkan dari universiti ke zon hijau, tapi dari universiti nak balik ke zon merah kita tidak benar. Yang mana mereka tinggal di rumah sewa zon merah nak pulang ke zon hijau juga tidak dibenarkan.
Bagaimanapun kita sedang berbincang, bagaimana nak memudahkan pelajar, sebagai contoh mungkin pelajar boleh pulang ke rumah ahli keluarga yang lain berada di zon hijau seperti rumah kakak atau abang, mereka boleh buat pilihan,”- seperti yang dilaporkan oleh FMT pada 24 April
Penuntut IPT dari Semenanjung ke Borneo kena kuarantin 14 hari dulu sebelum boleh pulang ke kampung halaman
Nampaknya panjang lagi perjalanan penuntut IPT yang nak pulang ke kampung halaman masing-masing khususnya untuk para penuntut yang kena merentas Laut China Selatan ni. Untuk kawal pergerakan, kerajaan akan sediakan penerbangan untuk para penuntut IPT yang nak balik kampung.
Maksudnya, korang tak dibenarkan pilih tiket sendiri ke apa… hanya pihak IPT dan kerajaan je boleh belikan korang tiket serta akan diselia pergerakan tersebut sepanjang perjalanan termasuklah di lapangan terbang nanti. Kalau dah sampai, agensi kerajaan akan digerakkan untuk ambil korang dan hantar ke rumah.
“Berdasarkan SOP ditetapkan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, pelajar dari Semenanjung akan dikuarantin wajib selama 14 hari sebelum boleh pulang ke rumah masing-masing,”- Ismail Sabri, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 24 April
Untuk penuntut yang terpaksa batalkan niat nak pulang, KPT masih lagi akan tanggung makan minum sepertimana dalam fasa-fasa lalu. Namun begitu, pergerakan pulang ni tak bermakna tempoh pengajian tu dah tamat ye macam program Matrikulasi sesi 2019/2020.
Memandangkan pengajaran semester ni dijalankan secara dalam talian, maka para penuntut masih boleh ikuti pengajian tersebut selagi takde kekangan internet kat rumah.
IPT kena perjelas SOP secara terperinci manakala KPT kena main peranan, jangan jadi macam dulu
Walaupun garis panduan KPT tu sama je untuk setiap IPT, namun komposisi para pelajar yang datang dari pelbagai tempat adalah berlainan dari satu IPT ke IPT yang lain. SOP yang lebih jelas dan terperinci seharusnya direka oleh pihak IPT sendiri, termasuklah cara nak proses permohonan tersebut.
Kalau penuntut yang masih tinggal dalam kampus, ia agak mudah untuk diselia. Berbeza pulak dengan mereka yang berstatus bukan residen (non-resident) terutamanya untuk para penuntut IPT yang menyewa di luar dan yang tengah jalani latihan industri. Kadangkala komunikasi dengan penuntut non-resident (NR) ni tak sampai sangat. Oleh demikian, komunikasi dan ketersampaian maklumat pun penting jugak.
Salah satu kegagalan yang jelas dalam komunikasi adalah ketika di awal perlaksanaan PKP, ramai membanjiri balai polis hanya kerana nak permit untuk balik kampung. Ada yang kata sebahagian daripada kelompok yang setia tunggu tu adalah kelompok mahasiswa yang nak pulang, disebabkan ada dakwa IPT yang suruh kosongkan kediaman pulak.
Oleh tu, KPT dan IPT kena berganding bahu untuk urus perjalanan penuntut universiti dengan lebih teratur dan kemas lagi-lagi apabila ia dah melibatkan pergerakan antara dua kawasan iaitu antara Malaysia Barat dengan Malaysia Timur.