Pemilihan Cabang Keadilan 2025 yang menjadi perbincangan hangat

f1

Beberapa perkara yang berlaku sepanjang pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 peringkat Cabang yang berakhir hujung minggu lalu merisaukan banyak pihak. Antaranya, kata Timbalan Ketua Penerangan Keadilan Pusat, Razeef Rakimin, jumlah undi melibatkan ketua cabang yang seolah-olah tertukar antara kumpulan berbeza.

Selain itu, tambah Ketua Penerangan Keadilan Sabah itu, terdapat keputusan yang sangat lewat sehingga mengambil masa sehari.

Turut merisaukan kekalahan beberapa nama besar berjawatan menteri, timbalan menteri, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan orang-orang besar lain yang menambah kekhuatiran berlakunya manipulasi undi.

“Memang bagi sistem baharu akan ada kekurangan namun bagi sistem yang mempunyai sekuriti kukuh seperti Blockchain adalah mustahil untuk ditembusi. Maka amat mustahil berlaku manipulasi undi. Mungkin berlaku sedikit kesilapan dalam sistem yang pasti boleh diperbetulkan. Bagaimanapun, pihak JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) telah membuka ruang bantahan.

whatsapp image 2025 04 14 at 15.21.23
Razeef. Via Malaysia Gazzete

“Maka setiap anggota perlu membuat bantahan melalui saluran yang betul tanpa perlu mengambil tindakan yang mencalarkan nama parti,” katanya dalam kenyataan

Sementara itu, Razeef berkata, keputusan pemilihan cabang yang berakhir semalam juga masih belum dikira sah selagi tidak disahkan peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR. Jelasnya, JPP juga telah membuka ruang bantahan kepada semua calon jika ada permasalahan dengan bukti kukuh.

“Bagi saya masalah ini boleh diselesaikan peringkat dalaman tanpa perlu menghentam parti di media dan menuduh JPP terlibat manipulasi undi,” katanya.

Kepada pandangan seoalah-olah sistem pengundian diceroboh untuk menguburkan calon kem Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, Razeef berpandangan, masih ramai ketua cabang yang dilihat pro-Rafizi menang pada pemilihan kali ini. Dalam masa sama, ujar beliau, beberapa ketua cabang yang dikatakan pro kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga ada yang tewas pada pemilihan kali ini.

“Perkara ini sekaligus menafikan ada unsur sabotaj cuba menjatuhkan kem Rafizi,” katanya.

Sementara itu, Razeef yang juga Ketua Cabang PKR Tuaran berharap mesyuarat MPP esok akan berlangsung dalam suasana harmoni dan sebarang permasalah melibatkan pemilihan PKR dapat diselesaikan.

“Soal pemilihan ini perlu diselesaikan segera memandangkan parti akan mengadakan Kongres Nasional Keadilan dan seterusnya kembali fokus kepada persediaan Pilihanraya Negeri Sabah yang dijangka berlangsung dalam dua hingga enam bulan lagi,” katanya.

Beberapa cabang berkemungkinan akan mengadakan pemilihan semula

Pemilihan Keadilan (PKR) 2025 kemungkinan besar akan menyaksikan beberapa pemilihan semula peringkat Cabang atas pelbagai alasan dikemukakan oleh rata-rata calon kalah baru-baru ini.

Seorang sumber tertinggi parti yang enggan namanya disebut mendedahkan, setakat ini sekurang-kurangnya sebanyak tiga cabang akan berdepan pemilihan semula dalam kalangan Ketua Cabang. Kata sumber itu, antara cabang itu termasuklah Selayang, Jempol dan Silam.

“Bagi cabang Selayang, Selangor ini memang ada isu. Difahamkan yang menang ini berdepan isu perundangan yang masih belum selesai. Selain itu, adanya aduan tentang kiraan undi oleh salah satu calon yang juga Adun Rawang, Chua Wei Kiat. Jadi permohonan untuk pemilihan semula diadakan bagi peringkat ini,” katanya

pemilihan pkr kedah

Selain itu, difahamkan bagi Jempol pula, salah seorang calon bertanding di cabang Jempol, Negeri Sembilan yang juga Setiausaha Politik Pejabat Presiden PKR, Manivanan Gowin pula tampil membuat aduan bagi pemilihan semula atas alasan ‘angka’ tidak masuk akal.

“Bagi cabang Silam, Lahad Datu pula, Jawatankuasa pemilihan membuat keputusan untuk memberikan peluang bagi pemilihan semula kerana salah seorang calon yang sepatutnya bertanding sudah meninggal dunia nama beliau masih dalam sistem.

“Kekeliruan ini menyebabkan ada pengundi juga mengundi calon meninggal ini. Tarikh akan diumumkan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) semalam juga difahamkan sedikit ‘tegang’ kerana adanya pihak-pihak tidak berpuas hati dengan pemilihan peringkat cabang baru-baru namun pada masa sama isu-isu berbangkit diselesaikan dengan baik.

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Saleh juga mendedahkan mesyuarat MPP semalam tadi berjalan dengan baik dengan semangat ‘comradeship’ dan setiakawan yang tinggi dalam kalangan ahli MPP yang mana beberapa perkara berhubung isu keanggotaan, disiplin parti, Pemilihan 2025 dan Kongres Nasional 2025 telah dibincangkan.

Nik Nazmi rujuk JPP berhubung isu pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad akan merujuk Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung keputusan pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa pada Pemilihan PKR 2025.

Beliau mengakui bahawa proses pemilihan yang telus dan adil adalah asas kekuatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti reformasi.

“Namun, kami percaya terdapat beberapa isu yang wajar dibangkitkan dan akan menggunakan saluran serta proses parti yang sewajarnya untuk menyuarakan perkara tersebut.

“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan pemilihan parti dijalankan dengan integriti dan keadilan,” katanya

Pada pemilihan berkenaan Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan tersebut apabila kalah kepada pencabarnya, Datuk Afdlin Shauki. Afdlin yang juga pelakon dan pengarah filem terkenal memperoleh sebanyak 631 undi manakala Nik Nazmi yang juga Naib Presiden PKR, meraih 563 undi.

Dalam hantaran sama, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua yang menyokongnya termasuk jentera dan ahli parti yang berjuang bersamanya sepanjang kempen berlansung.

“Sokongan anda semua amat saya hargai dan akan terus menjadi kekuatan saya dalam meneruskan perjuangan reformasi. Kami akan membiarkan proses rayuan berjalan mengikut peraturan dan ruang yang ditetapkan oleh parti. Saya kekal komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan perjuangan Keadilan di semua peringkat,” katanya.

Beberapa cabang akan melakukan undian semula kerana ada masalah

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR mengesahkan undian semula akan diadakan untuk tiga cabang – iaitu Selayang, Jempol dan Silam – sebelum Kongres Nasional bulan depan.

Pengarah JPP PKR Dr Zaliha Mustafa berkata undian semula hanya akan melibatkan “keputusan kecil” beberapa cabang.

“Nanti saya akan keluarkan notis. Notis dalaman kepada cabang-cabang itu,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Putrajaya.

screenshot 2025 05 01 115235
Via MalaysiaKini

Pemilihan peringkat cabang yang baru sahaja selesai melibatkan pemilihan pemimpin utama cabang serta kepimpinan sayap Angkatan Muda dan Wanita peringkat cabang bagi penggal 2025-2028.

Ditanya berkenaan jumlah aduan dan rayuan yang dibuat kepada JPP, Zaliha tidak menyatakan jumlahnya secara spesifik dan sebaliknya berkata,” dari sudut aduan, memang sangat kurang daripada apa yang diterima semasa pemilihan sebelum ini.”

“(Sebelum ini) sampai ribuan, sekarang beberapa ratus sahaja. Bantahan ada beberapa peringkat – pencalonan, kempen dan keputusan. Ini semua kita akan lihat satu-persatu. Sebahagian besar kita sudah ambil tindakan dan insyaAllah kita akan lihat dengan terperinci aduan yang dibuat secara rasmi kepada JPP,” katanya lagi.

Zaliha turut mengesahkan jawatankuasa yang mengandalikan aduan dan bantahan belum membuat keputusan muktamad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *