Barisan Nasional (BN) yang mendominasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ketika ini tak akan serahkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kepada Pakatan Harapan (PH) termasuk cadangan pembahagian kerusi 14 BN dan 14 PH. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, semasa rundingan menjelang PRN lalu, PH sukar untuk bersetuju memberikan kerusi yang dimenangi parti komponennya kepada BN.
“Kali ini, senang-senang sahaja mereka mahu kerusi yang telah kami menangi. BN tidak akan sama sekali menyerahkannya kepada PH. Jika tetap mahu, kita bertanding sahaja di tempat yang sama. Mudah. Untuk beri kepada kamu, tidak sama sekali dan boleh teruskan bermimpi,” katanya
Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar berbahasa Cina bertajuk ‘Sembilan Cawangan DAP Melaka Meluluskan Resolusi Strategi 14 BN 14 PH pada PRN Melaka Akan Datang’. Difahamkan, sembilan cawangan berkenaan ialah Bukit Beruang, Ayer Keroh, Kampung Baru Ayer Keroh, Merdeka Jaya, Sunshine, Taman Muzaffar Shah, Bukit Beruang Indah, Kubu dan Taman Kerjasama.

Dalam kenyataan bersama, semua cawangan itu menyatakan sokongan supaya BN dan PH masing-masing bertanding 14 daripada 28 kerusi DUN di Melaka, selaras dengan semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Usul tersebut dikatakan bertujuan untuk memperkukuh mandat rakyat dan memastikan wakil rakyat terpilih benar-benar mencerminkan kehendak pengundi, sekali gus mengukuhkan kestabilan politik serta kesinambungan dasar di peringkat negeri dan pusat.
Buat masa ini Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dengan 21 dimenangi BN, lima dimenangi PH dan dua lagi oleh Perikatan Nasional (PN). PRN Melaka dijangka diadakan selewat-lewatnya November tahun hadapan.
Pada pandangan DAP ini cuma cadangan, takde paksaan pun
DAP Melaka menegaskan bahawa cadangan pembahagian kerusi 14-14 antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanyalah usul yang dibincangkan dan diluluskan pada peringkat cawangan sahaja, bukannya di peringkat negeri.
Setiausaha Publisiti DAP Melaka, Kerk Chee Yee berkata, tiada sebarang rundingan rasmi mengenai pembahagian kerusi dijalankan setakat ini, kerana perkara tersebut biasanya diuruskan oleh kepimpinan tertinggi parti melalui perbincangan antara parti komponen. Menurutnya, cadangan pembahagian kerusi itu dibuat berdasarkan prestasi PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang menunjukkan sokongan kuat pengundi di Melaka.

“Saya sendiri hadir di mesyuarat agung tahunan (AGM) sembilan cawangan itu di mana usul tersebut dibincangkan dan diluluskan. DAP Melaka menghormati pandangan akar umbi kami dan kami meraikan hak demokrasi serta kebebasan bersuara masing-masing,” katanya
Chee Yee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh berkata, sekiranya Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak setuju dengan cadangan ini, beliau juga boleh buat usul berkenaan dalam AGM cawangan beliau.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan Barisan Nasional (BN) yang mendominasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ketika ini tidak akan menyerahkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kepada PH termasuk cadangan pembahagian kerusi 14 BN dan 14 PH.
Dalam kenyataan bersama, semua cawangan itu menyatakan sokongan supaya BN dan PH masing-masing bertanding 14 daripada 28 kerusi DUN di Melaka, selaras dengan semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Usul tersebut dikatakan bertujuan untuk memperkukuh mandat rakyat dan memastikan wakil rakyat terpilih benar-benar mencerminkan kehendak pengundi, sekali gus mengukuhkan kestabilan politik serta kesinambungan dasar di peringkat negeri dan pusat.
Pada pandangan Amanah pula, Dr Akmal tak patut cakap macam tu
Pemuda Amanah Nasional menyelar tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menolak cadangan agihan kerusi 14-14 dalam kerajaan campuran negeri Melaka. Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak mencerminkan semangat muafakat dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kenyataan Dr Akmal bersifat angkuh dan tidak sensitif terhadap usaha memperkukuh kestabilan politik demi kepentingan rakyat negeri ini. Formula 14-14 adalah cadangan adil yang mencerminkan semangat setiakawan serta kesamarataan antara parti-parti komponen kerajaan, khususnya antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) di Melaka. Sebarang cubaan untuk mendominasi atau meminggirkan rakan kongsi bukan sahaja akan mencetuskan ketegangan dalaman, malah boleh menggugat kestabilan kerajaan yang sedang dibina bersama,” katanya
Fadhli turut mengingatkan peranan besar penyokong PH yang membantu kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.
“Jangan dilupa bagaimana undi teras daripada penyokong PH banyak membantu kemenangan calon BN di DUN Mahkota dan Ayer Kuning. Ini jelas membuktikan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan tidak boleh berteraskan penguasaan sebelah pihak, sebaliknya perlu dibina atas asas persefahaman dan idealisme bersama. Politik ego perlu dibuang. Sayap Pemuda bukan medan angkuh, tetapi ruang membina negara dengan jiwa besar.
AMK berpandangan bahawa jangan bagi BN apa-apa kerusi dekat Selangor
Barisan Nasional (BN) tidak layak memperoleh kerusi dengan bilangan tiga kali ganda lebih banyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor lalu jika formula enggan menyerahkan mana-mana kerusi dimenangi kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang dijadikan asas rundingan.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, kenyataan tegas dibuat Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh itu seolah-olah mencerminkan keengganan pihaknya untuk mengambil kira prestasi semasa iaitu salah satu faktor penting yang patut dijadikan asas.
Beliau berkata, ia termasuk keputusan pilihan raya pasca PRN Melaka, kekuatan jentera, penerimaan rakyat setempat dan potensi kemenangan dalam menentukan agihan kerusi.
“Lebih parah lagi, BN mungkin tidak layak menerima walau satu kerusi pun dalam agihan PRN Selangor dan Pulau Pinang yang lalu. Ini memandangkan tiada kerusi dimenangi mereka dalam Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri tersebut jika mahu dinilai prestasi pilihan raya terkini sekiranya formula beliau diguna pakai. Pendekatan keras dan bersifat dominasi seperti ini langsung tidak menambah nilai terhadap mana-mana perbincangan politik, apatah lagi usaha membina muafakat dalam Kerajaan Perpaduan,“ katanya