Bagi mereka yang masih ingat, November lepas, seorang individu dikatakan telah muat naik video berkaitan 13 Mei dicekup polis. Polis menahan seorang pempengaruh media sosial, Zulfadzli Halim atas dakwaan memuat naik kenyataan hasutan di media sosial. Menurut polis, Zulfadzli, memuat naik video yang didakwa mempunyai unsur perkauman yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
Dalam kenyataan media, setiausaha polis Noorsiah Mohd Saaduddin berkata bahawa Zulfadli disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia. Zulfadzli, yang menulis untuk portal The Malaysian Insight, dalam ciapan menerusi Twitter berkata bahawa dia tidak jelas video mana yang dirujuk polis tetapi katanya dia diberitahu ia disebabkan kandungan yang memfitnah Agong.
Untuk rekod, saya menghormati Agong sepenuhnya sehingga saya sentiasa menggunakan gelaran penuh ‘YDPA’. Saya tidak diberitahu tweet mana yang dikatakan memfitnah YDPA,” katanya, menggunakan singkatan kepada Yang di-Pertuan Agong. Saya juga ingin tahu. Berani kerana benar,” katanya.
Walaupun tidak jelas bilakah dia “memburukkan Agong”, semakan Malaysiakini mendapati pada 21 Nov dia menimbulkan kebimbangan mengenai kandungan menghasut di platform media sosial TikTok.
Dia menunjukkan bukti bahawa pengguna TikTok memberi amaran rusuhan kaum 13 Mei 1969 boleh berulang. Dalam ciapannya, Zulfadzli berkongsi bagaimana beberapa video, termasuk adegan mengacung senjata seperti keris. Dia menambah bahawa telah melaporkan video itu kepada TikTok, tetapi masih banyak yang tak dipadam, walaupun selepas dua jam.
Pada 20 Nov, dia berkongsi satu lagi video pemimpin DAP dituduh anti-Melayu, sebagai bukti bagaimana DAP diburuk-burukkan dalam kalangan masyarakat Melayu. Malaysiakini sebelum ini melaporkan penularan klip-klip menghasut di TikTok yang mengancam keganasan antara etnik, sejurus selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-15 pada 19 Nov.
Sehingga hari ini, dia tidak tahu apa status kes ini
Menurut laporan MalaysiaKini, Zulfadzli Halim memohon pemimpin negara untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kesnya, dengan mendakwa bahawa pihak berkuasa tidak menghiraukannya. Macam yang kami katakan tadi, Zulfadzli menghantar ciapan mengenai penemuan dan kebimbangannya bahawa ucapan kebencian dan kandungan provokasi bermotifkan perkauman – termasuk ancaman rusuhan 13 Mei 1969 akan berulang – tersebar di platform media sosial.
Paparan dan rakaman skrin yang diambil olehnya dan netizen lain membawa kepada penemuan bahawa sekurang-kurangnya tiga daripada kandungan provokatif di TikTok itu adalah berbayar. Apa yang mengejutkan kami, polis bertindak ke atas Zulfadzli dan menyiasatnya bawah Akta Hasutan – atas tuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Dia menafikan melakukan sedemikian dan mencabar bahawa polis tak dapat menentukan ciapannya yang mana yang menghina Seri Paduka Baginda. Zulfadzli berkata bahawa sehingga hari ini akaun TikTok yang ditandakannya kerana menyiarkan kandungan berbahaya masih beroperasi.
Malangnya, kes ini masih belum selesai dan menjejaskan mata pencariannya. Zulfadzli berkata pegawai penyiasat, yang memaklumkan kes itu akan dirujuk kepada peguam negara, hanya berdiam diri. Usaha menghubungi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh dan pembantu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail juga tidak berjaya, tambahnya.
Setelah kehabisan pilihan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kesnya, Zulfadzli memohon bantuan Anwar.
“Saya dah buntu. Nak ikut saluran yang betul, entah apa saluran lagi. Sementara YAB DS @anwaribrahim sedang mendengar ni, saya mohon jasa baik untuk bantu. Bukan apa, untuk kembali bekerja saya perlu masuk ke fasiliti berisiko tinggi yang perlukan kebenaran KDN,” katanya
Zulfadzli – yang diberhentikan semasa pandemik Covid-19 – melahirkan kebimbangannya sekiranya kes itu masih belum selesai, ia akan menyukarkannya untuk mendapatkan pekerjaan baharu dalam industri penerbangan dan menyara keluarganya.
Dia mahu kesnya ditutup supaya dia boleh meneruskan kehidupannya.
“Saya tak minta yang pelik-pelik, saya minta ikut proses dan ingin tahu apa status kes saya ini. Kalau betul ada kes dan saya tak lepas vetting KDN, saya pun tak mau buang masa mohon kerja aviation. Jual rojak buah tepi jalan sajalah. Saya memang pandai buat kuah rojak. Insya-Allah sedap,” katanya lagi.
Mengimbas kembali tindakan polis terhadapnya, Zulfadzli berkata dia dalam perjalanan ke Padang Serai untuk hari penamaan calon apabila rumahnya diserbu pada jam 11 malam. Di sebalik dimaklumkan bahawa dia tiada di rumah, katanya, anggota polis tetap menggeledah seluruh rumah, termasuk bilik tidur anak perempuannya, dan menyelongkar almari untuk melihat jika dia ada bersembunyi.
Apabila polis akhirnya menghubunginya, dia bersetuju untuk berjumpa mereka dengan segera dan membuat perjalanan ke ibu pejabat polis daerah Ampang. Dia tiba kira-kira jam 1 pagi.
“Sepanjang pagi tiada apa soalan, melainkan mereka tanya tweet mana yang menyebabkan saya dilaporkan dan telefon saya dirampas untuk bantu siasatan,” katanya.
Zulfadzli menambah, dia menghabiskan masa selama tiga malam di lokap polis, tetapi hanya dua jam untuk proses dan disoal siasat polis.