Seseorang pegawai awam adalah tertakluk kepada Surat Aku Janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam subperaturan 20(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 (P.U. (A) 1/2012).
Jabatan Peguam Negara memaklumkan, berdasarkan Surat Aku Janji itu, setiap pegawai awam bertanggungjawab mematuhi segala peraturan, termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U. (A) 395/1993), Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan kerajaan.
Merujuk kepada kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengenai larangan terhadap penyertaan pegawai awam dalam perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini, jabatan itu menyatakan, berdasarkan P.U. (A) 1/2012 dan P.U. (A) 395/1993, seorang pegawai awam, antara lain, pada setiap masa hendaklah memberikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.
Selain itu, tidak berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam dan tidak boleh membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama kerajaan.
“Justeru, sebarang kegagalan mematuhi P.U. (A) 1/2012, P.U. (A) 395/1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan kerajaan boleh menyebabkan tindakan tatatertib diambil ke atas pegawai awam di bawah P.U. (A) 395/1993,” katanya dalam kenyataan
Shamsul Azri mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai himpunan dianjurkan pembangkang yang dijadualkan 26 Julai ini dan perlu patuh dengan ikrar yang termaktub dalam Rukun Negara.
Pada masa sama, Jabatan Peguam Negara menegaskan, walaupun Perkara 10(1)(a) dan 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak kepada setiap warganegara untuk bercakap dan bersuara, serta hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata, namun hak itu tidak bersifat mutlak.
“Selaras dengan itu, sebarang perhimpunan awam juga tertakluk kepada keperluan mematuhi undang-undang sedia ada termasuk arahan khusus yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk arahan oleh Ketua Setiausaha Negara kepada penjawat awam,” katanya.
Amaran keras kepada penjawat awam yang turun berdemo
Jabatan Peguam Negara menasihatkan supaya penjawat awam tidak turun dan terbabit dengan Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di Kuala Lumpur. Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata penjawat awam sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada negara.
“Sebagaimana yang kami keluarkan kenyataan sebelum ini, penjawat awam diminta tidak menyertai himpunan berkenaan kerana ia melanggar tata kelakuan dan juga disiplin sebagai penjawat awam. Namun bagi penjawat awam yang menyertai himpunan berkenaan, terserah kepada ketua jabatan masing-masing untuk tindakan lanjut. Untuk orang awam, sebagaimana yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap individu ada hak berhimpun namun ada batas tertentu. Seeloknya buat secara aman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Santuni MADANI Satu Pemimpin Satu Kampung Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong

Bagi Parti Sosialis Malaysia, percubaan kerajaan untuk menghalang rakyat daripada menyertai himpunan Turun Anwar Sabtu ini hanya akan memakan diri, kata Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan. Arutchelvan membidas amaran kerajaan terhadap penjawat awam yang ingin menyertai protes tersebut, dan menyamakannya dengan tindakan keras semasa era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad terhadap demonstrasi antikerajaan.
Arutchelvan yang lebih dikenali sebagai Arul berkata, sejarah telah menunjukkan bahawa sebarang usaha untuk menekan penunjuk perasaan hanya akan meningkatkan lagi sokongan terhadap perjuangan mereka, seperti yang berlaku dalam gerakan reformasi dan himpunan Bersih sebelum ini.
“Sudah lama kita tidak melihat serangan ala Mahathir terhadap kebebasan awam; amaran, FRU, meriam air dan tangkapan. Sekarang perlahan-lahan semuanya mula kembali. Untuk himpunan 26 Julai ini, Ketua Setiausaha Negara telah keluarkan amaran. Kini Jabatan Peguam Negara (AGC) juga keluarkan amaran. Selepas ni, universiti pula mungkin akan keluarkan amaran yang sama. Seterusnya kita akan lihat Ketua Polis Negara pula keluarkan amaran dan isytiharkan perhimpunan ini sebagai haram. Jangan terkejut, jila anda cuba tekan rakyat, yang tak nak turun pun boleh turun ke jalan raya,” kata Arul.
Penjawat Awam dilarang berhimpun, peguam kata tiada masalah
Lawyers for Liberty (LFL) menggesa penjawat awam agar tidak mengendahkan amaran Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar agar tidak menyertai himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung minggu ini. Pengarahnya Zaid Malek menyifatkan amaran yang keluarkan Shamsul Azri kelmarin sebagai “tidak sah di sisi undang-undang” dan tindakan terdesak oleh kerajaan.
“Kenyataan KSN tiada asas undang-undang dan jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10(1)(a) dan (b) dalam Perlembagaan menjamin hak kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun secara aman. Ini undang-undang tertinggi negara yang sepatutnya dipelihara oleh Shamsul Azri. Apakah dia sudah lupa sumpah jawatannya? Tugasnya adalah untuk melindungi penjawat awam, bukan menindas atas arahan kerajaan. Justeru, kami menggesa semua penjawat awam agar tidak mengendahkan arahan yang tidak sah ini. Adalah sah dan wajar untuk penjawat awam menyertai himpunan aman ini sekiranya mereka mahu,” kata Zaid dalam kenyataan
Zaid turut memberi jaminan yang pihaknya sedia memberi bantuan guaman kepada mana-mana penjawat awam yang dikenakan tindakan kerana menyertai himpunan itu.
“Mengkritik Perdana Menteri adalah hak demokrasi penjawat awam, bukannya perbuatan tidak setia kepada negara. Perdana Menteri adalah seorang tokoh yang dipilih rakyat, bukan raja. Mandatnya datang daripada rakyat, dan boleh juga ditarik balik oleh rakyat, itu hak dalam sistem demokrasi,” katanya lagi.
Dia turut mengingatkan kerajaan bahawa kritikan, perbezaan pendapat dan protes adalah sebahagian daripada asas demokrasi dan tidak seharusnya disamakan dengan pengkhianatan. Tanggapan seumpama itu menunjukkan salah faham terhadap kerangka perlembagaan negara, katanya.